Tuesday 21 May 2013

TUAI HASIL ROCKMELON


Seorang usahawan bakal bergelar ‘orang kaya baru’ apabila projek tanaman Rock Melon Perak Gold diusahakannya di Sungai Galah, Tanjung Tualang, di sini, menjanjikan pendapatan lumayan mencecah jutaan ringgit. Pengurus Kanan Projek Ladang Integrasi Sosial dan Agrotourism, Abdullah Zawawi Saat, berkata rock melon itu akan dieksport ke luar negara.

Beliau berkata, tanaman itu diusahakan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP).

"Projek itu membolehkan kami membina 10 Rumah Hijau untuk menghasilkan buah berkualiti tinggi untuk pasaran luar negara,” katanya. 

Lebih menarik, ladang Rock Melon itu diiktiraf yang terbesar menghasilkan tanaman jenis itu di negara ini. Menurutnya, penanaman Rock Melon diusahakan di tanah seluas lima hektar sejak Ogos 2011.

“Saya mendapat bantuan daripada PPNPN dan rock melon itu mendapat permintaan tinggi di luar negara terutama Singapura, Taiwan dan Dubai. Harga buah ini boleh mencecah RM12.49 sekilogram di luar negara,” katanya selepas Majlis Pelancaran Projek Ladang Integrasi Sosial dan Agrotourism, di sini.

Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. Turut hadir, Ketua pegawai Eksekutif PPPNP, Ahmad Rizal Abdul Rahman.

Katanya, tanaman itu akan dieksport ke luar negara dengan bantuan Perak Agro Corporation Sdn Bhd.

Menurutnya, setiap Rumah Hijau mampu menghasilkan kira-kira 16 tan metrik rock melon dengan harga pasaran RM72,000 setiap tan.

Sementara itu, Dr Zambry berkata, sektor pertanian dapat meningkatkan pendapatan lumayan kepada petani moden.

Menurutnya, projek usaha sama PPPNP di Sungai Galah itu mampu mencapai matlamat dalam melahirkan usahawan tani, pembekal dan peraih, selain dapat membekalkan produk makanan segar ke pasaran.

Sumber:  Harian Metro

Monday 20 May 2013

TUAI HASIL...

Perghhh, legaaaa dan puas...apabila dah menuai buah-buah yang ditanam. Inilah hasil kebun yang kami usahakan sendiri. Syukur ke hadrat Illahi...









Sunday 19 May 2013

FERTIGASI UBAH WAJAH SEKTOR PERTANIAN

Melihat kepada faktor tersebut, kerajaan melalui pengenalan Pelan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) memberi peluang kepada petani untuk menguruskan tanah terbiar sekali gus memajukan kawasan tersebut dengan aktiviti ekonomi khususnya projek pertanian berteknologi tinggi.

Maka atas dasar berkenaan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan kerjasama Kementerian Pertahanan memperkenalkan NBOS khusus untuk petani di bawah projek NBOS 3.

Melalui projek tersebut, kawasan yang diberikan perlu dibangunkan dengan penanaman rock melon secara fertigasi menggunakan struktur pelindung hujan (SPH).
Bagi seorang pengusaha tanaman rock melon, Muhammad Hussain Abu Bakar, menceburi bidang tanaman secara fertigasi membantunya menambah pendapatan dengan lebih cepat.

Petani berusia 49 tahun dari Sungai Petani, Kedah itu menjelaskan, penanaman moden ini telah mendorongnya untuk meninggalkan pekerjaan tetap yang sedang dilakukan bagi memberi tumpuan penuh terhadap tanaman rock melon.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai Penolong Pegawai Pertanian di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pada tahun 1995, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja semata-mata untuk memberi perhatian kepada projek ini.

“Memandangkan saya mempunyai latar belakang pekerjaan dalam pertanian, secara tidak langsung saya mendapat bimbingan serta ilmu pengetahuan bidang tersebut semasa di UPM dahulu, sekali gus mempraktikkan kelebihan itu semasa menjalankan tanaman secara fertigasi" katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Muhammad Hussain merupakan salah seorang petani yang terlibat dalam Projek NBOS3 di tanah milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Mukim Labu daerah Sepang.

Projek tersebut dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini. Yang turut hadir pada pelanacaran itu ialah Menteri Pertahanan; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Datuk Dr Abdul Shukor Ab. Rahman.

Walaupun pada awal pembabitan Muhammad Hussain tidak memiliki sebarang pengetahuan asas dalam bidang pertanian secara fertigasi, namun atas minat dan kesungguhannya, kini dia merupakan antara pengusaha rock melon yang berjaya.
Berkongsi pengalaman kali pertama mengusahakan tanaman tersebut, dia memberitahu segalanya bermula pada tahun 2007 dengan rock melon ditanam atas tanah seluas tiga ekar di Ulu Yam, Selangor.

Melalui projek tersebut, Muhammad Hussain mendapat bantuan modal dari Jabatan Pertanian berjumlah RM50,000 untuk dijadikan modal pusingan.


“Ladang rock melon yang saya usahakan di Hulu Langat berkeluasan tujuh ekar disewa oleh kerajaan negeri dengan harga RM300 sebulan.

“Melihat kejayaan ladang tersebut, saya ditawarkan sebagai pengusaha bagi projek NBOS 3 di Sepang sekali gus di berikan tanah seluas satu ekar oleh kerajaan meneruskan projek tersebut," katanya.

Minat mendalam terhadap bidang pertanian moden membuka ruang kepada dirinya untuk mencabar kebolehan yang dimiliki tatkala tidak ramai yang sanggup mengambil risiko mengusahakan projek tersebut.

