Tuesday, 9 April 2013

MEMBUNGKUS BUAH ROCKMELON

Hari ini 9 April 2013. Ini bermakna dah 40 hari usia tanaman rockmelon kami. Patutlah buah-buah dah mula keluarkan jejaring. Memang patut ia dibungkus. Balik dari kerja, kami buat kerja-kerja membungkus buah. Petang ini tentu tak siap... kami sambung petang esok. Kalau petang esok tak siap, kami sambung petang lusa. Petang lusa tak siap, kami sambung petang tulat... dan seterusnya.... Asalkan buah dibungkus. Bungkus mesti dibungkus. RPH kami tidak berkelambu. Takut nanti buah-buah dicucuk serangga perosak.







Monday, 8 April 2013

STRAWBERI TEKNIK FERTIGASI

Sesiapa yang mengunjungi kawasan tanah tinggi Cameron Highlands, pasti tidak melepaskan peluang melawat ladang teh atau strawberi. Pusat peranginan yang diterokai seorang pegawai Inggeris iaitu William Cameron pada tahun 1885 itu turut terkenal dengan produk sayur-sayuran, teh, bunga-bungaan serta buah-buahan iklim sederhana. Faktor iklim sederhana dengan suhu sekeliling antara 10 hingga 24 darjah celsius menjadikan kawasan tanah tinggi itu sesuai untuk tanaman strawberi. 

Usaha penanaman strawberi secara ladang turut diusahakan dua sahabat, Mohd Yusoff Abdul Satar, 44, dan Zulkefli Zahari, 52, menerusi pembukaan ladang strawberi, YZ Agrofarm di Taman Sedia, Tanah Rata. Walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pertanian, berkat minat dan usaha gigih, kini mereka antara usahawan strawberi berjaya di Cameron Highlands.

Mohd Yusof pernah berkhidmat dengan institusi perbankan dan Zulkifli pula bekas kakitangan Risda. 

Dengan bermodalkan wang simpanan dan pinjaman bank, mereka memberanikan diri menceburkan diri dalam bidang baru itu. 

Mereka bernasib baik kerana mendapat bimbingan seorang pengusaha, Khairani Mohamad yang 12 tahun menceburkan diri dalam penanaman strawberi, selain khidmat nasihat Jabatan Pertanian dan MARDI. Katanya, terdapat 30 pengusaha ladang strawberi dengan keluasan kira-kira 32 hektar dan hanya sembilan pengusaha Bumiputera mengusahakan ladang itu.

“Kami mempunyai dua kawasan ladang dengan tanaman kira-kira 18,000 pokok strawberi. Kebanyakan strawberi itu dijual segar kepada pengunjung yang turut dibenarkan mengutip sendiri,” katanya.

Menurutnya, tumbuhan strawberi amat sensitif dan memerlukan penjagaan rapi.

Rakannya, Zulkifli berkata, selepas dua tahun berkecimpung dalam tanaman strawberi, teknik fertigasi adalah kaedah penanaman terbaik bagi pokok itu.

“Sistem fertigasi tidak memerlukan kawasan yang luas selain tiada masalah dengan tahap kesuburan tanah. Kami menanam varieti strawberi jenis ‘festival’ kerana ia lebih sesuai dengan iklim Cameron Highlands dan hasilnya boleh dikutip dalam masa tiga bulan,” katanya.

Katanya, bagi meningkatkan pendapatan, mereka turut menghasilkan produk hiliran strawberi terutama dalam mempelbagaikan kegunaan buah itu seperti penghasilan kordial, buah kering, jem, halwa, jus, acar dan jeli. Mereka juga me­nyediakan gerai makanan bagi membolehkan pengunjung menikmati pelbagai juadah dalam suasana nyaman di ladang strawberi.

