Thursday 26 January 2012

BEBERAPA SOALAN TENTANG PROJEK FERTIGASI KAMI

Pada petang-petang sebegini, kami teringat beberapa soalan yang diajukan kepada kami mengenai penanaman buah rockmelon secara fertigasi melalui email atau respon dalam entri. Sebetulnya kami tak layak untuk memberi panduan mengenainya. Cubalah tuan-tuan buat kesimpulan sendiri terhadap jawapan-jawapan yang kami berikan.  Kalau ia boleh mendatangkan manfaat, bersyukurlah... 


1.  Tapak (lantai) fertigasi yang tuan buat nampak bersih. Adakah ia di atas tanah/rumput atau di atas kawasan bertar ?
  • Kami menggunakan batu chipping (batu-batu kecil) sebagai tapak lantai projek fertigasi kami. Sebelum ini kami gunakan 'silver shine' yang dibentang di atas tanah, namun demikian apabila hujan, air bertakung dibawah 'silver shine' tersebut menjadikan kawasan tersebut menjadi lecak. Air lambat kering. Bau pun busuk. Lama-kelamaan 'silver shine' koyak rabak. Apabila dah tabur batu chipping, dah tak lecak. Air pun cepat kering. Rumput ada jugak tumbuh, tapi apabila nak mula musim baru, kami racun terlebih dulu. Itu tadak jadi hal punya....



2.  Kenapa guna batu bata? Tidakkah ia membazir?
  • Sebenarnya projek kami ni dibuat sebagai hobi untuk memenuhi masa lapang sekeluarga. Disamping minat, kami ada sedikit pengetahuan mengenai penanaman secara fertigasi. Apabila kami berjalan-jalan melawat projek rakan-rakan yang menggunakan silver shine, akhirnya plastik itu rosak dan koyak, tak tahan lama. Polibeg berjumpa tanah (sedangkan ini yang kita nak elakkan). Di projek-projek yang mewah seperti di MARDI dan inkubator Jabatan Pertanian diorang gunakan alas seperti getah yang dapat menyerap air (mahal pulak tu...). Jadi pilihan kami, letakkan polibeg itu atas bata kerana kami gunakan batu chipping sebagai lantai. Nampak cantik dan tinggi, jauh daripada tanah. Esok-esok apabila dah tak nak buat projek ini lagi, batu bata itu boleh buat rumah batu...
  


3.  Berapa kos buat SPH (Struktur Pelindung Hujan)?
  •  Ramai yang bertanyakan kepada kami mengenai kos buat SPH. Sebenarnya, ada ke tak ada SPH ini bergantung kepada jenis tanaman yang kita nak tanam. Oleh kerana kami tanam rockmelon, memang sepatutnya buat SPH sebab senang nak gantung buah selain daripada kandungan baja yang sensitif. Buah rockmelon memerlukan banyak aliran baja berbanding tanaman lain. Jadi kuantiti dan kepekatan baja mesti tepat dan terkawal. Tak boleh campur dengan air hujan. Sebab itu ia memerlukan SPH. Namun begitu tuan-tuan boleh rujuk entri di blog ini yang bertajuk 'Projek Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran Penanaman Secara Fertigasi di SMK Telok Kerang'. Bagi kami, semuanya kami buat sendiri. Kami beli bahan sendiri. Kami bengkokkan besi sendiri. Kami welding sendiri. Kami dirikan struktur besi sendiri. Kami paraskan besi sendiri. Kami pasang dan klip plastik pelindung sendiri. Kami buat sistem pengairan sendiri. Terus terang, kontraktor atau penjual SPH tak boleh berurusan untuk mendapat untung dengan kami...hehehe....malah kami yang boleh jual kemahiran kami kepada diorang... eewahhh. SPH yang kami buat bukaknya sebelas kaki. Kami gunakan plastik yang lebarnya 14 kaki. Di bawahnya boleh diletakkan 4 barisan polibeg. Kalau semuanya buat sendiri tentunya lebih menjimatkan 150%. Terus terang kami katakan, hanya kerja-kerja menambak dan meratakan tanah sahaja kami sewa jentera. Yang lain-lain tu kami tiga beranak buat sendiri. Itu saja....




