Sunday, 25 April 2010

MENYENGGARA RPH DAN MENYEMAI BIJI BENIH

Hari ini Ahad. Hari cuti hujung minggu. Kami tiga beranak dah merancang nak membersihkan RPH dan menyemai biji benih rockmelon. Saya ditugaskan membersihkan kawasan RPH termasuklah membasahkan cocopeat dalam polibeg. Manakala Adik dengan emaknya membuat kerja-kerja penyemaian biji benih rockmelon 'Glamour' dalam tray semaian 104 lubang.

Dengan menggunakan pencakar saya membersihkan daun-daun kering dan rumput yang telah kering lalu membakarnya. Selepas itu saya membasah dan mencuci cocopeat dengan air menggunakan salur getah. Lebih kurang 3 jam semua kerja pun selesai dan beres. Penat juga rasanya. Senang hati kami. Petang nanti boleh melawat rakan iaitu Hj. Mohd Shah Sairan yang sedang sakit dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Semoga dia cepat sembuh.


Kawasan RPH dah mula bersih.


Merendam biji benih dalam larutan yang dicampur sedikit Atonik dan Previcur-N.

Setelah direndam, biji benih ditos pada jaring.

Susunan tray semaian 104 lubang siap diisi dengan peatmos.

Tray semaian dibungkus dengan plastik hitam.


Saturday, 17 April 2010

RPH SEMAK SETELAH REHAT SEBULAN

Dah sebulan kami tak melakukan aktiviti penanaman rockmelon. Berehat sepuas-puasnya. Maklumlah projek part-time. Buat apabila hati rasa seronok nak buat. Dah lama sangat berehat, tengok-tengok kawasan RPH dah semak. Daun-daun yang kering belum lagi kami buang. Tali lanjaran kami kekalkan di situ sebab ia masih kuat dan kukuh dan boleh digunakan lagi. Jimat tenaga dan jimat kos.

Hari ini kami mula membersihkan kawasan RPH. Kami lurut daun-daun rockmelon yang dah mati mengering. Kami kumpulkan dan bakar. Selepas itu kami meracun rumpai yang tumbuh di kawasan itu. Oleh kerana kami tak pakai silver shine, ada rumput yang tumbuh. Meracun rumput ni kerja senang dan mudah.... sekejap saja dah selesai kerja-kerja meracun.
Esok hari Ahad. Kami akan cuci plastik RPH. Plastik itu berjelaga dengan lumut. Kalau tak cuci ia akan menghalang sinaran cahaya matahari daripada sampai ke bawah.