Sunday 24 March 2013

USAHA TINGKAT TANAMAN ROCKMELON


Penanaman secara fertigasi bukanlah satu perkara asing dalam sektor pertanian kerana ia sudah begitu banyak dipraktikkan oleh masyarakat petani di negara ini. Lazimnya, kebanyakan pengusaha akan menanam beberapa jenis tanaman yang bersesuaian seperti lada besar, timun, kacang panjang dan petola. Bagaimanapun, tidak semua jenis tanaman mampu mendatangkan keuntungan menggalakkan buat mereka kerana ia turut bergantung kepada harga pasaran semasa
 
Situasi itu turut dialami Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gombak / Petaling apabila projek tanaman cili fertigasi yang dimulakan pada 2009, hanya dapat dilaksanakan separuh jalan ekoran harga pasaran yang tidak menentu.
Pengurus Besarnya, Azman Md Lazim berkata, peristiwa itu menyebabkan aktiviti PPK Gombak / Petaling dalam tanaman fertigasi terhenti seketika namun ia kembali aktif pada tahun ini melalui program usahawan peladang muda.
 

Menurutnya, mereka memilih tanaman fertigasi rock melon sebagai projek utama kerana permintaan terhadap buah tersebut kian menggalakkan terutama di kawasan bandar namun bekalan di pasaran masih belum mencukupi.
“Oleh sebab itu, kami mengambil inisiatif memulakan kembali penanaman fertigasi ini dengan tumpuan diberikan kepada perusahaan berasaskan makanan,” katanya pada Info Agro.

 

Beliau berkata, program usahawan peladang muda ini turut diwujudkan bagi memenuhi keperluan makanan masyarakat di bandar bertepatan dengan lokasi PPK itu sendiri yang berdekatan dengan kawasan tersebut.
 

“Projek ini merupakan antara langkah kami dalam menyahut seruan Perdana Menteri untuk meningkatkan lagi pengeluaran hasil makanan negara,” katanya.
 

Azman berkata, program usahawan peladang muda membuka peluang kepada ahli PPK daerah itu untuk menjana pendapatan lumayan dengan syarat mereka perlu aktif dalam pertubuhan tersebut dan mempunyai pengalaman dalam bidang pertanian.
 

“Secara purata, pengusaha boleh menjana pendapatan sehingga RM20,000 bagi kawasan satu ekar dalam tempoh tiga bulan. Selain itu, tanaman ini mempunyai peratus risiko kerosakan yang rendah iaitu hanya sekitar dua hingga tiga peratus sahaja,” katanya.
 
Hasil lapan usahawan baru
 

Sehingga kini, PPK Gombak / Petaling menawarkan 3.64 hektar tanah kepada usahawan muda bagi projek penanaman rock melon dengan 0.81 hektar tanah telah pun digunakan sebagai projek rintis.
 

Apa yang menarik, mereka tidak perlu mengeluarkan sebarang kos perusahaan pada peringkat awal kerana segala input pertanian seperti baja dan peralatan akan dikendalikan pihak PPK.
 

Daripada aspek pasaran, PPK akan menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) melalui program ladang kontrak manakala pengusaha hanya perlu menanam dan menjaga tanaman dengan khidmat nasihat PPK.
 

“Pihak kami sedang dalam proses mengenal pasti ahli PPK yang berminat dengan projek ini di mana ia dijangka menghasilkan tujuh hingga lapan usahawan baru bagi mengusahakan tanah di sekitar Gombak dan Petaling.  
 

“Pelaksanaan projek ini diharap mampu merealisasikan hasrat kami untuk menjadikan PPK daerah ini sebagai pusat pengumpulan rock melon bagi negeri Selangor menjelang tahun hadapan,” katanya.
 

Dalam masa sama, beliau merancang untuk mengadakan bengkel berkaitan tanaman fertigasi ini bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ahli di samping membincangkan perkara itu dengan lebih ilmiah.  
 

