Sunday 31 January 2010

PENDEBUNGAAN (POLLINATION) ANTARA BUNGA JANTAN DAN BUNGA BETINA TANAMAN ROCKMELON.

Tanaman rockmelon ini memerlukan cara lain untuk melakukan pendebungaan (pollination) atau pun mengahwinkan antara bunga jantan dan bunga betina. Jika tanam sepuluh atau dua puluh pokok bolehlah seranggan seperti kumbang, kelulut atau lebah menjadi ejen pendebungaan. Tetapi jika menanam beribu pokok rockmelon, maka serangga tersebut tak berupaya untuk melaksanakan tugas pendebungaan itu. Maka kitalah yang kena turun padang untuk melaksanakan tugas pendebunggaan antara bunga jantan dan bunga betina menggantikan tugas serang-seranga tersebut. Kerja pendebungaan ini hendaklah dilakukan dengan berhati-hati agar tidak merosakkan pollen pada kelopak bunga tersebut.


Kelopak bunga jantan keluar pada batang.
Kelopak bunga betina bersama perutnya keluar pada sulur.
Inilah kedudukan kelopak bunga jantan dan kelopak bunga betina.
Dengan menggunakan berus, ambil pollen bunga jantan
daripada beberapa kelopak bunga jantan.
Kemudian sapukan berus yang padanya terlekat pollen
bunga jantan tadi pada kelopak bunga betina.
Dalam masa 24 jam jika pollination berjaya,
kelopak bunga betina menjadi layu.
Seterusnya kelopak bunga betina yang layu akan kering
dan tanggal daripada perut buah rockmelon.

Saturday 30 January 2010

ANAK POKOK ROCKMELON BERUSIA 4 MINGGU (1/2010)

Hari ini pokok rockmelon yang kami tanam dah berusia 4 minggu (28 hari). Pada peringkat ini pokok semakin meninggi. Maka hujung pokok itu kami lilit dua kali pada dawai dan pucuknya dipotong. Bunga jantan dan bunga betina pun dah banyak keluar dari seawal minggu ke empat. Sibuklah orang rumah mengahwinkan bunga jantan dan bunga betina di sebelah pagi. Sulur-sulur juga banyak yang keluar dan memanjang. Hari ini saya ambil kesempatan untuk memotong sulur-sulur yang tak ada bunga betina itu. Cerahlah sikit di bahagian bawah pokok rockmelon. Kalau tidak, sulur-sulur yang tak berfungsi itu berselirat di bawah pokok.





Pokok rockmelon berusia 28 hari. Bunga dah banyak yang keluar.



Bahagian pucuk yang meninggi dililit pada dawai.



Bunga betina mekar di hujung perut.



Sulur dicantas dan dikumpulkan lalu dibuang.



Sulur yang panjang dicantas.

Sunday 24 January 2010

MINI MAHA PERINGKAT NEGERI JOHOR 2010

Hari ini kami pergi berkunjung ke Mini MAHA Peringkat Negeri Johor 2010. Ia diadakan dari 22 hingga 24 Januari 2010 di kawasan Dewan Jubli Intan, Batu Pahat, Johor. Di antara pengisiannya ialah:
  • Pameran dan jualan produk pertanian.
  • Seminar pembangunan modal insan.
  • Taklimat berkaitan insentif geran dan kemudahan pembiayaan.
  • Bengkel pembangunan usahawan industri asas tani.
  • Klinik tani
  • Demonstrasi masakan kuih muih.
  • Ceramah agama
  • Promosi masakan
  • Persembahan kebudayaa.



Saturday 23 January 2010

PENYAKIT ROCKMELON 3 - MATI ROSOT

Penyakit rockmelon ketiga yang biasa kami hadapi ialah mati rosot. Penyakit ini menyerang tak semena-mena (secara tiba-tiba). Jika semalam kelihatan pokok itu ok, tapi pada hari ini ia kelihatan layu, mengering dan mati pada hari ketiga. Pertumbuhan pokok kurus dan daunnya kecil. Pokok-pokok yang sebaris dengannya biasanya kena jangkitan. Biasanya ia menyerang apabila pokok dah besar dan dah berbuah. Apakah ubatnya?????