Sumber:  myMetro

Sunday, 24 March 2013

USAHA TINGKAT TANAMAN ROCKMELON


Penanaman secara fertigasi bukanlah satu perkara asing dalam sektor pertanian kerana ia sudah begitu banyak dipraktikkan oleh masyarakat petani di negara ini. Lazimnya, kebanyakan pengusaha akan menanam beberapa jenis tanaman yang bersesuaian seperti lada besar, timun, kacang panjang dan petola. Bagaimanapun, tidak semua jenis tanaman mampu mendatangkan keuntungan menggalakkan buat mereka kerana ia turut bergantung kepada harga pasaran semasa
 
Situasi itu turut dialami Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gombak / Petaling apabila projek tanaman cili fertigasi yang dimulakan pada 2009, hanya dapat dilaksanakan separuh jalan ekoran harga pasaran yang tidak menentu.
Pengurus Besarnya, Azman Md Lazim berkata, peristiwa itu menyebabkan aktiviti PPK Gombak / Petaling dalam tanaman fertigasi terhenti seketika namun ia kembali aktif pada tahun ini melalui program usahawan peladang muda.
 

Menurutnya, mereka memilih tanaman fertigasi rock melon sebagai projek utama kerana permintaan terhadap buah tersebut kian menggalakkan terutama di kawasan bandar namun bekalan di pasaran masih belum mencukupi.
“Oleh sebab itu, kami mengambil inisiatif memulakan kembali penanaman fertigasi ini dengan tumpuan diberikan kepada perusahaan berasaskan makanan,” katanya pada Info Agro.

 

Beliau berkata, program usahawan peladang muda ini turut diwujudkan bagi memenuhi keperluan makanan masyarakat di bandar bertepatan dengan lokasi PPK itu sendiri yang berdekatan dengan kawasan tersebut.
 

“Projek ini merupakan antara langkah kami dalam menyahut seruan Perdana Menteri untuk meningkatkan lagi pengeluaran hasil makanan negara,” katanya.
 

Azman berkata, program usahawan peladang muda membuka peluang kepada ahli PPK daerah itu untuk menjana pendapatan lumayan dengan syarat mereka perlu aktif dalam pertubuhan tersebut dan mempunyai pengalaman dalam bidang pertanian.
 

“Secara purata, pengusaha boleh menjana pendapatan sehingga RM20,000 bagi kawasan satu ekar dalam tempoh tiga bulan. Selain itu, tanaman ini mempunyai peratus risiko kerosakan yang rendah iaitu hanya sekitar dua hingga tiga peratus sahaja,” katanya.
 
Hasil lapan usahawan baru
 

Sehingga kini, PPK Gombak / Petaling menawarkan 3.64 hektar tanah kepada usahawan muda bagi projek penanaman rock melon dengan 0.81 hektar tanah telah pun digunakan sebagai projek rintis.
 

Apa yang menarik, mereka tidak perlu mengeluarkan sebarang kos perusahaan pada peringkat awal kerana segala input pertanian seperti baja dan peralatan akan dikendalikan pihak PPK.
 

Daripada aspek pasaran, PPK akan menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) melalui program ladang kontrak manakala pengusaha hanya perlu menanam dan menjaga tanaman dengan khidmat nasihat PPK.
 

“Pihak kami sedang dalam proses mengenal pasti ahli PPK yang berminat dengan projek ini di mana ia dijangka menghasilkan tujuh hingga lapan usahawan baru bagi mengusahakan tanah di sekitar Gombak dan Petaling.  
 

“Pelaksanaan projek ini diharap mampu merealisasikan hasrat kami untuk menjadikan PPK daerah ini sebagai pusat pengumpulan rock melon bagi negeri Selangor menjelang tahun hadapan,” katanya.
 

Dalam masa sama, beliau merancang untuk mengadakan bengkel berkaitan tanaman fertigasi ini bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ahli di samping membincangkan perkara itu dengan lebih ilmiah.  
 

“Kami turut merancang untuk memasarkan sendiri hasil rock melon yang ditanam pada masa akan datang bagi menjana pendapatan usahawan dengan lebih tinggi di samping menjana pendapatan pertubuhan ini sendiri,” katanya.  
 
Aplikasi kaedah tanaman terbuka
 

Usahawan rock melon, Shahrom Tumiran, 43, berkata, penyertaan beliau dalam projek rintis ini tercetus daripada galakan PPK sendiri yang mempercayai bakat dan kebolehannya dalam penanaman buah tersebut.
 

Menurutnya, tanaman rock melon secara fertigasi mempunyai lebih banyak kebaikan berbanding tanaman lain berdasarkan pengamatan dan pengalaman beliau selama enam tahun dalam bidang ini.  
 