4. Apakah racun yang digunakan?
  • Bab racun serangga dan bab racun kulat ni kami tak berapa mahir. Pengkhususan kami bukan dalam pertanian dan kami tidak pernah belajar pertanian secara khusus. Kami cuma berminat dalam bidang pertanian. Cuma apabila dah ceburi bidang pertanian ni secara suka-suka, FAMA ada hantar kami berkursus mengenai fertigasi. Mengenai racun, kami belajar dengan Tn. Hj. Md Kri b Mardi, tenaga pengajar di Institut Pertanian Ayer Hitam. Beliau kata, meracun serangga dan kulat kena dibuat secara bersilang. Sediakan racun serangga A dan B serta racun kulat C dan D. Kalau hari ini menggunakan racun A dan racun C, lima hari kemudian gunakan pula racun B dan D, lima hari kemudian gunakan racun A dan D, dan lima hari kemudian gunakan racun B dan C. Begitulah seterusnya... Racun serangga dan racun kulat ni boleh dicampur dengan foliar jika mahu. Tapi ingat... kos pengeluaran pun turut meningkat. Semburlah racun-racun ini di awal pagi ketika serangga nak balik, atau pada lewat petang pada ketika serangga nak datang...hehehe...Jangan sekali-kali sembur pada waktu tengahari...habis melecuhlah pokok....



5.  Bagaimana dengan jadual pembajaan?
  • Nak jawab soalan ini, tuan-tuan kena bukak entri blog ini yang bertajuk 'Manual Penanaman Rockmelon Secara Fertigasi'. Semuanya ada di situ. Tapi ingat... itu hanya untuk rockmelon sahaja.  

6.  Bagaimana dengan pH air dan EC meter?
  • Kami menggunakan air paip sepenuhnya. Tak payah susah-susah dengan pHnya. Bayar sahaja bilnya bila cukup bulan...Nak jawab soalan mengenai EC meter ini, tuan-tuan kena bukak entri blog ini yang bertajuk 'Manual Penanaman Rockmelon Secara Fertigasi'. Semuanya ada di situ. Tapi ingat... itu hanya untuk rockmelon sahaja. 



7.  Bepakah kuantiti air setiap pokok dalam sehari?
  • Daripada apa yang kami belajar, sifu kami beritahu bahawa setiap pokok memerlukan paling kurang 1 liter air sehari. Makin buah bertambah besar, kuantiti air juga bertambah. Biar banyak kali siram (6 hingga 7 kali sehari) dengan masa titisan yang pendek, kerana air sempat diserap oleh akar. Jangan buat siraman dua tiga kali sehari tapi dengan masa yang panjang, air yang berlebihan tak sempat diserap olah akar malah terkeluar daripada polibeg. Ini membazir dan merugikan. Kalau nak tahu kuantiti air mencukupi, angkat polibeg, jika beratnya melebihi 2 kg bermakna air sudah cukup. Sila rujuk entri blog ini yang bertajuk 'Manual Penanaman Rockmelon Secara Fertigasi'. Semuanya ada di situ. Tapi ingat... itu hanya untuk rockmelon sahaja.  



