Friday 25 December 2009

PROJEK FERTIGASI SDR. BAKHTIAR DI TKPM AYER HITAM



Balik dari Projek Pertanian Moden, Ayer Hitam, kami singgah di Institut Pertanian Ayer Hitam (IPAH). Di IPAH kami mengunjungi Sdr. Bakhtiar yang menjadi peserta Taman Kekal Pengeluaran Makanan di situ. Sdr. Bakhtiar ini member sekampung kami. Dia diberi peluang untuk mengusahakan 5 lot RPH (fertigasi) di TKPM IPAH ini. Banyak tu... Di situ ada 9 orang peserta. Dah lama juga dia mengushakan projek fertigasi di situ.

Satu benda yang menarik perhatian saya di sini ialah penggunaan pasu khas untuk menggantikan polibeg. Di IPAH, peserta telah mula menggunakan pasu ini. Mengapa? Alasan yang diberi ialah penggunaan polibeg tak tahan lama, selalu reput dan koyak. Pasu yang mereka gunakan adalah ditempah khas di kilang dan tidak berlubang. Lubang dibuat sendiri mengikut keperluan jenis tanaman. Pasu ini tahan lebih lama kira-kira 10 tahun. Itu perakuan pihak kilang. Cocopeat (medium) mudah dimasukkan tidak seperti masukkan medium dalam polibeg. Satu hari nanti saya pun nak tukar kepada pasu ini.

Ketika ini Sdr. Bakhtiar sedang mengusahakan tanaman tomato ceri. Kelihatannya, pokok dan buahnya cantik. Minggu hadapan hasil dah matang. Projek yang berjaya! Tahniah!
Pintu masuk ke tapak Taman Kekal Pengeluaran Makanan,
IPAH Ayer Hitam, Johor.
Sdr. Bakhtiar mengushakan tanaman tomati ceri secara fertigasi.

Inilah pasu yang ditempah khas. Belum ada lubang di bawahnya.

Lubang dibuat sendiri mengikut keperluan jenis tanaman yang ditanam.

PROJEK PERTANIAN MODEN, AYER HITAM, JOHOR



Hari ini saya bersama keluarga pergi mengunjungi Projek Pertanian Moden Ayer Hitam. Hajat kami ialah untuk melihat perkembangan dan kemajuan bidang pertanian. Dalam bayangan kami apabila disebut pertanian moden, sudah tentu pertanian itu menggunakan amalan pertanian yang canggih, penggunaan teknologi terkini, berautomasi, tanaman dan ternakannya sihat-sihat belaka dan geram melihatnya, kawasannya bersih, cantik dan menarik dan lain-lain yang best-best tentunya.

Itu semua bayangan dan mimpi kami.

Apabila sampai, apa yang kami lihat hanyalah lot-lot pertanian yang diusahakan oleh peserta-peserta. Ada dah bertanam, ada yang masih semak, ada terdapat bahan-bahan dan peralatan yang tunggang langgang, dan lain-lain yang sanggggatttttt... jauh daripada apa yang kami bayangkan dan impikan.

Kami tinggalkan tapak Projek Pertanian Moden itu bersama impian yang tak menjadi kenyataan. Terus terang kami katakan, kami sungguh kecewa.

Wednesday 23 December 2009

FERTIGASI: PENGENALAN KEPADA FERTIGASI


Fertigasi berasal dari dua perkataan Inggeris iaitu fertilization dan irrigation . Definisi Fertigasi adalah satu kaedah penanaman yang mana pemberian baja yang lengkap kepada tanaman diberikan dalam bentuk larutan dan disalurkan ke zon akar melalui sistem pengairan titis.

Fertigasi adalah salah satu daripada cabang hidroponik yang antara lainnya ialah seperti Sistem Titis Mikro, Hidroponik Aliran Dalam, Hidroponik Aliran Cetek, Hidroponik statik, Aeroponik dan Pemercik Mikro. Ia sebagai satu kaedah penanaman di mana baja(dalam bentuk larutan) diagihkan ke zon pengakaran tanaman melalui sistem pengairan.

Dua asas utama fertigasi iaitu baja (dalam bentuk larutan) dan sistem pengairan. Kebanyakan sistem pengairan yang digunakan untuk pengagihan baja ialah jenis titisan . Sistem pengairan renjis atau Iain-lain cenderung digunakan untuk pengagihan kimia-kimia lain seperti racun serangga, kulat, semburan hormon dan Iain-lain dalam teknik chemigation.