Ujarnya, ramai petani kini tidak yakin dengan cara penanaman secara fertigasi kerana ia memerlukan pengetahuan teknologi yang tinggi.

Sistem yang digunakan untuk menjayakan projek tersebut amat mudah dipraktikkan oleh petani sekiranya mereka bersungguh-sungguh mempelajari cara penggunaan mesin yang disediakan.

“Mempelajari cara penggunaan mesin yang digunakan khusus untuk mengusahakan tanaman ini tidak susah kerana ia amat ringkas dan mudah serta praktikal bagi mereka yang tidak tahu menggunakan mesin berteknologi tinggi seperti saya.

“Kerana kemudahan seperti itulah saya tidak pernah patah semangat untuk meneruskan penglibatan dalam bidang yang tidak ramai ceburi ini.

“Penggunaan mesin skrin sentuh automatik juga memudahkan pengawalan tumbesaran tanaman seperti yang diingini petani," katanya.

Di samping penggunaan mesin berteknologi tinggi, petani juga perlu mahir dalam proses menyelenggara seperti mencantas, membersih kawasan tanaman, membaja serta meracun sekitar tanaman.

Katanya, kos bagi kesemua proses penyelenggaraan tersebut tidak terlalu tinggi kerana ia hanya memerlukan modal sekitar RM1,000 sahaja bagi satu pusingan tanaman.

Kelebihan yang terdapat pada rock melon yang ditanam secara fertigasi ini adalah ia ditanam di bawah rumah lindungan hujan dan ini menjadikan tanaman tersebut tidak begitu terdedah kepada serangan serangga serta cuca lembap ketika hujan.
 
Tidak menolak kemungkinan menanam secara fertigasi memberi masalah kepada petani yang mengusahakannya secara separuh masa tanpa pekerja, katanya ia berlaku kerana kerja-kerja penyelenggaraan pokok perlu dibuat dengan kadar yang pantas.

“Kebarangkalian untuk buah rock melon tidak menjadi ketika proses kacuk tetap ada kerana itu adalah kebiasaan dalam bidang pertanian khususnya melibatkan buah.

“Justeru, penanaman buah ini memerlukan pemerhatian yang spesifik dan sangat kos efektif kerana tidak memerlukan masa yang lama untuk mendapatkan hasilnya," jelasnya.

Tambahnya tanaman rock melon juga tidak sensitif seperti tanaman lain dan prosesnya mudah iaitu bermula dengan memasukkan benih ke dalam polibeg seterusnya diatur di setiap batas.

Melihat tanaman secara fertigasi ini mempunyai masa depan yang cerah, Muhammad Hussain berpendapat ia juga mampu menarik minat generasi muda untuk menceburinya.

Sementara itu menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Sumber Strategik MARDI, Dr. Norowi Hamid, projek pertanian berteknologi tinggi itu diterajui oleh MARDI dengan pelaksanaannya turut melibatkan Syarikat Melonaire Farm Sdn. Bhd., selaku syarikat peneraju.

“Projek ini boleh dijadikan sebagai model inkubator untuk membangunkan usahawan moden yang pesertanya adalah terdiri dari golongan petani miskin daripada Program Azam Tani di negeri Selangor.

“Peserta-peserta Azam Tani yang yang berminat dan berkemampuan akan dilibatkan sebagai tenaga kerja, manakala peserta yang kurang berkemampuan akan menerima dividen pasif berdasarkan pulangan projek,’’ ujarnya.

Selain itu katanya, lulusan Kolej Pertanian dan institusi-institusi pertanian serta bekas-bekas tentera dan graduan juga dapat menjalani latihan praktikal di tapak projek berkenaan.

Jika dahulu generasi muda berpendapat bidang pertanian merupakan satu cabang yang sulit untuk diceburi kerana memerlukan perkakas pertanian tradisional seperti cangkul ataupun perkakas pertanian lain.

Namun kini mereka tidak perlu bersusah payah kerana segala proses fertigasi menggunakan peralatan yang moden dan dikawal selia oleh komputer.

Sumber:  Utusan Malaysia

Saturday 11 May 2013

BUAH ROCKMELON YANG BERMASALAH

Kali ini kami nak cerita mengenai buah-buah rockmelon yang tak menjadi. Maksudnya apabila dah sampai masa menuai (antara 65 - 70 hari), buah-buah itu bermasalah. Penanam rockmelon tentunya biasa menghadapi keadaan ini. Seribu biji yang ada, ada kalanya terdapat 5% yang terjadi dan tak menjadi. Bukannya tak berbuah, tapi buah yang ada itu, ada cacat celanya.


Buah ini adalah buah yang boleh dikatakan sempurna. Jaringnya timbul dan penuh di sekeliling buah. Manakala beratnya dalam lingkungan 1.5 kg ke atas.




Buah yang ini tidak ada jaring. Saiznya kecil walaupun dah berusia 70 hari. Tak menjadi langsung.

 


Buah yang ini pulak jaring pada buah tak menjadi dan kalau jadi pun jaringnya tidak cantik langsung. Jaringnya kasar-kasar dan tidak tersusun.




Buah yang ini terlerai dari tangkainya . Warnanya kekuningan. Jaringnya tak timbul dan tidak memenuhi seluruh buah. Apabila di belah, busuk di bahagian bawahnya.




Buah yang ini macam ok. Tetapi sebenarnya tak ok. Ia terlalu kecil. Beratnya hanya 300 g sahaja. Rugi membelinya.