Wednesday 16 November 2011

PROJEK INOVASI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENANAMAN SECARA FERTIGASI DI SMK TELOK KERANG








A. NAMA PROJEK
  • Projek Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran Tanaman Secara Fertigasi di SMK Telok Kerang

B. KETERANGAN MENGENAI PROJEK
  1. Nama Projek : Projek Inovasi Pembelajaran Tanaman Secara Fertigasi Tanaman Melon, Cili dan Sayur-sayuran.
  2. Lokasi Projek : SMK Telok Kerang, Pontian, Johor.
  3. Saiz Kawasan : 100 kaki x 100 kaki persegi
  4. Jumlah Rumah Lindungan: 4 unit
  5. Jumlah Beg : 450 polibeg
  6. Kadar Pengeluaran : 1.5 kg/pokok (melon), 3 kg/pokok (cili)
  7. Harga Pasaran : RM4.00/kilo (melon), RM6.00/kilo (cili)

C. CADANGAN TARIKH PELAKSANAAN
  • Jun 2011

D. KOS PROJEK
  1. Kos Tetap (permulaan) : RM5,000.00
  2. Kos Operasi : RM600.00 (Satu Pusingan)

E. PERUNTUKAN YANG DIPOHON
  • Panitia Sains Pertanian, Landskap dan Nurseri, dan Kemahiran Hidup Bersepadu berjumlah RM6,000.00.
 
F. PERIHAL PROJEK TANAMAN MELON DAN CILI SECARA FERTIGASI
  1. Pengenalan Projek - Projek yang hendak dijalankan ialah tanaman melon dan cili menggunakan kaedah fertigasi secara pusingan tanaman.
  2. Objektif Projek - Mencapai hasil pendapatan sebulan RM500.00 dan ke atas, Memanfaatkan tanah di sekolah untuk kegunaan pertanian secara maksimum, dan Sebagai kaedah pengajaran yang berkesan dalam mata pelajaran yang berkaitan.
  3. Latar belakang pemohon - Seorang guru
  4. Kedudukan Kewangan - Ini adalah projek sekolah. Semua perbelanjaan ditanggung oleh sekolah .
  5. Lokasi Projek - Tanah kepunyaan SMK Telok Kerang terletak di bahagian timur kawasan sekolah.
  6. Status Tapak - Kawasan kosong. Kini ditanam pokok pisang tanduk.
  7. Persediaan Keperluan Projek Dan Punca Bekalan - Sedia ada di tapak projek: Elektrik, air dan jalan
  8. Aspek Pengurusan
  9. Konsultan / Pakar Rujuk - MARDI, Jabatan Pertanian, FAMA
  10. Keperluan Pekerja - Pelajar-pelajar Kemahiran Hidup Bersepadu, S. Pertanian dan, pelajar-pelajar Landskap dan Nurseri
  11. Pembekal Barangan - U Irrigation, Yong Peng.

G. PELAKSANAAN PROJEK
  1. Tarikh Tindakan - Jun 2011
  2. Kelulusan Dan Pengeluaran Sebutharga - Jun 2011
  3. Penyediaan tapak, Pembinaan Bangsal dan Sistem Fertigasi - Jun 2011
  4. Menanam - Julai 2011
  5. Jualan Hasil - September 2011

H. PEMASARAN
  1. Jangkaan tarikh pengeluaran hasil - Mulai bulan September 2011

I. ANGGARAN HASIL DIKELUARKAN SEMUSIM
  1.  Melon: 650 kg - RM2,600.00
  2. Cili: 1200 kg - RM4,000.00

J. SALURAN PEMASARAN
  1. Jualan Borong
  2. Jualan Runcit

K. STRATEGI PENGELUARAN
  1. Jenis Tanaman
  2. Pusingan Musim Tanaman Mengikut Harga
  3. Penggredan
  4. Perletakan Harga

L. MASALAH DAN KAEDAH MENGATASI
  1. Masalah Turun Naik Harga
  2. Masalah Perosak Tanaman
  3. Masalah Pesaing
  4. Masalah Pengangkutan