Pokok ditanam di dalam bekas atau polibeg yang mengandungi media bukan tanah yang sesuai. Media yang biasa digunakan adalah sekam bakar dan sabut proses (ratio 50:50) yang mempunyai pH 6.5 - 6.8. Pembajaan yang diberikan mengikut formulasi baja yang tertentu bergantung kepada jenis tanaman.

Tanaman kebiasaannya ditanam di tapak penanaman yang mempunyai struktur pelindung hujan dan serangga. Dalam kaedah ini pokok boleh juga ditanam dalam bekas di tempat yang terbuka.

Bekas tanaman dan jenis media adalah alternatif mengatasi masalah penanaman. Media bukan tanah (soiless culture) seperti pasir, arang dan habuk sabut digunakan bertujuan mengatasi masalah kesesuaian atau penyakit tanah. Media diisi di dalam bekas seperti polibeg atau pasu bersaiz tertentu untuk memenuhi keperluan ruang zon perakaran tanaman yang optima sesuatu tanaman. Bekas tanaman diguna dan diletakkan tanpa mencecah tanah adalah sebagai langkah pencegahan merebaknya pathogen daripada tanah.Dalam situasi begini media tanaman bukan tanah (soiless culture) tidak mengandungi nutrien yang seimbang atau mencukupi untuk keperluan pertumbuhan pokok. Kaedah ini juga boleh dipanggil hidroponik beraggregat atau hidroponik titisan. Oleh itu, prestasi tanaman sangat dipengaruhi oleh kualiti nutien ( keseimbangan, kepekatan, Ph, kuantiti), mutu air dan input yang dibekalkan.

Fertigasi adalah teknik dan teknologi baru yang diperkenalkan dalam industri pertanian. Sistem ini sangat praktikal diusahakan kerana mengurangkan kos jangka panjang dan mengurangkan tenaga kerja. Yang menariknya adalah hasil produk pertanian yang tinggi dan sangat menguntungkan sesiapa saja yang terlibat.

Fertigasi dipraktikkan sebagai satu kaedah alternatif. Penerimaan dan penggunaan kaedah ini masih rendah dan menjadi suatu kaedah atau teknologi yang amat diperlukan pada masa akan datang. Untuk mendapat faedah yang optima daripada kaedah ini, biasanya semua langkah awal diambil perhatian termasuk sifat media yang baik dan sesuai untuk jenis- jenis tanaman, jenis dan bekas tanaman, dan formulasi baja (nutrien) yang seimbang.

Secara ringkasnya kaedah penanaman secara fertigasi adalah kaedah moden yang praktikal, mengikut amalan pertanian yang baik, sentiasa di dalam kawalan menuju kea rah ‘precision farming’. Ini sangat penting dalam trasformasi teknologi pertanian masakini bagi membantu pengeluaran berterusan dan mendapatkan hasil yang berkualiti tinggi.

Tuesday 22 December 2009

BUKU TEKNOLOGI PENANAMAN MELON FERTIGASI






Semasa saya mengunjungi Ekspo Agro Johor 2009 di Ayer Hitam tempoh hari, saya terjumpa buku ini di gerai fertigasi. Oleh kerana saya buat projek fertigasi rockmelon di sekolah, saya pun beli satu. Buku ini memberi penerangan khusus untuk tanaman melon (rockmelon) secara fertigasi. Pengarangnya Tn. Hj. Amat Khri Bin Mardi, seorang pegawai di Institut Pertanian Ayer Hitam, Johor. Beliau ni memang pakar dalam fertigasi. Beliau ni dikira pakar dalam bidang fertigasi di Malaysia. Saya pernah beberapa kali diberi penerangan mengenai fertigasi oleh beliau. Jika ada sesiapa yang berminat dengan buku ini sila hubungi terus ke AKM Tani, No. Tel/Fax 07-7583350/016-7708143/016-7738143, E-mail- akmzihan@streamyx.com . Sekian, selamat mencuba...daaa...

NUTRIEN-NUTRIEN BAJA FERTIGASI

Ini adalah di antara makronutrien dan mikronutrien yang biasa untuk baja fertigasi tanaman melon dan yang lebih kurang sejenis dengannya. Ia boleh dibancuh sendiri. Nutrien ini dibekalkan oleh Fertitrade Sdn. Bhd. Selamat mencuba.

