Monday 15 April 2013

TINGGALKAN KERJAYA KONTRAKTOR UNTUK JADI PENGUSAHA ROCKMELON

Penanaman menggunakan kaedah atau teknologi fertigasi bukanlah perkara baru bagi golongan petani tempatan. Teknologi tersebut terbukti memberi anjakan baru kepada bidang pertanian dan mendapat sambutan memberangsangkan berikutan mudah dilaksanakan berbanding kaedah konvensional lain.

Selain mudah dan cepat, kaedah tersebut juga tidak memerlukan ruang yang luas kerana medium tanaman fertigasi hanya memerlukan sebuah beg plastik berisi medium dengan baja diagihkan melalui sistem pengairan.

Sesuai dengan namanya fertigation digabungkan dengan pengairan iaitu irrigation dan pembajaan iaitu fertilizer yang disalurkan serentak kepada tanaman khususnya yang bernilai tinggi seperti rock melon dan tomato.

Melihat fertigasi sebagai kaedah yang mampu memberi keuntungan Shahrom Tumiran, 43, bertekad mengambil risiko dan menceburi bidang tanaman itu demi mendapatkan hasil berkualiti serta meningkatkan pencapaian dalam bidang pertanian.

Menurut anak kelahiran Bukit Kapar, Klang itu, memilih untuk bertukar dari tanaman menggunakan kaedah konvensional kepada fertigasi sejak 2006 ternyata tidak sia-sia apabila hasil tanaman serta keuntungan yang diperoleh berlipat kali ganda.

"Ketika masih menggunakan kaedah konvensional dahulu, saya sering berhadapan dengan masalah terutama dari aspek kawalan baja serta serangan rumput-rumpai. Namun, apabila menggunakan kaedah fertigasi ia mampu mengatasi masalah tersebut menerusi penggunaan baja yang dikawal dalam beg poli selain buah yang terhasil lebih bernilai tinggi kerana ditanam dan dikendalikan secara sistematik," katanya.


Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada majlis penuaian buah fertigasi rock melon di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gombak dan Petaling baru-baru ini yang dihadiri Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Zainal Dahalan.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu sebelum ini pernah bekerja di sektor perkilangan selama tujuh tahun dan mempunyai lesen kontraktor kelas F sebelum menceburkan diri dalam bidang pertanian.

Dia kini sedang membangunkan tanaman rock melon varieti Glamour di atas tanah seluas 1.8 ekar di Sungai Plong, Kuala Selangor dan telah berjaya menuai sebanyak 4,700 biji buah tersebut pada 31 Januari lalu.

Menurutnya, kesemua rock melon itu mula ditanam pada 1 Disember dengan mensasarkan pengeluaran sebanyak lapan tan.

Tambahnya lagi, komitmen yang tinggi perlu dipupuk pada peringkat permulaan ketika baru mula menceburkan diri dalam bidang pertanian kerana dengan kesungguhan itu, bakal petani dapat menilai sendiri hasil yang akan diperolehi.

"Asas prinsip itu penting dan yang paling utama kita tidak perlu cemas atau bimbang untuk menjual hasil tanaman jika ia benar-benar berkualiti dan menepati ciri-ciri terbaik.  Secara langsung juga Jabatan Pertanian akan memberikan bantuan dan tunjuk ajar kepada petani tentang cara-cara mengusahakan tanaman agar mengeluarkan produk lebih produktif," ujarnya lagi.

Sementara itu, menurut Zainal, projek tanaman rock melon di PPK Gombak dan Petaling merupakan projek yang dikembangkan hasil daripada kejayaan projek tersebut di PPK Klang.

Di kawasan tersebut katanya, seramai 11 orang peladang mengusahakan tanaman rock melon di kawasan seluas 11 ekar sekali gus mengikat kontrak perladangan bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan beberapa syarikat pembeli lain.
Mengulas lanjut mengenai projek di PPK Gombak dan Petaling, beliau berkata, pengusaha telah memperoleh pendapatan lumayan dan menguntungkan dalam masa tiga pusingan tuaian.