“Rock melon amat mudah untuk ditanam dan berpotensi menjana keuntungan namun pengusaha tanaman ini perlu memberikan komitmen tinggi sekiranya ingin berjaya. Saya amat mengalu-alukan usaha yang dilaksanakan PPK ini bagi memastikan bekalan buah ini sentiasa mencukupi dan memberi nilai tambah kepada industri makanan negara,” katanya.  
 

Beliau memulakan fasa pertama bagi tanaman itu pada Mei dan menuai hasil pada Julai lalu  melalui penanaman 2,400 pokok melon. Penanaman rock melon gred A ini berjaya menghasilkan lima tan dan 20 kilogram buah tersebut dengan setiap pokok boleh menghasilkan dua kilogram buah secara purata.  
 

Shahrom berkata, projek rintis itu kini sudah memasuki fasa kedua di mana beliau menambah bilangan pokok kepada 2,000 pada bulan Ogos lalu dengan ia dijangka menghasilkan pengeluaran sebanyak lapan hingga 10 tan.
 

Projek rintis PPK ini juga menyaksikan beliau melaksanakan penanaman rock melon secara terbuka di mana ia merupakan kaedah baru dalam sektor pertanian di negara ini. Pada kebiasaannya, pokok ini ditanam melalui kaedah berbumbung namun penanaman secara terbuka didapati dapat  tumbuh dengan lebih cepat.
 

“Kaedah ini dapat menjimatkan kos kira-kira RM100,000 sekali gus memberi peluang kepada pengusaha untuk menjana keuntungan lebih tanpa perlu mengeluarkan modal terlalu besar,” katanya.
 

Beliau adalah pengusaha terawal di negara ini yang memulakan penanaman rock melon secara terbuka meski pun ketika itu rock melon banyak ditanam melalui kaedah berbumbung.

Sumber: Sinar Harian

Friday, 8 March 2013

TIP MEMANAM ROCKMELON PRESTASI TINGGI







Kepada penanam rockmelon fertigasi, nak tambah keuntungan, berusahalah ke arah pengeluaran sepokok lepaskan lebih daripada sebiji buah. Sebiji besar berat 2.0 kg dan cantik masih tak dapat jualan macam harga di Jepun. Orang Jepun menilai dari sudut berlainan sebab itu mereka sangat pentingkan kualiti dan sanggup bayar sehingga ratusan ringgit sebiji.. Mereka hargai kecantikan bentuk dan netting (deria lihat), mereka hargai keharuman dari aroma yang dikeluarkan (deria bau), dan mereka hargai keenakan rasanya (deria rasa).


Pasaran di Malaysia tak sampai tahap tu. Cukup berat, manis, bentuk ok, netting lebih kurang.... kira dah ok tu...


HABIT POKOK MELON FERTIGASI: Jangka hayat sekitar 70 - 85 hari di ladang. Mula berbunga 25 - 30 hari di ladang. Bunga jantan keluar dulu... bunga betina 2 - 3 hari lewat.

Panduan/tip menanam rockmelon:

  1. Kepekatan baja sentiasa bertambah setiap minggu dari 1.5 hingga lebih 3.8 mS/cm.
  2. Pada umur seminggu, getu pucuk utama untuk menggalakkan cabang dan banyak daun.
  3. Pada umur 20 - 25 hari di lading,  kepekatan lebih 2.0 mS/cm. Lebih baik tambah Ca.
  4. Pada umur 20 - 25 hari sapu pangkal batang dengan racun kulat cth: antracol dan lain-lain untuk mengelakkan gummy stem.
  5. Umur 20 - 25 hari boleh juga cucuk pangkal batang dengan lidi atau pencungkil gigi.
  6. Kawin bunga seawal mungkin sebaik sahaja bunga betina keluar (pada hari 26 - 30) diladang. Lakukan berturut-turut dan buat kepada semua bunga betina yag keluar. Waktunya antara pukul 7.30 - 11.00 pagi.
  7. Pada umur 38 - 45 hari buat pemilihan buah yang sama besar sahaja. Tinggalkan 2 - 4 biji sepokok.
  8. Buah yang lain dibuang. Jumlah buah yang dikekalkan bergantung kepada bilangan daun subur  dan sihat. Anggaran jumlah daun: 20 helai untuk 1 biji, 40 helai untuk 2 biji, 60 helai untuk 3 biji.
  9. Kalau nak besarkan buah, bolehlh celup dengan GA (giberillic acid).
  10. Kawin bunga awal, buah ada peluang untuk membesar lebih lama (30 - 60 hari).
  11. Ingat! Daun subur dan sihat adalah kilang untuk buat makanan pokok tersebut. Lebih banyak daun, mampu besarkan buah dan tampung keperluan pembesaran buah.
  12. Pada 7 - 10 hari sebelum pungut hasil pekatkan baja lebih kurang 3.8 mS/cm dengan Hi-K untuk tambah kemanisan
 Sumber dan penghargaan: AKM Tani