Set A
Kalsium Nitrat (GHG)

Ammonium Nitrat
Kalium Nitrat
Iron Chelate (EDTA-Fe)

Set B
Kalium Nitrat (Potassium Nitrat 13/0/46)

Magnesium Sulfat
Mono Kalium Hidrogen Posfat
Mangan Sulfat (EDTA- Mn)
Hibor
Zink Sulfat (EDTA-Zn)
Kuprum Sulfat (EDTA-Cu)
Sodium Molibdate













MEMBERSIH RPH DAN MENCUCI COCOPEAT

Pagi ini bersama Adik, kami buat penyenggaraan kawasan RPH.

Plastik RPH dah mula berjelaga dengan lumut berwarna kehijauan. Dahlah kotor, tak cantik pulak tu. Cahaya tak sampai ke bawah. Mula-mula plastik itu di sembur dengan larutan klorin. Kemudian diberus dengan penyapu plastik. Akhir sekali dibilas dengan air. Barulah nampak cerah plastik RPH itu. Pukul 2 petang siap mencuci plastik tu.

Cocopeat pula kena cuci. Terlebih dulu cocopeat disembur dengan racun kulat previcur-N. Dibiarkan sehari semalam supaya larutan meresap ke dalam cocopeat. Lepas itu dibilas dengan air bersih. Cocopeat nampak gebu selepas dibilas.

Dah lebih kurang 3 minggu rehat, polibeg ditumbuhi rumput. Kena cabut rumput-rumput ini sebelum tumbuh meliar.


Adik membilas cocopeat dalam polibeg.
Cocopeat jadi gebu selepas dibilas dengan air bersih.
Adik memberus plastik RPH menggunakan penyapu plastik.
Adik berdiri atas tangga untuk membersihkan bumbung
plastik RPH.




KURSUS PENANAMAN SECARA FERTIGASI DI MARDI KLUANG


Pada 14 Disember 2009 (Isnin) yang lalu saya pergi kursus penanaman secara fertigasi. Kursus ini diadakan di MARDI Kluang, Johor anjuran FAMA Batu Pahat. Saya hadir ke kursus itu atas jemputan FAMA Pontian. Kebanyakan peserta kursus ini berpengalaman dan pernah mengendalikan penanaman secara fertigasi. Penceramahnya ialah Dr. Mahamud Bin Shahid, Pegawai Penyelidik Prinsipal MARDI Serdang, Selangor. Dr. Mahmud ni memang pakar bidang fertigasi dan selalu dijemput oleh organisasi sama ada kerajaan atau swasta untuk menunjuk ajar penanaman secara fertigasi.

Banyaklah maklumat yang saya dapat daripada kursus ini termasuk formulasi baja melon dan cili. Bermacam masalah yang dihadapi oleh peserta dikemukakan dan Dr. Mahamud menjawab sehingga peserta kursus puas hati.

Antara maklumat yang saya dapat:

  1. Kaedah penanaman secara fertigasi.
  2. Kelebihan dan kelemahan penanaman secara fertigasi dan penanaman secara konvensional.
  3. Penyakit dan perosak tanaman.
    Penggunaan racun serangga yang sesuai dengan jenis penyakit.
  4. Pembekal baja fertigasi Mayhochst, K. Lumpur (03-62772718), dan Fertitrade, K. Lumpur (03-76607500).
  5. Broguard: En. Shahrul (019-9865800).
  6. Pembekal peralatan fertigasi Bertam Tulen, Melaka (06-3162588).
  7. Pembekal plastik dan peralatan Mentah Resource, Senawang, N. Sembilan (019-6693718) .
  8. Pembekal biji benih melo Nine Top, Rawang, Selangor (03-60932191).
  9. Pembekal baja dan peralatan fertigasi Chop Eng Huat Cameron Highland (05-4911189).
  10. Pembekal baja dan peralatan fertigasi AKM Tani (07-7583359).
  11. Formulasi baja melon dan cili.

Dr. Mahamud menerangkan mengenai RPH kepada peserta kursus.
Peserta kursus melihat tanaman dalam RPH.
Peserta kursus bergambar bersama Dr. Mahamud Shahid
dan En. Azman, penyelaras kursus.



Sunday 20 December 2009

FERTIGASI MODUL LENGKAP PERTANIAN MODEN


Fertigasi Modul Lengkap Pertanian Moden
Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN


Sana sini orang memperkatakan tentang teknik penanaman moden menggunakan kaedah fertigasi yang semakin mendapat sambutan menggalakkan.

Kelihatan agak mudah, namun mengaplikasikan teknik penanaman tersebut tanpa mendapat bimbingan lengkap mengenainya mungkin akan memberi kesukaran kepada pengusahanya.