“Kami turut merancang untuk memasarkan sendiri hasil rock melon yang ditanam pada masa akan datang bagi menjana pendapatan usahawan dengan lebih tinggi di samping menjana pendapatan pertubuhan ini sendiri,” katanya.  
 
Aplikasi kaedah tanaman terbuka
 

Usahawan rock melon, Shahrom Tumiran, 43, berkata, penyertaan beliau dalam projek rintis ini tercetus daripada galakan PPK sendiri yang mempercayai bakat dan kebolehannya dalam penanaman buah tersebut.
 

Menurutnya, tanaman rock melon secara fertigasi mempunyai lebih banyak kebaikan berbanding tanaman lain berdasarkan pengamatan dan pengalaman beliau selama enam tahun dalam bidang ini.  
 

“Rock melon amat mudah untuk ditanam dan berpotensi menjana keuntungan namun pengusaha tanaman ini perlu memberikan komitmen tinggi sekiranya ingin berjaya. Saya amat mengalu-alukan usaha yang dilaksanakan PPK ini bagi memastikan bekalan buah ini sentiasa mencukupi dan memberi nilai tambah kepada industri makanan negara,” katanya.  
 

Beliau memulakan fasa pertama bagi tanaman itu pada Mei dan menuai hasil pada Julai lalu  melalui penanaman 2,400 pokok melon. Penanaman rock melon gred A ini berjaya menghasilkan lima tan dan 20 kilogram buah tersebut dengan setiap pokok boleh menghasilkan dua kilogram buah secara purata.  
 

Shahrom berkata, projek rintis itu kini sudah memasuki fasa kedua di mana beliau menambah bilangan pokok kepada 2,000 pada bulan Ogos lalu dengan ia dijangka menghasilkan pengeluaran sebanyak lapan hingga 10 tan.
 

Projek rintis PPK ini juga menyaksikan beliau melaksanakan penanaman rock melon secara terbuka di mana ia merupakan kaedah baru dalam sektor pertanian di negara ini. Pada kebiasaannya, pokok ini ditanam melalui kaedah berbumbung namun penanaman secara terbuka didapati dapat  tumbuh dengan lebih cepat.
 

“Kaedah ini dapat menjimatkan kos kira-kira RM100,000 sekali gus memberi peluang kepada pengusaha untuk menjana keuntungan lebih tanpa perlu mengeluarkan modal terlalu besar,” katanya.
 

Beliau adalah pengusaha terawal di negara ini yang memulakan penanaman rock melon secara terbuka meski pun ketika itu rock melon banyak ditanam melalui kaedah berbumbung.

Sumber: Sinar Harian

Friday 8 March 2013

TIP MEMANAM ROCKMELON PRESTASI TINGGI







Kepada penanam rockmelon fertigasi, nak tambah keuntungan, berusahalah ke arah pengeluaran sepokok lepaskan lebih daripada sebiji buah. Sebiji besar berat 2.0 kg dan cantik masih tak dapat jualan macam harga di Jepun. Orang Jepun menilai dari sudut berlainan sebab itu mereka sangat pentingkan kualiti dan sanggup bayar sehingga ratusan ringgit sebiji.. Mereka hargai kecantikan bentuk dan netting (deria lihat), mereka hargai keharuman dari aroma yang dikeluarkan (deria bau), dan mereka hargai keenakan rasanya (deria rasa).


Pasaran di Malaysia tak sampai tahap tu. Cukup berat, manis, bentuk ok, netting lebih kurang.... kira dah ok tu...


HABIT POKOK MELON FERTIGASI: Jangka hayat sekitar 70 - 85 hari di ladang. Mula berbunga 25 - 30 hari di ladang. Bunga jantan keluar dulu... bunga betina 2 - 3 hari lewat.