M. ANGGARAN KOS PERMULAAN PROJEK

Rumah rerlindungan Hujan (4 buah X 10 kaki X 40 kaki X 114 polibeg setiap satu), sistem pengairan dan bahan-bahan
  1. Paip GI AA 16mm (56 btg) RM1,512.00
  2. Paip GI AA 20 mm (12 btg) RM348.00
  3. Plastik UV 21 kaki (150 kaki) RM600.00
  4. Klip plastic (300 unit) RM160.00
  5. Klip besi (140 unit) RM140.00
  6. Bata (800 unit) RM320.00
  7. Kayu pelapik tangki nutrient (8 batang) RM60.00
  8.  PE Tubing pipe16 mm (300 m) RM110.00
  9. Polypipe ¾ in (22 m) RM28.60
  10. Tangki 100 gelen (2 unit) RM210.00
  11. Disc Filter (2 unit) RM108.00
  12. Pam air 0.5 hp (2 unit) RM200.00
  13. Digital timer (1 unit) RM70.00
  14. Paip PVC ¾ in (2 btg) RM29.40
  15. Tee PVC ¾ in (2 unit) RM1.60
  16. Elbow PVC ¾ in (6 unit) RM3.00
  17. Brass Stopcock ¾ in ((2 unit) RM23.80
  18. Gate Valve ¾ in (2 unit) RM19.00
  19. OA Valve 16 mm (15 unit) RM22.50
  20. FTB 25 X ¾ in (2 unit) RM4.80
  21. Valve Socket ¾ in (10 unit) RM4.00
  22. PT Socket 1 in (2 set) RM4.00
  23. PE Bush 1 in (2 set) RM2.00
  24. PE Tubing Pipe (4 gulung) RM140.00
  25. Micro Tee (400 unit) RM120.00
  26. Drip Pen (400 unit) RM120.00
  27. Rubber Groument (15 unit) RM6.00
  28. 16 mm Connector (15 unit) RM3.00
  29. Tape Paip (10 unit) RM5.00
  30. ¾ in Tank Groument RM2.60
  31. Baja khas fertigasi satu pusingan (2 set) RM400.00
  32. Polibeg putih 12in X 14 in (400 unit) RM120.00
  33. Cocoa Peat (40 beg) RM160.00
  34. Dulang Semaian (4 unit) RM16.00
  35. Anak Benih Cili RM20.00
  36. Anak benih Melon RM80.00
  37. EC Meter (1 unit) RM350.00
  38. pH Meter (1 unit) RM200.00
  39. Racun Kulat Previcur (1 unit) RM50.00
  40. Zat Perangsang Tumbuhan Atonik (I unit) RM60.00
  41. Foliar (daun dan buah) RM60.00
  42. Racun Perosak (1 unit) RM60.00
JUMLAH RM 5,953.30



N. FAEDAH EKONOMI
  • Untuk permulaan, kaedah ini memerlukan modal awal yang tinggi. Namun demikian, ianya akan menjadi lebih ekonomi selepas beberapa pusingan penanaman. Ini kerana operasi kaedah ini murah/rendah dari segi penjagaan, kawalan penyakit/perosak (racun), penggunaan baja, dan buruh. Hasil yang berkualiti boleh mendapat harga yang tinggi.

O. FAEDAH SOSIAL
  • Pelajar-pelajar akan meminati penanaman dengan kaedah ini kerana ianya bersih, berautomatik, tidak memerlukan peralatan seperti cangkul dan tajak, tidak memerlukan penyiraman guna tenaga manusia, dan aktiviti penjagaan adalah mudah.

P. KESIMPULAN

  • Diharapkan dengan pelaksanaan penanaman secara fertigasi ini, ia kan memberi pendedahan dan peluang kepada guru-guru dan pelajar-pelajar menjalankan aktiviti pertanian yang menarik, berteknologi dan menyeronokkan. Kaedah ini boleh menarik minat seseorang untuk bergiat dalam bidang pertanian sama ada secara komersial (pertanian sebagai satu perniagaan) atau sebagai satu hobi di masa lapang.


Semoga projek ini berjaya.

Thursday 3 November 2011

PENANAMAN SECARA FERTIGASI DI UniMAP

UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) yang diwujudkan bagi memperkasa pelbagai bidang kejuruteraan, memanfaatkannya untuk pembangun teknologi tinggi dalam bidang pertanian. Dengan kepakaran yang dimiliki, UniMap mengambil pendekatan melestarikan teknologi rumah hijau dan fertigasi untuk pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan bernilai tinggi di kawasan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Rumah hijau versi tropika dibina menggunakan persekitaran terkawal bagi membolehkan tanaman bernilai tinggi seperti kubis, bunga kubis, brokoli, tomato dan tembikai wangi di tanam di dataran rendah. Teknologi tersebut dimajukan oleh Prof Dr. Rezuwan Kamaruddin yang juga Dekan Pengurusan Akademik UniMAP sebagai peneraju dan penggerak. Menurut beliau, rumah hijau yang dibangunkan dapat mengatasi masalah berterusan pengeluaran tanaman di ladang terbuka.

