Showing posts with label Fertigasi. Show all posts
Showing posts with label Fertigasi. Show all posts

Sunday, 19 May 2013

FERTIGASI UBAH WAJAH SEKTOR PERTANIAN

Melihat kepada faktor tersebut, kerajaan melalui pengenalan Pelan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) memberi peluang kepada petani untuk menguruskan tanah terbiar sekali gus memajukan kawasan tersebut dengan aktiviti ekonomi khususnya projek pertanian berteknologi tinggi.

Maka atas dasar berkenaan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan kerjasama Kementerian Pertahanan memperkenalkan NBOS khusus untuk petani di bawah projek NBOS 3.

Melalui projek tersebut, kawasan yang diberikan perlu dibangunkan dengan penanaman rock melon secara fertigasi menggunakan struktur pelindung hujan (SPH).
Bagi seorang pengusaha tanaman rock melon, Muhammad Hussain Abu Bakar, menceburi bidang tanaman secara fertigasi membantunya menambah pendapatan dengan lebih cepat.

Petani berusia 49 tahun dari Sungai Petani, Kedah itu menjelaskan, penanaman moden ini telah mendorongnya untuk meninggalkan pekerjaan tetap yang sedang dilakukan bagi memberi tumpuan penuh terhadap tanaman rock melon.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai Penolong Pegawai Pertanian di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pada tahun 1995, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja semata-mata untuk memberi perhatian kepada projek ini.

“Memandangkan saya mempunyai latar belakang pekerjaan dalam pertanian, secara tidak langsung saya mendapat bimbingan serta ilmu pengetahuan bidang tersebut semasa di UPM dahulu, sekali gus mempraktikkan kelebihan itu semasa menjalankan tanaman secara fertigasi" katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Muhammad Hussain merupakan salah seorang petani yang terlibat dalam Projek NBOS3 di tanah milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Mukim Labu daerah Sepang.

Projek tersebut dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini. Yang turut hadir pada pelanacaran itu ialah Menteri Pertahanan; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Datuk Dr Abdul Shukor Ab. Rahman.

Walaupun pada awal pembabitan Muhammad Hussain tidak memiliki sebarang pengetahuan asas dalam bidang pertanian secara fertigasi, namun atas minat dan kesungguhannya, kini dia merupakan antara pengusaha rock melon yang berjaya.
Berkongsi pengalaman kali pertama mengusahakan tanaman tersebut, dia memberitahu segalanya bermula pada tahun 2007 dengan rock melon ditanam atas tanah seluas tiga ekar di Ulu Yam, Selangor.

Melalui projek tersebut, Muhammad Hussain mendapat bantuan modal dari Jabatan Pertanian berjumlah RM50,000 untuk dijadikan modal pusingan.


“Ladang rock melon yang saya usahakan di Hulu Langat berkeluasan tujuh ekar disewa oleh kerajaan negeri dengan harga RM300 sebulan.

“Melihat kejayaan ladang tersebut, saya ditawarkan sebagai pengusaha bagi projek NBOS 3 di Sepang sekali gus di berikan tanah seluas satu ekar oleh kerajaan meneruskan projek tersebut," katanya.

Minat mendalam terhadap bidang pertanian moden membuka ruang kepada dirinya untuk mencabar kebolehan yang dimiliki tatkala tidak ramai yang sanggup mengambil risiko mengusahakan projek tersebut.

Ujarnya, ramai petani kini tidak yakin dengan cara penanaman secara fertigasi kerana ia memerlukan pengetahuan teknologi yang tinggi.

Sistem yang digunakan untuk menjayakan projek tersebut amat mudah dipraktikkan oleh petani sekiranya mereka bersungguh-sungguh mempelajari cara penggunaan mesin yang disediakan.

“Mempelajari cara penggunaan mesin yang digunakan khusus untuk mengusahakan tanaman ini tidak susah kerana ia amat ringkas dan mudah serta praktikal bagi mereka yang tidak tahu menggunakan mesin berteknologi tinggi seperti saya.

“Kerana kemudahan seperti itulah saya tidak pernah patah semangat untuk meneruskan penglibatan dalam bidang yang tidak ramai ceburi ini.