Friday, 1 March 2013

DOA SEMASA TANAM ROCKMELON SESI 1 2013







Petang ini petang Jumaat 1 Mac 2013 bermulalah sesi penanaman rockmelon bagi tahun 2013. Lama dah berehat sehingga hampir terlupa cara nak tanam anak-anak pokok ini... Dengan bantuan orang rumah dan Adik yang balik bercuti, didahului dengan bacaan doa, sepetang itu kami bekerja dengan tekun... dan akhirnya semua polibeg dah tertanam dengan anak benih rockmelon. Cantik jika dipandang dalam barisan.

Bacalah doa ini semasa ingin memulakan penanaman tumbuhan kita, insyallah diberkati oleh Allah SWT. Amin...


Genggam/pegang anak benih didalam tangan

بسم الله الرحمن الرحيم

أَأَنْتُمْ تَزْرَعُونَهُ أَمْ نَحْنُ الزَّارِعُونَ‏.

Apakah kamu yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkannya?

Kemudian membaca doa berikut:

اَللَّهُمَّ اجْعَلْهُ حَرْثًا مُبَارَكًا، وَارْزُقْنَا فِيْهِ السَّلاَمَةَ وَالتَّمَامَ، وَاجْعَلْهُ حَبًّا مُتَرَاكِبًا، وَلاَ تَحْرِمْنِي خَيْرَ مَا أَبْتَغِي، وَلاَ تَفُتَّنِي بِمَا مَتَّعْتَنِي بِحَقِّ مُحَمَّدٍ وَآلِهِ الطَّيِّبِيْنَ الطَّاهِرِيْنَ.

Ya Allah, jadikan benih ini menghasilkan pertanian yang penuh berkah, karuniakan kepada kami dalam pertanian ini keselamatan dan kesempurnaan. Jadikan benih ini keberhasilan yang melimpah. Jangan halangi aku dari kebaikan yang aku harapkan, dan jangan binasakan aku karena hasil yang menyenangkan, dengan hak Muhammad dan keluarganya yang baik dan suci.

Kemudian taburlah atau tanamlah benih yang ada dalam genggaman tanganmu itu, insya Allah, tanamanmu akan berhasil.


Amin...

Wednesday, 6 February 2013

REHAT YANG TERLALU LAMA...




Inilah rupanya RPH projek fertigasi rockmelon kami. Macam tak terurus. Plastik pelindung yang sepatutnya jernih, dah berlumut. Bukan kami dah tak hendak buat kerja-kerja itu lagi, tetapi kami nak rehat lebih panjang. Sejak daripada kerja-kerja menuai penanaman kali terakhir pada 20 September 2012, kami terpaksa menghadapi beberapa kisah, cerita dan rancangan yang tak dapat dielakkan yang jika kami terus menanam rockmelon, ianya mungkin tak akan menghasilkan buah-buah yang mantoppp... kerana kurang penjagaan.  Itulah, jika sesuatu projek dijalankan sebagai hobi... Buat dan tak buat ikut suka...