"Risiko pengeluaran tanaman di ladang terbuka sangat tinggi akibat kemusnahan akibat hujan lebat, persaingan rumpai, serangan serangga dan penyakit," kata beliau ketika ditemui di pejabatnya di Perlis baru-baru ini.

Sementara sistem fertigasi yang semakin popular ketika ini adalah teknologi yang membekal air dan larutan baja terus ke zon secara tepat mengikut keperluan peringkat pertumbuhan tanaman. Penjimatan air dan larutan baja dapat dicapai sehingga sembilan kali ganda berbanding dengan pengeluaran di ladang terbuka. Justeru aplikasi teknologi rumah hijau dan sistem fertigasi dapat membantu meningkatkan hasil tanaman bernilai tinggi sehingga dua atau tiga ganda, berkualiti tinggi, sekali gus memberi keuntungan berbanding dengan pengeluaran konvensional di ladang terbuka.

Beliau yang pernah berkhidmat dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), memberitahu, beberapa buah rumah hijau dan sistem fertigasi telah dibangunkan untuk pengeluaran tanaman bernilai tinggi di Stesen Penyelidikan Agroteknologi, UniMAP, Sungai Cucuh, Padang Besar, Perlis. Selain untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran, kemudahan tersebut juga berperanan sebagai hub rujukan setempat bagi pengusaha-pengusaha komersial di kawasan zon utara.

Malah, katanya beberapa penyelidikan lanjutan sedang dijalankan untuk penambahbaikan teknologi tersebut. Teknologi berkenaan juga telah diguna pakai oleh beberapa buah sekolah menengah di Perlis untuk mendorong murid-murid sekolah menjadi petani moden apabila mereka menamatkan pengajian.

Di samping itu, kemudahan tersebut menyediakan platform aktiviti kelab agroteknologi dan juga berfungsi sebagai makmal pengajaran dan pembelajaran secara praktikal bagi matapelajaran sains pertanian atau biologi. Antara sekolah yang aktif adalah Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Sekolah Menegah Dato' Sheikh Ahmad dan Sekolah Menengah Padang Besar.

Menurut Rezuwan, sehingga kini beberapa agensi kerajaan dan swasta telah menerima pakai teknologi yang telah dibangunkan.Antaranya Malaysian Agrifood Cooperation (MAFC) iaitu salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah menerima pakai teknologi berkenaan dalam pengeluaran tanaman bernilai tinggi terpilih di dataran tinggi dan dataran rendah. Satu perjanjian persefahaman telah dimeterai antara UniMAP dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan NCER untuk membangunkan rumah hijau dan sistem fertigasi untuk pengeluaran tanam-tanaman bernilai tinggi secara besar-besaran di kawasan koridor terbabit.

Katanya lagi, pembangunan teknologi pertanian tersebut adalah teknologi moden berasaskan input-input daripada multi-disiplin bidang kejuruteraan di UniMAP. Teknologi seperti ini versi temperat telah diguna pakai secara meluas di negara maju seperti Belanda, Amerika Syarikat dan Jepun.

Katanya lagi, masa depan industri pertanian negara akan berkembang lebih pesat apabila teknologi rumah hijau dan sistem fertigasi dapat digunakan secara meluas. Ini dapat membatu mengurangkan bill import bahan makanan yang mencecah RM27.9 billion setahun berbanding eksport negara hanya RM7 bilion setahun.


Utusan Malaysia 31 Oktober 2011

Wednesday 26 October 2011

PROJEK FERTIGASI SMKTK: MEMBANTU MURID PENDIDIKAN KHAS MENANAM SAYUR-SAYURAN SECARA FERTIGASI

Hari ini cuti Hari Deepavali. Pagi tadi pergi ke SMK Telok Kerang, tujuannya nak tengok tanaman sayur-sayuran yang dikendalikan oleh murid-murid pendidikan khas. Murid-murid yang seramai 6 orang di bawah kelolaan dua orang guru perempuan iaitu Cikgu Ferra dan Cikgu Suri diberi tunjuk ajar mengenai penanaman secara fertigasi.