8.  Buah kecil, bagaimanakah cara nak besarkan buah?
  • Soalan ini biarkan pakar yang jawab. Saya bukan pakar dalam bidang cara nak besarkan buah. Ada orang gunakan baja asas fertigasi, buah diorang besar. Sebenarnya ia berkaitan dengan pengalaman dan kemahiran pemberian kuantiti larutan baja dan kandungan nutrien dalam larutan baja. Namun demikian, tuan-tuan boleh menggunakan foliar-foliar tertentu jika nak. Ataupun celupkan putik buah yang sebesar telur angsa dengan GA (asid geberelik). Dimana nak dapat? Tuan-tuan cari sendiri di kedai pertanian. Kalau dalam masa 70 hari kita berpenat lelah mengusahakan tanaman rockmelon tetapi berat buahnya tak sampai 1 kg, ini bermakna hanya setakat itu sahaja usaha kita. Buah yang kecil tak ada isi. Tebal dengan kulit sahaja. Seelok-eloknya paling kurang kita dapat 1.5 - 2.0 kg sebiji. Cubalah belajar dengan pakar-pakar yang lebih pakar. En. Nordin Abu Bakar di Ayer Hitam atau rakan-rakan di Terengganu mungkin boleh beri info yang mustajab untuk menjawab persoalan ini. Ini foto beberapa jenis foliar yang kadang-kadang digunakan oleh pengusaha tanaman rockmelon.



9.  Mengapa menggunakan polibeg hitam?
  • Dulu kami gunakan polibeg putih. Cantik dan menarik. Dari jauh dah kelihatan menandakan bahawa kita ada mengusahakan projek fertigasi. Dua musim menanam nak masuk musim ketiga, polibeg itu reput, rapuh dan koyak. Dahlah mahal, tak tahan lama pulak tu. Mana boleh jadi...Kini kami menggunakan polibeg hitam. Ia lebih kuat, tebal dan tahan lama. Dah tujuh pusingan kami menggunakannya, namun ia masih kukuh. Baru-baru ini kami tukar cocopeat, ingatkan polibeg itu dah tak boleh pakai, nak dibuang dan ganti baru, namun ia masuh kuat...boleh dipakai lagi. Kekurangan menggunakan polibeg hitam ini ialah ianya kuat menyerap haba, jadi akar tanaman jadi lebih panas berbanding jika menggunakan polibeg putih.




 10.  Apakah medium penyemaian yang bagus?
  • Masa kami berkursus dulu, sifu mengajar cara nak menyemai biji benih dengan menggunakan cocopeat. Cocopeat itu ditapis terlebih dulu, ambil yang betul-betul habuk. Lepas itu dibasahkan sedikit lalu dimasukkan ke dalam kotak semaian. Sifu juga menunjuk cara menggunakan peatmoss sebagai medium semaian. Apabila kami dah usahakan sendiri, kami pilih cara yang kedua iaitu menggunakan peatmoss. Ia lebih halus dan lembut malah lebih mudah dan peratus percambahan juga lebih tinggi. Satu karung boleh buat semaian 1000 biji benih di kotak semaian 104 lubang.



11.  Berapa modal permulaan yangg diperlukan?
  • Projek kami ini projek suka-suka. Kami tak catat secara terperinci berapa modal permulaan yang kami dah keluarkan. Yang kami ingat, pembinaan SPH adalah kos yang paling tinggi di antara banyak-banyak benda yang kami beli dan buat. Pada masa itu harga besi melambung tinggi berikutan permintaan tinggi pembinaan Stadium Sarang Burung dan empangan mega di China (...kata tauke besi...). Sebatang besi 3/4 inci berharga RM34.00. Sebatang besi 1/2 inci berharga RM32.00. Dengan polibeg berjumlah 1200 +++ 450, SPH berjumlah 6 buah (11 kaki X 60 kaki setiap satu), dan segala-segalanya yang berkaitan dengen projek ini, kami habis lebih kurang RM15,000.00. Ini termasuk dari kerja-kerja menambak dan meratakan tanah sehingga pembelian biji benih dan baja fertigasi buat kali pertama (persediaan untuk pusingan pertama). Sifu kami kata, kalau projek nak untung, buat paling minima 1000 polibeg. Kami ikut sahaja dan semuanya kami buat sendiri.