Justeru, bagi memberi peluang kepada individu mempelajari teknik tersebut dengan lebih terperinci, Utusan Malaysia dengan kerjasama Agrobank dan syarikat konsultan, Malayan Agro Consult Sdn. Bhd. (Mayconsult) telah menganjurkan Bengkel Usahawan Fertigasi Bersama MEGA pada 29 Mei lalu.

Seperti sebelum ini, penganjuran bengkel yang masuk kali ketujuh itu terus mendapat sambutan memberangsangkan daripada masyarakat.

Pengurus Pusat Latihan Agrobank, Abdul Shukor Abdul Jabbar berkata, kursus tersebut sememangnya popular di kalangan mereka yang berminat untuk memulakan projek fertigasi.
''Kursus ini popular kerana memberi fokus kepada penyampaian pengetahuan dan maklumat mengenai teknologi penanaman secara moden.

''Apa yang menarik, para peserta akan didedahkan dengan modul penanaman secara menyeluruh bermula dari peringkat penanaman sehinggalah dipasarkan,'' katanya ketika merasmikan bengkel tersebut di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Selama tiga hari, para peserta akan mendapat bimbingan tanaman secara teknikal dan praktikal, didedahkan dengan perancangan perniagaan, motivasi, khidmat nasihat serta pemasaran.

Menurut Abdul Shukor lagi, pihaknya menerima permohonan di luar jangkaan menerusi medium pendaftaran yang disediakan iaitu dari laman web Utusan Malaysia dan melalui pihak Mayconsult sendiri.

Kesemua mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti golongan profesional, pelajar dan juga petani yang datang bukan sahaja dari Lembah Klang malah dari negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mayconsult, Zainal Abidin Yahya berkata, sambutan menggalakkan yang diterima itu adalah disebabkan orang ramai telah mula menyedari tentang kelebihan teknik tanaman fertigasi.

''Para petani sekarang mahu beralih dari teknik pertanian tradisional kepada fertigasi kerana risikonya dapat dikawal selain memberikan hasil yang tinggi.

''Walaupun peringkat awal projek ini melibatkan kos yang agak tinggi bagi menyiapkan segala infrastruktur, namun ia berbaloi kerana kelengkapan tersebut boleh bertahan untuk tempoh masa 10 hingga 15 tahun,'' katanya.

Dari segi bantuan kewangan pula, pihak Agrobank turut menawarkan pinjaman modal galakan sebagai pembiayaan awal jika para peserta berminat memulakan projek berkenaan.

Bagi mendedahkan peserta dengan teknik penanaman dengan lebih terperinci, mereka juga akan di bawa melawat tapak tanaman fertigasi yang berjaya terletak Jalan Kebun, Klang.

''Selain cili, teknik tanaman ini sesuai digunakan untuk tanaman seperti tomato, rock melon dan terbaru adalah halia,'' jelasnya.

Sejak kali pertama dianjurkan pada 23 Januari 2009, bengkel berkenaan telah berjaya melatih seramai lebih 210 orang peserta.

Daripada jumlah itu, lebih kurang 30 peratus daripada mereka telah pun memulakan projek tanaman secara komersial.

''Mereka yang telah memulakan projek akan dibantu dari semasa ke semasa di mana khidmat nasihat akan diberikan jika mereka menghadapi sebarang masalah,'' katanya.

Sebagai inisiatif membentuk satu komuniti berkaitan bidang fertigasi, para peserta yang bengkel itu telah menubuhkan persatuan mereka sendiri yang diberi nama Persatuan Usahawan Fertigasi Malaysia (PUFM) bagi tujuan berkongsi maklumat dan kemudahan berkaitan projek masing-masing.

Menurut Pengerusinya, Misri Saliman, setakat ini, persatuan tersebut telah mempunyai lebih 90 orang ahli berdaftar yang terdiri daripada pengamal, pembekal dan usahawan fertigasi.

''Kita mahu jadikan persatuan ini sebagai pusat utama mendapatkan maklumat berkaitan fertigasi seperti bekalan baja, benih, peralatan, pemasaran dan sebagainya.''

''Kita juga mempunyai saintis yang sentiasa menjalankan penyelidikan terbaru mengenai fertigasi di mana maklumat mengenainya akan di salurkan kepada ahli-ahli dalam usaha membantu mereka mengurangkan kos projek dan meningkatkan hasil,'' katanya.