Antara penyebab yang membuatkan kami  lambat nak memulakan projek itu ialah:
  • Tak ada tenaga kerja. Usia kami dah masuk usia emas. Kurang tenaga walaupun tekad dan kemahuan ada. Oleh kerana projek masih dikategorikan bersaiz kecil, keuntungan maksima tak dapat diperoleh jika mengupah tenaga kerja.
  • Kami cuba juga mencari tenaga kerja tempatan di kampung kami sebagai 'part time', namun anak-anak muda dan penduduk kampung kami kira-kiranya mempunyai kerja tetap sama dalam perindustrian atau dalam sektor perkhidmatan...
  • Tiga anak-anak kami yang selalunya membantu kami masing-masing dah duduk berjauhan studi di universiti sama di universiti tempatan atau di luar negara. Sebelum ini semasa di kampung, dioranglah yang membantu kami berdua.
  • Kerjaya kami berdua sekarang yang menuntut lebih komitmen menjadikan kami tidak ada cukup masa untuk memberi lebih tumpuan kepada hobi yang kami ini...
  • Bercuti sakan balik kampung di Bagan Serai dan Taiping, Perak...
  • Bercuti selama 3 minggu merayau-rayau ke negara jiran Indonesia khususnya ke Bali, Jogjakarta, Solo dan Bandung.
  • ..........kami dah berusia emas, badan sakit-sakit... hehehehe...  

Insyaallah kami akan meneruskan projek kesayangan kami ini pada awal bulan Mach 2013. Ada pelanggan yang datang ke rumah nak membeli buah-buah itu. Ada keluarga rakan berbangsa Cina dua kali datang ke rumah sebelum menyambut Tahun Baru Cina untuk membeli buah-buah itu bagi hidangan menyambut Gong Xi Fa Chai. Sesungguhnya saya minta maaf atas permintaan yang tak dapat kami penuhi itu.

Tunggu cerita kami nanti...

Wednesday, 26 September 2012

SISTEM FERTIGASI ADALAH YANG TERBAIK BAGI MENANAM STRAWBERI


Syed Abd. Rahman Syed Abd. Rashid memetik strawberi
di ladangnya sambil dibantu oleh salah seorang pekerja.

Siapa yang tidak mengenali kawasan tanah tinggi Cameron Higlands, sejak mula kawasan tersebut ditemui dan diterokai oleh seorang pegawai Inggeris iaitu William Cameron pada tahun 1885. Sehingga kini ia terus terkenal dengan produk sayur-sayuran, teh, bunga-bungaan serta buah-buahan iklim sederhana terutamanya strawberi. Hal demikian kerana faktor iklim sederhana yang bersuhu antara 10 hingga 20 darjah celsius menjadikan Cameron Highlands amat sesuai dengan penanaman dan penghasilan buah tersebut.

Dianggarkan hampir 30 hektar kawasan penanaman strawberi telah dibangunkan dengan bilangan pekebun seramai 52 orang di sekitar pusat peranginan tersebut. Rata-rata pengeluaran strawberi di situ adalah dalam bentuk buah segar yang bernilai hampir RM60 juta hingga RM70 juta setahun.

Menurut Pengarah Urusan, Agriculture Products & Services Sdn. Bhd., Datuk Syed Abd. Rahman Syed Abd. Rashid, rata-rata pengusaha strawberi di Cameron Highlands terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Beliau yang juga salah seorang pengusaha strawberi menggunakan jenama Al-Mashoor menjelaskan, biarpun iklim dan cuaca yang sesuai namun mengusahakan tanaman strawberi mempunyai cabarannya tersendiri.

Strawberi amat sensitif, tidak seperti buah-buahan yang lain. Biarpun penanamannya di Cameron Highlands dilihat menjadi. Namun tidak semua bahagian di sini menjanjikan hasil yang lumayan. Tanaman ini dapat mengeluarkan hasil yang baik jika ditanam pada ketinggian dan kawasan yang tertentu sahaja. Beliau yang telah berkecimpung dalam perladangan strawberi selama lima tahun menyatakan, teknik fertigasi adalah yang terbaik bagi menanam strawberi.

Sistem tersebut tidak memerlukan kawasan yang luas. Malah tiada masalah dengan tahap kesuburan tanah berikutan tanaman tersebut tidak ditanam di atas tanah. Tambahnya, bagi meningkatkan pendapatan pengusaha tanaman tersebut, produk hiliran strawberi turut hasilkan bagi mempelbagaikan kegunaan buahnya. Hasil produk hiliran strawberi sahaja dianggarkan mampu mencecah sehingga RM12 juta hingga RM18 juta setahun. Justeru, produk-produk hiliran strawberi dilihat memiliki potensi untuk dijadikan produk hiliran pertanian utama bagi daerah Cameron Highlands.

