Sesiapa yang mengunjungi kawasan tanah tinggi Cameron Highlands, pasti tidak melepaskan peluang melawat ladang teh atau strawberi. Pusat peranginan yang diterokai seorang pegawai Inggeris iaitu
William Cameron pada tahun 1885 itu turut terkenal dengan produk
sayur-sayuran, teh, bunga-bungaan serta buah-buahan iklim sederhana.
Faktor iklim sederhana dengan suhu sekeliling antara 10 hingga 24
darjah celsius menjadikan kawasan tanah tinggi itu sesuai untuk tanaman
strawberi.
Usaha penanaman strawberi secara ladang turut diusahakan dua
sahabat, Mohd Yusoff Abdul Satar, 44, dan Zulkefli Zahari, 52, menerusi
pembukaan ladang strawberi, YZ Agrofarm di Taman Sedia, Tanah Rata. Walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pertanian, berkat
minat dan usaha gigih, kini mereka antara usahawan strawberi berjaya di
Cameron Highlands.
Mohd Yusof pernah berkhidmat dengan institusi perbankan dan Zulkifli pula bekas kakitangan Risda.
Dengan bermodalkan wang simpanan dan pinjaman bank, mereka memberanikan diri menceburkan diri dalam bidang baru itu.
Mereka bernasib baik kerana mendapat bimbingan seorang pengusaha,
Khairani Mohamad yang 12 tahun menceburkan diri dalam penanaman
strawberi, selain khidmat nasihat Jabatan Pertanian dan MARDI.
Katanya, terdapat 30 pengusaha ladang strawberi dengan keluasan
kira-kira 32 hektar dan hanya sembilan pengusaha Bumiputera mengusahakan
ladang itu.
“Kami mempunyai dua kawasan ladang dengan tanaman kira-kira 18,000 pokok strawberi. Kebanyakan strawberi itu dijual segar kepada pengunjung yang turut dibenarkan mengutip sendiri,” katanya.
Menurutnya, tumbuhan strawberi amat sensitif dan memerlukan penjagaan rapi.
Rakannya, Zulkifli berkata, selepas dua tahun berkecimpung dalam
tanaman strawberi, teknik fertigasi adalah kaedah penanaman terbaik bagi
pokok itu.
“Sistem fertigasi tidak memerlukan kawasan yang luas selain tiada masalah dengan tahap kesuburan tanah. Kami menanam varieti strawberi jenis ‘festival’ kerana ia lebih
sesuai dengan iklim Cameron Highlands dan hasilnya boleh dikutip dalam
masa tiga bulan,” katanya.
Katanya, bagi meningkatkan pendapatan, mereka turut menghasilkan
produk hiliran strawberi terutama dalam mempelbagaikan kegunaan buah itu
seperti penghasilan kordial, buah kering, jem, halwa, jus, acar dan
jeli. Mereka juga menyediakan gerai makanan bagi membolehkan pengunjung
menikmati pelbagai juadah dalam suasana nyaman di ladang strawberi.
Sumber: myMetro
Sumber: myMetro
No comments:
Post a Comment