TANAMAN SECARA FERTIGASI ADALAH SEBAHAGIAN TRANSFORMASI TENAGA BURUH KEPADA PENGGUNAAN MEKANISASI, OTOMASI DAN TEKNOLOGI


Pernyataan ini adalah petikan sebahagian daripada kertas kerja yang yang bertajuk Transformasi Dalam Sektor Pertanian dan Industri Asas Tani di Persidangan Halatuju Sektor Pertanian Dan Industri Asas Tani anjuran Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani Malaysia tahun 2004.


Kertas ini bertujuan untuk menghuraikan strategi dan program transformasi yang telah dilaksanakan untuk pembangunan sektor pengeluaran makanan pertanian selaras dengan matlamat Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) (1998-2010) untuk:
  • meningkatkan food security negara melalui transformasi modus operandi pertanian yang berorientasikan komersial,
  • meningkatkan produktiviti dan dayasaing sektor pertanian melalui permindahan teknologi,
  • merapatkan rantaian di antara sektor pertanian dengan sektor lain,
  • mewujudkan sumber pertumbuhan baru mengguna dan memulihara sumber semulajadi secara lestari.
Negara perlu meningkatkan tahap dan proses pengeluaran daripada yang bergantung berat kepada tenaga buruh kepada berintensifkan modal, teknologi dan berasaskan ilmu pengetahuan. Program pemindahan teknologi dan cara tanaman yang baru bagi meningkat produktiviti telah dilaksanakan. Ini termasuk program inkubator dan belia tani bagi melahirkan usahawan tani, program fertigasi tanaman pertanian, dan sistem ternakan ayam secara tertutup (closed house system). Di dalam pembangunan perikanan pula, usaha bagi meningkatkan tahap teknologi dilaksanakan melalui program pen culture, akuakultur secara nukleus, open sea cage culture dan mengurangkan kehilangan hasil akibat post harvest.

Saturday 19 December 2009

ADAKAH PROJEK FERTIGASI TELAGA PAPAN GAGAL?


Adakah Projek Fertigasi Telaga Papan gagal?

Projek di bawah Skim Kesejahteraan Petani (Sutratani) yang dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 18 November 2007 menarik perhatian saya yang sememangnya berminat ke arah tanaman secara fertigasi. Berita dan gambar-gambarnya keluar di akhbar-akhbar.

Itu pertanyaan saya selepas saya datang melawat projek fertigasi itu pada Disember 2008. Saya pergi ke tapak projek tersebut bersama keluarga. Projek itu terletak di Kampung Telaga Papan, Setiu, Terengganu. Apa yang kami nampak dan lihat sungguh mengecewakan. Kami yang datang jauh dari selatan tanahair hanya dipamerkan dengan rumput tumbuh meliar, semak samun, RPH yang tidak disenggara, dan polibeg cocopeat yang tunggang-langgang. Apa yang telah terjadi?

Daripada laporan akhbar yang saya baca, projek tersebut menggunakan kepakaran dan teknologi Belanda yang dibangunkan di atas tanah seluas 5.5 hektar. Pesertanya (incubator) seramai 30 orang. Kosnya sebanyak RM4 juta. Ia dilaksanakan oleh sebuah syarikat milik Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) iaitu Terengganu Sutratani Sdn. Bhd, selaku anak syarikat Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC).

Mengikut perancangan, tiga modul penanaman diperkenalkan membabitkan penanaman mentimun Jepun, mentimun susu, lada hybrid, lada benggala serta kacang buncis bagi menampung pasaran tempatan dan luar negara.

Harap-harap projek yang turut dilengkapi dengan bangunan memproses hasil tanaman dan mesin untuk menggred hasil pertanian berjalan dengan lebih baik pada masa ini. Satu hari nanti apabila berkesempatan, saya ingin melawat sekali lagi ke projek tersebut.


(...saya berusaha nak masukkan foto-foto projek ini yang saya ambil, tetapi foto-foto tersebut terdelete...sorry)


Friday 18 December 2009

KAEDAH FERTIGASI: LANGKAH IMBANGI PERDAGANGAN MAKANAN NEGARA


Kaedah Fertigasi: Langkah Imbangi Perdagangan Makanan Negara

NOORZIHAN MOHAMED YIN

FERTIGASI berasal daripada perkataan ‘fertilizer’ dan ‘Irrigation’. Definisi Fertigasi adalah satu kaedah penanaman yang mana pemberian baja yang lengkap kepada tanaman diberikan dalam bentuk larutan dan disalurkan ke zon akar melalui sistem pengairan titis.