Perkara tersebut turut diakui oleh Pegawai Pertanian, Jabatan Pertanian Negeri Pahang, Tasnim Ghazali bahawa produk hiliran berasaskan strawberi di Cameron Highlands memiliki potensi besar untuk dikembangkan. Justeru itu, jelas Tasnim, daerah itu kini telah disenaraikan dalam Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang dikelolakan oleh Jabatan Pertanian.

Program SDSI di bawah Jabatan Pertanian ini merupakan satu program yang berkonsepkan pembangunan beberapa jenis produk atau perkhidmatan beridentitikan satu-satu daerah. Program SDSI bertujuan mewujudkan satu industri di setiap daerah bagi meningkatkan pendapatan masyarakat setempat," ujarnya. Program tersebut diwujudkan bagi memanfaatkan sumber bekalan mentah yang sedia ada termasuk tenaga kerja dan kepakaran masyarakat setempat.

Dengan penyediaan khidmat nasihat dan bimbingan dari segi infrastruktur dan kemudahan dan kelengkapan yang ada, SDSI dilihat mampu menjadi satu mekanisme penting dalam membangunkan usahawan di kalangan penduduk desa.

Dikenali dengan nama saintifik fragaria rosaceae, strawberi kaya dengan vitamin C dan pelbagai garam mineral seperti potassium, fosforus, dan kalsium. Buah itu juga mengandung fitonutrient dan antioksidan yang memerangi radikal bebas. Unsur antioksidan inilah yang dipercayai memberikan warna merah pada buah strawberi. Selain itu, buah strawberi juga mengandung Vitamin K, mangan, asid folik, riboflavin, vitamin B5, Vitamin B6, magnesium dan omega-3.

Di Cameron Highlands, terdapat beberapa ladang strawberi yang kebanyakannya dibuka kepada orang ramai seperti ladang The Red Strawberry Farm, EQ Strawberry Farm dan Raju Hills Strawberry di Brinchang. KHM Strawberrypula, Taman Agro Al Mashoor dan Hasr di Taman Sedia, di Tanah Rata.

Selain mengeluarkan buah-buahan strawberi segar, ladang-ladang ini juga turut menghasilkan produk hiliran seperti seperti jem, kordial, halwa, jus, acar, jeli dan topping yang semakin meningkat permintaannya dari semasa ke semasa. Produk jem strawberi yang sebahagiannya dihasilkan sendiri turut menjadi daya tarikan kepada pelancong, pengunjung dan dijadikan sebagai buah tangan untuk dibawa pulang.

Antara lain, produk strawberi kering juga sering menjadi perhatian kerana ia tahan lama dan peminatnya boleh menikmati keenakan buah tersebut sepanjang tahun berikutan ketahanannya. Ia sesuai dijadikan sebagai hidangan pembuka selera dan pencuci mulut mahupun digabungkan bersama sarapan berbentuk bijirin.

Sebagai sebuah agensi yang bertangungjawab, Jabatan Pertanian memainkan peranan sebagai agensi yang bertanggungjawab menyediakan segala dana berbentuk infrastruktur, peralatan, bengkel yang bernilai hampir RM300,000.

Dalam pada itu, Jabatan Pertanian turut membantu mempromosi produk berasaskan strawberi yang dihasilkan oleh pengusaha tersebut ke seluruh negara. Malah, setiap tahun, jabatan akan memilih pengusaha yang terbaik untuk menyertai pameran SDSI yang diadakan di seluruh Malaysia.

Sehingga kini, SDSI di Cameron Highlands telah disertai sembilan orang pengusaha bumiputera malah turut menggalakkan bagi mereka yang berminat untuk menyertainya. Selain membantu menyediakan infrastruktur, peralatan, dana serta mengelolakan lawatan dari luar negara ke ladang-ladang pengusaha tersebut, jabatan turut menyediakan kursus-kursus untuk menghasilkan produk berasaskan strawberi.