12.  Mengapa SPH dibuat melengkung?
  • Sebenarnya reka bentuk bumbung struktur SPH ni boleh dibuat berbagai. Ikut suka kita. Ada yang suka melengkung (bulat), ada yang suka tiga segi, ada yang suka bentuk pisang sesikat. Kami buat bentuk melengkung sebab ikut orang lain yang buat bentuk yang sama. Tiru orang untuk yang lebih baik tak salah kan... Bentuk melengkung (bulat) ni lebih mudah nak buat. Nak pasang pun senang. Aliran air timpaan hujan pada plastik yang melengkung lebih laju dan tidak tersekat. Bentuk ini juga senang dicuci jika berlumut. Jarak tiang dan palang besi yang ideal menjadikan plastik betul-betul tegang, tidak melendut dan menggelembir serta  berserabai. Nanti boleh menakung air. Dah empat tahun SPH yang kami buat, sehingga kini ia masih tegang dan terikat kemas oleh klip-klip pada struktur besi.



13.  Berapa 'income' untuk keluasan tanaman tu?
  • Selalunya pertanyaan sebegini yang ditanyakan oleh peserta kursus atau teman-teman yang melawat projek kami. Kami malu nak menjawabnya.  Tanyalah kepada tauke-tauke mana pun, diorang tak akan jawab. Tapi kita kan boleh membuat kiraan kasar sendiri berdasarkan output, harga pasaran semasa, upah pekerja, dan lain-lain input. Maklumlah, mana ada petani yang kaya raya macam Bill Gates owner Microsoft. Petani biasanya merendah diri, kais pagi makan tengahari, kais petang makan malam. Sepanjang kami mengusahakan projek ini, kami belum pernah rugi (mohon kepada Allah swt, janganlah rugi). Kami adalah peserta Ladang Kontrak FAMA. Jika pengeluaran banyak, selain kami jual sendiri, kami jual kepada FAMA. FAMA datang ambil dengan lorinya. Kami tak payah sediakan kenderaan. Yang lebih-lebih tu kami sedekah kepada jiran sekampung dan sedekah kepada jemaah masjid kampung kami. Mudah-mudahan Allah swt murahkan rezeki kami lagi...


Sekian, terima kasih.

Wednesday 25 January 2012

MEMINDAHKAN ANAK BENIH ROCKMELON KE DALAM POLIBEG

Hari ini kami memindahkan anak benih rockmelon yang dah besar ke polibeg. Syahmi, anak yang sedang bercuti belajar di Kolej Matrikulasi MARA Kuala Nerang banyak membantu sepanjang hari. Usia anak benih baru sembilan hari. Pada kebiasaannya kami buat pemindahan setelah usia anak pokok 10 hari. Pada hari yang kesebelas baru kami pindahkan. Namun demikian ada rakan yang memindahkan anak benih rockmelon pada hari yang ketujuh (memang handal betul...)

Sebelum itu, iaitu selama tiga hari sebelum kerja pemindahan, kami alirkan larutan baja ke medium di polibeg. ECnya ialah 1.6. Aliran selama 5 minit sebanyak tiga kali sehari bertujuan untuk membasahkan keseluruhan medium 'cocopeat' dengan larutan baja.

Selepas selesai kerja-kerja pemindahan, kami sembur di pangkal batang (akar) dengan racun kulat khas untuk akar iaitu Previcur (10 - 15 ml Previcur ditambah 10 liter air). Gunakan tong penyembur untuk buat penyemburan di pangkal batang pada medium (cadangan Dr. Mahmud daripada MARDI, dan ia lebih mudah dan berkesan berbanding buat penyiraman guna cawan). Racun kulat ini akan meresap ke medium di sekeliling akar. Inilah usaha untuk mengelakkan kulat pada akar. Kalau kulat dah menyerang akar, ini bermakna musnahlah harapan kita nak nengok pokok tumbuh sihat sejahtera. Lebih baik cegah sebelum terkena. 