Tiga jenis sayur yang dipilih untuk ditanam ialah kangkung, sawi dan bayam. Sayur-sayuran ini mudah ditanam dan penjagaannya pun senang. Setiap baris polibeg ditanam dengan satu jenis tanaman. Kesemua enam baris polibeg digunakan dan ditanam dengan sayur-sayur tersebut.

Dalam masa tiga minggu, tanaman sayur tersebut dah tumbuh segar dan sihat menghijau. Minggu hadapan apabila sekolah dibuka semula selepas cuti seminggu, bolehlah harvest dan boleh jual. Inilah satu cara usaha membantu murid-murid pendidikan khas ini meneroka alam keusahawanan dalam bidang pertanian moden. Semoga usaha yang tak seberapa ini, ianya boleh memberi impak yang besar kepada mereka dalam menjalani arus kehidupan yang mencabar pada masa-masa akan datang. Insyaallah.







Monday 8 August 2011

PROJEK FERTIGASI ROCKMELON SMK TELOK KERANG: MENUAI BUAH

Hari ini dah 70 hari usia tanaman rockmelon di SMK Telok Kerang. Buah dah boleh dituai. Ahli-ahli Persatuan Landskap di bawah bimbingan kami gembira kerana dah tiba masanya diorang menuai buah-buah rockmelon yang mereka usahakan. Setelah sama-sama menanam dan menjaga serta menunggu, hari ini diorang dapat menikmati buah yang diorang idamkan. Namun demikian, diorang terpaksa menunggu sehingga waktu berbuka kerana bulan ini adalah bulan puasa.

Terdapat pokok-pokok ini yang berpenyakit. Apabila dah sakit, buahnya tak menjadi. Daripada 410 polibeg yang bertanam, 68 yang rosak dijangkiti penyakit terutamanya penyakit kanker di bawah batang pokok. Ditambah pula, sekarang musim panas...amat panas. Medium cepat kering walaupun diberi pengairan baja selama 7 kali sehari.
Buah-buah yang dituai pada peringkat pertama ini beratnya di antara 1.3 kg hingga 2.5 kg. Setelah ditimbang, buah gred A (lebih daripada 1.5 kg) sebanyak 35 peratus dan buah yang gred B sebanyak 65 peratus. Ada banyak lagi buah yang belum dituai kerana belum cukup matang.

Ramai guru-guru sekolah ini yang membeli buah-buah tersebut. Kebanyakan guru-guru memilih buah bersaiz gred A. Ahli-ahli Persatuan Landskap mendapat peruntukan percuma seorang dua biji (penghargaan penat-lelah diorang membantu menjayakan projek ini). Buah-buah yang lebih kami jual kepada pemborong buah-buahan di bandar Pontian. Hasil jualan buah dapatlah sikit untung dan balik modal pembelian baja fertigasi dan biji benih. Syukur... Allah SWT beri rezeki.








Monday 1 August 2011

RAMADHAN MENJELMA. SELAMAT BERPUASA

Ramadhan menjelma lagi. Kami mengucapkan selamat berpuasa kepada umat Islam di Malaysia dan umat Islam di seluruh dunia. Selamat berpuasa di bulan Ramadhan.


Sebagai dorongan dan motivasi orang-orang yang menjaga puasanya Nabi berkata: "Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan ar-Rayyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya. (Hadis Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad daripada sahabat Sahal bin Sa'd)."

Sunday 29 May 2011

PROJEK FERTIGASI SMK TELOK KERANG

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini saya bersama kumpulan pelajar-pelajar SMK Telok Kerang berusaha menyiapkan semua kemudahan untuk projek fertigasi sekolah. Sebenarnya perojek yang dah dibuat dulu diberhentikan kerana tapak asal akan didirikan bangunan baru.

Atas usaha pelajar-pelajar ini dan di bawah bimbingan saya, maka siaplah RPH dengan segala sistem pengairannya dah dipasang lengkap. Beberapa siri ujian sistem pengairan titisan telah dibuat dan nampaknya hingga setakat ini tidak ada masalah. Medium yang digunakan adalah 100% cocopeat yang terlebih dulu dibasahkan lalu disumbat dan ditekan padat dalam polibeg. Insyaallah minggu hadapan pada hari Selasa (cuti sekolah) pelajar-pelajar ini akan memindahkan anak benih rockmelon ke dalam polibeg.