PENYAKIT ROCKMELON 2 - DAUN BERKERITING

Penyakit yang kedua ini pula penyakit daun berkeriting. Keriting pada pucuknya. Apabila pucuk dah berkeriting, pokok rockmelon tidak boleh membesar atau meninggi. Biasanya ia menyerang pada minggu kedua dan ketiga. Pokok masih boleh berbuah tetapi buahnya tak cantik, buruk dan tak besar. Rasanya tak sedap. Tak tahulah saya apakah ubat untuk merawat dan mencegah penyakit ini. Kalau saya tahu dah lama saya beli. Usaha saya ialah cabut pokok ini dan buang jauh-jauh.






PENYAKIT ROCKMELON 1 - URAT DAUN TIMBUL DAN DAUN KERING

Penyakit ini menyerang pada daun. Bermula dari bawah melarat ke atas. Urat-urat pada daun nyata kelihatan. Lama-kelamaan daun menjadi kering seperti terbakar. Ia menjangkiti ke pokok-pokok lain. Pokok boleh berbuah tapi kecil tak sampai 400 gram. Buahnya dahlah kecil, tak masak pulak tu. Itu yang mengecewakan. Saya tak tahu apakah ubat untuk mencegah dan merawatnya walaupun setiap 6 hari saya sembur pokok-pokok rockmelon ini dengan pelbagai racun termasuk racun kulat.







ANAK POKOK ROCKMELON BERUSIA 3 MINGGU (1/2010)

Hari ini 23 Januari 2010 pokok rockmelon yang kami tanam dah berusia 3 minggu (21 hari). Pokok yang dililit pada tali lanjaran dah meninggi. Bunga jantan dah banyak. Sulur bunga betina dah banyak yang keluar. Kami potong dan buang sulur satu hingga sulur enam dan tinggalkan sulur ke tujuh ke atas. Pertumbuhan pokok ok. Namun ada beberapa penyakit pokok yang kami hadapi. Penyakit biasa yang menyerang pada musim-musim yang lepas.






Thursday 21 January 2010

PERAK BAKAL PENGELUAR UTAMA TEMBIKAI WANGI

GERIK 19 Jan. - Perak meletakkan sasaran untuk muncul sebagai pengeluar utama buah tembikai wangi atau rock melon di negara ini melalui projek tanaman secara fertigasi yang akan dikembangkan di daerah ini. Ahli Parlimen Gerik, Datuk Tan Lian Hoe berkata, peruntukan sebanyak RM100,000 juga telah disalurkan bagi membantu usahawan yang berminat menceburkan diri dalam projek ini.

Menurut beliau, walaupun tembikai wangi masih baru diperkenalkan di Perak, namun ia mendapat permintaan yang menggalakkan.Justeru, katanya, projek tanaman buah tersebut akan dikembangkan di kampung-kampung dengan konsep 'satu kampung satu tembikai wangi'.
"Tembikai wangi sebenarnya adalah antara buah eksotik dan mula diperkenalkan di sini (Gerik) pada 2009. Walaupun ia antara produk baru di kawasan ini, namun permintaannya amat menggalakkan.

"Memandangkan pertanian adalah salah satu bidang utama negara kini, saya harap tembikai wangi dapat menjadi salah satu hasil pertanian negara yang dapat dipasarkan di luar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Menuai Tembikai Wangi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gerik hari ini. Lian Hoe yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, sasaran kini adalah untuk memasarkan tembikai wangi ke negara luar terutamanya Singapura. Pada masa yang sama, katanya, Gerik juga akan dijadikan sebagai pusat sehenti kepada tanaman yang dikategorikan sebagai eksotik. Kedudukan Gerik yang strategik antara laluan timur dan barat, katanya, akan membantu menaikkan prestasinya sebagai kawasan pertanian fertigasi.

"Sebelum ini tanaman roselle adalah antara produk utama di kawasan ini. Pokok ini berasal dari Sudan, Afrika dan boleh ditanam di sini. Tembikai wangi pula berasal dari Belanda dan juga boleh didapati di negara kita. Jika kita mampu menjadi antara pengeluar utamanya, mengapa kita tidak rebut peluang itu kerana buah ini adalah buah yang berprestij tinggi," katanya.