Sunday 22 January 2012

MENUKAR DAN MENGISI SEMULA 'COCOPEAT' DALAM POLIBEG

Dah lapan bulan kami tak aktif meneruskan usaha menanam rockmelon. Tak ada orang nak buat dan membantu terutamanya pada waktu pagi apabila kerja-kerja 'pollination' dilakukan. Anak-anak pula melanjutkan pelajaran. Tinggallah kami suami isteri berdua di rumah. Isteri pula yang selalu membantu, kini kerja ikut waktu pejabat 7.30 pagi hingga 4.30 petang. Jadi tak ada siapa yang membantu. Nak cari TKI, projek masih kecil-kecilan, masih belum ekonomik.

Pada awal tahun ini kami merancang nak buka buku baru. Mula-mula tukar dan ganti 'cocopeat' yang dah lama. Kebetulan pula anak-anak balik kampung kerana cuti Tahun Baru Cina. Kerja-kerja menukar dan mengganti 'cocopeat' menjadi lebih mudah apabila rakan-rakan anak turut membantu. Kami buat beramai-ramai.

'Cocopeat' ini kami rendam dan basahkan terlebih dulu dalam tong. Selepas ia sebati dengan air (seakan-akan bubur), barulah kami masukkan ke dalam polibeg.

Kelebihan cara ini ialah:
  1. Ini menjadikan 'cocopeat' tadi menjadi lebih padat.
  2. Medium 'cocopeat' menjadi kejap (tidak longgar dan seroi)
  3. Air baja tidak keluar daripada medium (tidak berlaku pembaziran air baja)
  4. Pegangan akar pokok pada medium lebih kuat
  5. Debu 'cocopeat' tak masuk hidung 

Kelemahan cara ini ialah:
  1. Masa diambil lebih lama untuk membasahkan 'cocopeat'
  2. Kos upah meningkat
  3. Kos air meningkat
  4. Penggunaan 'cocopeat' juga meningkat (satu karung 'cocopeat' hanya dapat empat polibeg
  5. Kos 'cocopeat' meningkat

Kerja-kerja menukar medium ini mengambil masa selama sehari setengah. Esok kerja-kerja membasahkan medium dengan air baja akan dilakukan. Insyaallah pada hari Khamis nanti, kerja-kerja memindahkan anak benih rockmelon akan dilakukan.











Saturday 7 January 2012

MANUAL PENANAMAN ROCKMELON SECARA FERTIGASI

Berikut adalah manual penanaman rockmelon varieti glamour secara fertigasi bagi projek kami. Ini adalah contoh manual yang kami gunakan pada tahun 2009. Dah lama dah... Namun demikian, ianya boleh diubahsuai. Tanyalah kepada pakar dan pengusaha yang lebih berpengalaman. Ada pengusaha yang hanya menggunakan baja fertigasi rockmelon (tanpa menggunakan foliar) sepanjang mereka mengusahakan tanaman ini. Kami tidak bertanggungjawab jika ada di antara pengusaha yang menghadapi masalah tanaman dengan menggunakan manual ini.

Contoh Manual Penanaman Rockmelon (varieti glamour) Secara Fertigasi:

Mula tanam pada hari Isnin 14 September 2009
Dijangka menuai pada hari Ahad 22 November 2009 (hari ke 70)


Minggu 1 (1/14, 2/15, 3/16, 4/17, 5/18, 6/19, 7/20 September 2009)
EC - 1.6 (4 kali selama 3 minit)
Hari ke 7 buat semburan:
Lay O - 30 ml
PKTE - 20 ml
Ezigrow - 30 ml
Racun kulat Dithane GR - 20 ml
Racun serangga Avamec - 7 ml

Minggu 2 (8/21, 9/22, 10/23, 11/24, 12/25, 13/26, 14/27 September 2009)
EC - 1.9 (5 kali selama 3 minit)
Hari ke 14 buat semburan:
Lay O - 30 ml
PKTE - 20 ml
Ezigrow - 30 ml
Pelekat - 5 ml
Racun kulat Meizin - 20 ml
Racun serangga Avamec - 7 ml