"Kami berharap projek seumpama ini akan diperkembangkan lagi ke kawasan lain di sekitar PPK Gombak dan Petaling sekali gus dapat membantu peladang meningkatkan lagi tahap ekonomi dan pendapatan mereka. Justeru, LPP telah meluluskan peruntukkan RM200,000 bagi memperluaskan projek rock melon yang sedia ada. Di samping itu juga diharapkan pengusaha sedia ada dapat membantu bakal pengusaha yang akan melaksanakan projek tambahan tersebut sekali gus menjadi mentor kepada mereka dalam memastikan projek ini berjaya," ujarnya.

Sumber:  Utusan Malaysia

Tuesday 9 April 2013

MEMBUNGKUS BUAH ROCKMELON

Hari ini 9 April 2013. Ini bermakna dah 40 hari usia tanaman rockmelon kami. Patutlah buah-buah dah mula keluarkan jejaring. Memang patut ia dibungkus. Balik dari kerja, kami buat kerja-kerja membungkus buah. Petang ini tentu tak siap... kami sambung petang esok. Kalau petang esok tak siap, kami sambung petang lusa. Petang lusa tak siap, kami sambung petang tulat... dan seterusnya.... Asalkan buah dibungkus. Bungkus mesti dibungkus. RPH kami tidak berkelambu. Takut nanti buah-buah dicucuk serangga perosak.







Monday 8 April 2013

STRAWBERI TEKNIK FERTIGASI

Sesiapa yang mengunjungi kawasan tanah tinggi Cameron Highlands, pasti tidak melepaskan peluang melawat ladang teh atau strawberi. Pusat peranginan yang diterokai seorang pegawai Inggeris iaitu William Cameron pada tahun 1885 itu turut terkenal dengan produk sayur-sayuran, teh, bunga-bungaan serta buah-buahan iklim sederhana. Faktor iklim sederhana dengan suhu sekeliling antara 10 hingga 24 darjah celsius menjadikan kawasan tanah tinggi itu sesuai untuk tanaman strawberi. 

Usaha penanaman strawberi secara ladang turut diusahakan dua sahabat, Mohd Yusoff Abdul Satar, 44, dan Zulkefli Zahari, 52, menerusi pembukaan ladang strawberi, YZ Agrofarm di Taman Sedia, Tanah Rata. Walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pertanian, berkat minat dan usaha gigih, kini mereka antara usahawan strawberi berjaya di Cameron Highlands.

Mohd Yusof pernah berkhidmat dengan institusi perbankan dan Zulkifli pula bekas kakitangan Risda. 

Dengan bermodalkan wang simpanan dan pinjaman bank, mereka memberanikan diri menceburkan diri dalam bidang baru itu. 

Mereka bernasib baik kerana mendapat bimbingan seorang pengusaha, Khairani Mohamad yang 12 tahun menceburkan diri dalam penanaman strawberi, selain khidmat nasihat Jabatan Pertanian dan MARDI. Katanya, terdapat 30 pengusaha ladang strawberi dengan keluasan kira-kira 32 hektar dan hanya sembilan pengusaha Bumiputera mengusahakan ladang itu.

“Kami mempunyai dua kawasan ladang dengan tanaman kira-kira 18,000 pokok strawberi. Kebanyakan strawberi itu dijual segar kepada pengunjung yang turut dibenarkan mengutip sendiri,” katanya.

Menurutnya, tumbuhan strawberi amat sensitif dan memerlukan penjagaan rapi.

Rakannya, Zulkifli berkata, selepas dua tahun berkecimpung dalam tanaman strawberi, teknik fertigasi adalah kaedah penanaman terbaik bagi pokok itu.

“Sistem fertigasi tidak memerlukan kawasan yang luas selain tiada masalah dengan tahap kesuburan tanah. Kami menanam varieti strawberi jenis ‘festival’ kerana ia lebih sesuai dengan iklim Cameron Highlands dan hasilnya boleh dikutip dalam masa tiga bulan,” katanya.

Katanya, bagi meningkatkan pendapatan, mereka turut menghasilkan produk hiliran strawberi terutama dalam mempelbagaikan kegunaan buah itu seperti penghasilan kordial, buah kering, jem, halwa, jus, acar dan jeli. Mereka juga me­nyediakan gerai makanan bagi membolehkan pengunjung menikmati pelbagai juadah dalam suasana nyaman di ladang strawberi.

Sumber:  myMetro