Friday, 21 September 2012

AZAM TANI BANTU 7,632 KELUARGA MISKIN TEGAR


Perdana Menteri melihat buah rock melon pada pelancaran
NBOS3 di Sepang.
Sepang – Seramai 7,632 peserta di bawah inisiatif Azam Tani yang menerima bantuan kerajaan bagi mengusahakan pelbagai tanaman kini memperoleh pendapatan lebih baik. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia merupakan salah satu kisah kejayaan kerajaan dalam membawa keluarga miskin tegar dan miskin keluar daripada belenggu kemiskinan.

Katanya, Azam Tani yang merupakan program di bawah 1Azam (Akhiri Zaman Miskin) memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan peluang ekonomi serta meningkatkan produktiviti isi rumah berpendapatan rendah. Tambah beliau, kerajaan bukan sahaja berhasrat membawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan buat seketika tetapi juga hidup berdikari.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Blue Ocean Strategy 3 (NBOS3) di sini semalam. Kerajaan akan memperluaskan projek Strategi Lautan Biru Kebangsaan 3 (NBOS3) di sini untuk meningkatkan taraf hidup. NBOS3 merupakan satu projek yang terunggul dan berjaya. Kejayaan projek pertanian berteknologi tinggi yang membabitkan penanaman ‘rock melon’ dijangka menjana pendapatan bersih RM100,000 setiap tuaian telah mendorong kerajaan untuk memperluaskan projek ini, katanya kepada pemberita selepas melawat projek NBOS3 di KM 6.8, Jalan Nilai-KLIA di sini.

Sebanyak RM3 juta akan diperuntukkan dari dana mikro bagi memperluaskan projek penanaman ‘rock melon’ yang mempunyai nilai pasaran tinggi di tanah seluas 1.6 hektar di Sepang.

April 2012

Monday, 17 September 2012

MENGEMAS KAWASAN RPH SETELAH HARVEST

Pagi ini bersama anak-anak, kitorang mengemas kawasan RPH. Setelah harvest, kertas surat khabar pembungkus buah berselerak di sana sini. Tak sedap mata memandang. Sementelah pulak anak-anak balik kampung kerana cuti Hari Malaysia, ringanlah sikit kerja mengemas dengan bantuan diorang. Pokok-pokok pun dah layu setelah dipotong pangkalnya semasa harvest. Apabila dah hampir kering nanti mudahlah untuk membersihkannya... dan dah tak gatal. Masih ada beberapa pokok yang buahnya belum dipetik... kes masak tak seragam. Alhamdulillah, kerja mengemas selesai pada pukul 11.00 pagi. Terima kasih anak-anakku yang membantu...







Saturday, 15 September 2012

YEYYY... SERONOKNYA HARVEST ROCKMELON DAN MUSKMELON

Hari ni dah tiba masanya kitorang tuai sebahagian buah-buah rockmelon dan muskmelon yang dah masak. Memang dah masak pun...Berbekalkan gunting dan kereta sorong kitorang petik buah-buah itu dari satu pokok ke pokok yang lain. Kami pilih buah yang betuk-betul dah masak. Yang belum cukup masak kami biarkan dulu. Dua atau tiga hari nanti tentu ia masak jua...

Hari ini kitorang tuai cukup-cukup jumlahnya sebagaiman yang diminta oleh pelanggan tetap kami. Ada juga permintaan daripada individu dan rakan-rakan yang dah pernah merasa buah itu yang ingin membelinya. Secara rambang, diorang lebih meminati buah rockmelon (glamour) berbanding buah muskmelon (signal). Sebenarnya muskmelon jenis signal ini kami suka-suka tanam. Saje-saje nak rasa... Buahnya apabila matang berwarna kuning tua. Berbentuk lonjong. Tidak seperti 'golden langkawi' yang dalamnya berwarna putih, muskmelon jenis signal ini dalamnya warna oren muda. Rasa buahnya memang sedap dan manis.

Hujung minggu ini menu santapan kami buah melon. Sarapan dengan buah rockmelon..., makan tengahari dengan buah muskmelon..., minum air jus rockmelon..., minum petang dengan air muskmelon..., cuci mulut makan malam  dengan buah rockmelon dan muskmelon... almaklumlah kan kami ni tokeh rockmelon... hehehe....