Minggu 3 (15/28, 16/29, 17/30 September 2009, 18/1, 19/2, 20/3, 21/4 Oktober 2009)
EC - 2.1 (6 kali selama 4 minit)
Hari ke 21 buat semburan:
Lay O - 30 ml
PKTE - 20 ml
Ezigrow - 30 ml
Plus GA - 30 ml
CaB - 30 ml
Racun kulat Dithane GR - 20 ml


Minggu 4 (22/5, 23/6, 24/7, 25/8, 26/9, 27/10 28/11, Oktober 2009)
EC - 2.4 (6 kali selama 4 minit)
Hari ke 28 buat semburan:
Lay O - 30 ml
PKTE - 20 ml
Ezigrow - 30 ml
Plus GA - 30 ml
CaB - 30 ml
Racun kulat Meizin - 20 ml
Racun serangga Avamec - 7 ml

Minggu 5 (29/12, 30/13, 31/14, 32/15, 33/16, 34/17, 35/18 Oktober 2009)
EC - 2.7 (7 kali selama 4 minit)
Hari ke 35 buat semburan:
Lay O - 30 ml
PKTE - 20 ml
Ezigrow - 30 ml
CaB - 30 ml
Magnesium - 20 ml
Sweet - 30 ml
Avamec - 7 ml
Racun kulat Dithane Gr - 20 ml
Racun serangga Avamec - 7 ml

Minggu 6 (36/19, 37/20, 38/21, 39/22, 40/23, 41/24, 42/25 Oktober 2009)
EC - 3.0 (7 kali selama 4 minit)
Hari ke 42 buat semburan:
Lay O - 30 ml
PKTE - 20 ml
Ezigrow - 30 ml
CaB - 30 ml
Sweet - 30 ml
Magnesium - 20 ml
Harvest - 30 ml
Racun kulat Meizin - 20 ml
Racun serangga Avamec - 7 ml

Minggu 7 (43/26, 44/27, 45/28, 46/29, 47/30, 48/31 Oktober, 49/1 November 2009)
EC - 3.3 (7 kali selama 5 minit)
Hari ke 49 buat semburan:
Lay O - 30 ml
PKTE - 20 ml
Ezigrow - 30 ml
CaB - 30 ml
Sweet - 30 ml
Magnesium - 20 ml
Racun kulat Dithane GR - 20 ml
Racun serangga Avamec - 7 ml

Minggu 8 (50/2, 51/3, 52/4, 53/5, 54/6, 55/7, 56/8 November 2009)
EC - 3.5 (7 kali selama 5 minit)
Hari ke 56 buat semburan:
Lay O - 30 ml
PKTE - 20 ml
Ezigrow - 30 ml
CaB - 30 ml
Sweet - 30 ml
Harvest - 30 ml
Magnesium - 20 ml
Racun kulat Meizin - 20 ml
Racun serngga Avamec - 7 ml

Minggu 9 (57/9, 58/10, 59/11, 60/12, 61/13, 62/14, 63/15 November 2009)
EC - 3.8 (7 kali selama 4 minit)
Hari ke 63 buat semburan:
Lay O - 30 ml
PKTE - 20 ml
Ezigrow - 30 ml
CaB - 30 ml
Sweet - 30 ml
Harvest - 30 ml
Magnesium - 20 ml
Racun kulat Meizin - 20 ml

Minggu 10 (64/16, 65/17, 66/18, 67/19, 68/20, 69/21, 70/22 November 2009)
EC - 3.8 (kurangkan aliran baja)
Lay O - 30 ml
PKTE - 20 ml
Ezigrow - 30 ml
CaB - 30 ml
Sweet - 30 ml
Harvest - 30 ml
Magnesium - 20 ml

Selepas hari ke 70 bolehlah buat tuaian.