Panduan/tip menanam rockmelon:

  1. Kepekatan baja sentiasa bertambah setiap minggu dari 1.5 hingga lebih 3.8 mS/cm.
  2. Pada umur seminggu, getu pucuk utama untuk menggalakkan cabang dan banyak daun.
  3. Pada umur 20 - 25 hari di lading,  kepekatan lebih 2.0 mS/cm. Lebih baik tambah Ca.
  4. Pada umur 20 - 25 hari sapu pangkal batang dengan racun kulat cth: antracol dan lain-lain untuk mengelakkan gummy stem.
  5. Umur 20 - 25 hari boleh juga cucuk pangkal batang dengan lidi atau pencungkil gigi.
  6. Kawin bunga seawal mungkin sebaik sahaja bunga betina keluar (pada hari 26 - 30) diladang. Lakukan berturut-turut dan buat kepada semua bunga betina yag keluar. Waktunya antara pukul 7.30 - 11.00 pagi.
  7. Pada umur 38 - 45 hari buat pemilihan buah yang sama besar sahaja. Tinggalkan 2 - 4 biji sepokok.
  8. Buah yang lain dibuang. Jumlah buah yang dikekalkan bergantung kepada bilangan daun subur  dan sihat. Anggaran jumlah daun: 20 helai untuk 1 biji, 40 helai untuk 2 biji, 60 helai untuk 3 biji.
  9. Kalau nak besarkan buah, bolehlh celup dengan GA (giberillic acid).
  10. Kawin bunga awal, buah ada peluang untuk membesar lebih lama (30 - 60 hari).
  11. Ingat! Daun subur dan sihat adalah kilang untuk buat makanan pokok tersebut. Lebih banyak daun, mampu besarkan buah dan tampung keperluan pembesaran buah.
  12. Pada 7 - 10 hari sebelum pungut hasil pekatkan baja lebih kurang 3.8 mS/cm dengan Hi-K untuk tambah kemanisan
 Sumber dan penghargaan: AKM Tani

Friday 1 March 2013

DOA SEMASA TANAM ROCKMELON SESI 1 2013







Petang ini petang Jumaat 1 Mac 2013 bermulalah sesi penanaman rockmelon bagi tahun 2013. Lama dah berehat sehingga hampir terlupa cara nak tanam anak-anak pokok ini... Dengan bantuan orang rumah dan Adik yang balik bercuti, didahului dengan bacaan doa, sepetang itu kami bekerja dengan tekun... dan akhirnya semua polibeg dah tertanam dengan anak benih rockmelon. Cantik jika dipandang dalam barisan.

Bacalah doa ini semasa ingin memulakan penanaman tumbuhan kita, insyallah diberkati oleh Allah SWT. Amin...


Genggam/pegang anak benih didalam tangan

بسم الله الرحمن الرحيم

أَأَنْتُمْ تَزْرَعُونَهُ أَمْ نَحْنُ الزَّارِعُونَ‏.

Apakah kamu yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkannya?

Kemudian membaca doa berikut:

اَللَّهُمَّ اجْعَلْهُ حَرْثًا مُبَارَكًا، وَارْزُقْنَا فِيْهِ السَّلاَمَةَ وَالتَّمَامَ، وَاجْعَلْهُ حَبًّا مُتَرَاكِبًا، وَلاَ تَحْرِمْنِي خَيْرَ مَا أَبْتَغِي، وَلاَ تَفُتَّنِي بِمَا مَتَّعْتَنِي بِحَقِّ مُحَمَّدٍ وَآلِهِ الطَّيِّبِيْنَ الطَّاهِرِيْنَ.

Ya Allah, jadikan benih ini menghasilkan pertanian yang penuh berkah, karuniakan kepada kami dalam pertanian ini keselamatan dan kesempurnaan. Jadikan benih ini keberhasilan yang melimpah. Jangan halangi aku dari kebaikan yang aku harapkan, dan jangan binasakan aku karena hasil yang menyenangkan, dengan hak Muhammad dan keluarganya yang baik dan suci.

Kemudian taburlah atau tanamlah benih yang ada dalam genggaman tanganmu itu, insya Allah, tanamanmu akan berhasil.


Amin...