Saturday 16 January 2010

ANAK POKOK ROCKMELON BERUSIA 2 MINGGU (1/2010)

Pada hari ini Sabtu 16 Januari 2010 anak pokok rockmelon yang kami tanam dalam polibeg dah berusia dua minggu (14 hari). Nampak dah besar. Perkembangannya baik. Kami lilit batang pokok rockmelon ke tali lanjaran. Kerja-kerja melilit ini makan masa setengah hari. Sulur-sulur yang keluar di bahagian bawah telah kami cantas dan buang. Seronok tengok kehijauan daun-daun pokok rockmelon yang dah mula melebar dan mengembang.






Saturday 9 January 2010

ANAK POKOK ROCKMELON BERUSIA SEMINGGU (1/2010)

Hari ini usia anak pokok rockmelon yang kami tanam dah seminggu. Dah dua kali saya siram previcor-N di pangkal batang (akar). Ikut kaedah 1-4-7. Takut nanti dijangkiti kulat. Pokok rockmelon sangat mudah dijangkiti kulat. Kalau kulat dah menyerang, maknanya putih matalah kita. Harap-harap pokok-pokok ini tumbuh dengan sempurna.

Disamping itu kami dah mula mengikat tali lanjaran pada dawai agar nanti taklah sibuk sangat. Maklumlah part-time tanam pokok rockmelon ini memerlukan banyak kerja. Kerja-kerja memerlukan perancangan yang tepat. Pertumbuhan pokok rockmelon terlalu cepat. Takut tak terkejar.








Sunday 3 January 2010

MENGUBAH ANAK POKOK ROCKMELON KE POLIBEG (1/2010)


Hari ini kami tiga beranak pakat-pakat membuat kerja memindahkan anak-anak pokok rockmelon ke polibeg di bawah RPH. Semaian yang berusia 10 hari di tray semaian itu kelihatannya sihat dan cantik. Kami pindahkannya pada sebelah petang.

Kami harap anak-anak pokok rockmelon ini tumbuh dengan sempurna. Untuk permulaan kepekatan baja (EC) yang dialirkan ialah 1.4.





SEMAIAN ROCKMELON BERUSIA 8 HARI (1/2010)

Ini adalah semaian anak-anak pokok rockmelon berusia 8 hari di dalam tray semaian. Comel-comel belaka. Kami anak beranak bukanlah pro dalam hal ehwal pertanian ini. Tetapi apabila melihat hasil kerja kami menyemai biji benih yang kelihatan sebegini rupa, kami rasa sungguh gembira. Kami belai anak-anak pokok semaian ini agar terus tumbuh dengan sempurna.




SEMAIAN ROCKMELON BERUSIA 3 HARI (1/2010)

Biji benih rockmelon yang kami semai kini baru berusia 3 hari. Ada yang dah mula tumbuh dan ada yang masih belum pecah biji. Kebanyakannya dah mula tumbuh. Pada hari ketiga ini kami keluarkannya dari dalam karung plastik hitam dan letakkan tray semaian itu di bawah cahaya matahari.





MENYEMAI BIJI BENIH ROCKMELON (1/2010)

Hari ini kami mula menyemai biji benih rockmelon. Kami memilih rockmelon jenis glamour. Ada keistimewaan varieti glamour ini. Diantaranya ialah isinya manis dan berwarna jingga, jaringnya kelihatan timbul dan cantik, dan ia lebih berat jika dibandingkan dengan varieti lain walaupun saiznya sama.

Biji benih direndam dalam air suam terlabih dulu. Dititikkan beberapa titik dengan zat perangsang (Aatonik) dan racun kulat (Previcur-N). Kemudian rendaman biji benih ini dibiarkan selama lebih kurang 1 jam. Selepas itu, tos dan keringkan biji benih tersebut.

Sambil menunggu, isikan peat-moss ke dalam tray semaian 104 lubang. Buat lubang. Masukkan biji benih ke dalam lubang. Timbus lubang dengan lapisan peat-moss. Spray tray semaian dengan kabus air. Tray-tray semaian kemudian dibungkus ke dalam karung plastik hitam. Biarkan selama 2 - 3 hari. Pada hari ketiga bolehlah tray-tray semaian dikeluarkan daripada karung plastik hitam. Pada hari ketiga, biji benih mula bercambah. Letakkan di bawah cahaya matahari. Buat siraman. Pada hari ke lapan hingga ke sepuluh bolehlah anak-anak pokok rockmelon dipindahkan ke polibeg.