Fertigasi adalah salah satu daripada cabang hidroponik yang antara lainnya ialah seperti Sistem Titis Mikro, Hidroponik Aliran Dalam, Hidroponik Aliran Cetek, Hidroponik statik, Aeroponik dan Pemercik Mikro.

Beberapa media digunakan bagi tujuan menggantikan fungsi tanah seperti cocopeat, sekam padi, rootwool, perlite, zeolite dan juga vermiculate dalam kaedah tanaman fertigasi. Cocopeat dan sekam padi digunakan secara meluas kerana harganya murah, ringan, berkualiti, dan mudah digunakan.

Pokok ditanam di dalam bekas atau polibeg yang mengandungi media bukan tanah yang sesuai. Media yang biasa digunakan adalah sekam bakar dan sabut proses (ratio 50:50) yang mempunyai pH 6.5 - 6.8. Pembajaan yang diberikan mengikut formulasi baja yang tertentu bergantung kepada jenis tanaman.

Selain itu, tanaman kebiasaannya ditanam di tapak penanaman yang mempunyai struktur pelindung hujan dan serangga.Kaedah Fertigasi ini bertujuan untuk mengelakkan serangan penyakit akar yang disebabkan oleh serangga kulat seperti pythium, fusarium, rhizoton dan juga penyakit serangan bakteria yang berpunca daripada tanah.

Kaedah Fertigasi mempunyai kelebihan tersendiri berbanding dengan kaedah konvensional:


  • Pemberian nutrien lengkap yang boleh dikawal mengikut kehendak tanaman berdasarkan jenis dan peringkat pertumbuhan sesuatu tanaman.
  • Media tumbesaran dan persekitaran menjamin kebersihan dan menghindarkan masalah penyakit.
  • Mengatasi masalah tanah seperti tidak subur, perumah penyakit dan perosak.
  • Meningkatkan hasil per unit kawasan dengan kepadatan tinggi.
  • Tiada masalah merumpai sekali gus mengurangkan kos buruh.
  • Kualiti hasil yang lebih baik.
  • Penggunaan baja yang cekap. Mencapai 85% berbanding kaedah tabur hanya 30%.
  • Mengurangkan penggunaan racun keatas tanaman terutamanya jika jejaring kalis serangga diguna pakai.
  • Hasil lebih tinggi, boleh mencapai sehingga 700% atau tujuh kali ganda.
  • Pengurusan tanaman yang lebih sistematik.

Dalam kaedah Fertigasi, beberapa peralatan digunakan bagi tujuan mengawal serangga perosak dan merumput dengan membuat Rumah Lindungan Hujan dan juga jaring kalis serangga. Kaedah ini menyebabkan tenaga buruh dapat dijimatkan.

Sistem ini juga tidak menggunakan tanah dan tidak memerlukan penggunaan tanah yang luas.

Peralatan atau kompenen yang diperlukan dalam sistem fertigasi adalah seperti tangki, tong stok nutrient, pam, paip poly atau pvc. Dripper, mini tubing, tubing, timer dan peralatan kawalan air dan baja. Dalam sistem fertigasi, air baja diberi mengikut masa iaitu antara 3 - 6 kali sehari selama 5 - 10 minit. Ini bergantung kepada cuaca dan juga kawasan tanaman.

Kaedah Fertigasi sangat sesuai bagi tanaman sayur berbuah dan berdaun seperti tomato, timun jepun, cili merah, terung, melon, cili sayur, strawberi dan juga pokok hiasan. Ringkasnya , sistem tanaman ini adalah sangat sesuai untuk tanaman yang bernilai tinggi di pasaran.

Pada masa ini, defisit negara dalam imbangan perdagangan makanan ialah sebanyak RM4.3 bilion.

Justeru itu, industri pertanian perlu kepada transformasi untuk menjadikan sektor ini benilai tinggi seperti juga industri di sektor pembinaan dan pembuatan serta perkhidmatan yang lebih moden, dinamik dan berdaya saing.

Dalam usaha meningkatkan tahap dan proses pengeluaran daripada yang bergantung berat kepada tenaga buruh kepada berintensifkan modal, teknologi dan berasaskan ilmu pengetahuan, program pemindahan teknologi dan cara tanaman yang baru bagi meningkat produktiviti perlu dilaksanakan. Ini termasuk program inkubator dan belia tani bagi melahirkan usahawan tani, sistem ternakan ayam secara tertutup (closed house system) dan program fertigasi tanaman pertanian ini.