“Penggunaan mesin skrin sentuh automatik juga memudahkan pengawalan tumbesaran tanaman seperti yang diingini petani," katanya.

Di samping penggunaan mesin berteknologi tinggi, petani juga perlu mahir dalam proses menyelenggara seperti mencantas, membersih kawasan tanaman, membaja serta meracun sekitar tanaman.

Katanya, kos bagi kesemua proses penyelenggaraan tersebut tidak terlalu tinggi kerana ia hanya memerlukan modal sekitar RM1,000 sahaja bagi satu pusingan tanaman.

Kelebihan yang terdapat pada rock melon yang ditanam secara fertigasi ini adalah ia ditanam di bawah rumah lindungan hujan dan ini menjadikan tanaman tersebut tidak begitu terdedah kepada serangan serangga serta cuca lembap ketika hujan.
 
Tidak menolak kemungkinan menanam secara fertigasi memberi masalah kepada petani yang mengusahakannya secara separuh masa tanpa pekerja, katanya ia berlaku kerana kerja-kerja penyelenggaraan pokok perlu dibuat dengan kadar yang pantas.

“Kebarangkalian untuk buah rock melon tidak menjadi ketika proses kacuk tetap ada kerana itu adalah kebiasaan dalam bidang pertanian khususnya melibatkan buah.

“Justeru, penanaman buah ini memerlukan pemerhatian yang spesifik dan sangat kos efektif kerana tidak memerlukan masa yang lama untuk mendapatkan hasilnya," jelasnya.

Tambahnya tanaman rock melon juga tidak sensitif seperti tanaman lain dan prosesnya mudah iaitu bermula dengan memasukkan benih ke dalam polibeg seterusnya diatur di setiap batas.

Melihat tanaman secara fertigasi ini mempunyai masa depan yang cerah, Muhammad Hussain berpendapat ia juga mampu menarik minat generasi muda untuk menceburinya.

Sementara itu menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Sumber Strategik MARDI, Dr. Norowi Hamid, projek pertanian berteknologi tinggi itu diterajui oleh MARDI dengan pelaksanaannya turut melibatkan Syarikat Melonaire Farm Sdn. Bhd., selaku syarikat peneraju.

“Projek ini boleh dijadikan sebagai model inkubator untuk membangunkan usahawan moden yang pesertanya adalah terdiri dari golongan petani miskin daripada Program Azam Tani di negeri Selangor.

“Peserta-peserta Azam Tani yang yang berminat dan berkemampuan akan dilibatkan sebagai tenaga kerja, manakala peserta yang kurang berkemampuan akan menerima dividen pasif berdasarkan pulangan projek,’’ ujarnya.

Selain itu katanya, lulusan Kolej Pertanian dan institusi-institusi pertanian serta bekas-bekas tentera dan graduan juga dapat menjalani latihan praktikal di tapak projek berkenaan.

Jika dahulu generasi muda berpendapat bidang pertanian merupakan satu cabang yang sulit untuk diceburi kerana memerlukan perkakas pertanian tradisional seperti cangkul ataupun perkakas pertanian lain.

Namun kini mereka tidak perlu bersusah payah kerana segala proses fertigasi menggunakan peralatan yang moden dan dikawal selia oleh komputer.

Sumber:  Utusan Malaysia

Monday, 8 April 2013

STRAWBERI TEKNIK FERTIGASI

Sesiapa yang mengunjungi kawasan tanah tinggi Cameron Highlands, pasti tidak melepaskan peluang melawat ladang teh atau strawberi. Pusat peranginan yang diterokai seorang pegawai Inggeris iaitu William Cameron pada tahun 1885 itu turut terkenal dengan produk sayur-sayuran, teh, bunga-bungaan serta buah-buahan iklim sederhana. Faktor iklim sederhana dengan suhu sekeliling antara 10 hingga 24 darjah celsius menjadikan kawasan tanah tinggi itu sesuai untuk tanaman strawberi. 

Usaha penanaman strawberi secara ladang turut diusahakan dua sahabat, Mohd Yusoff Abdul Satar, 44, dan Zulkefli Zahari, 52, menerusi pembukaan ladang strawberi, YZ Agrofarm di Taman Sedia, Tanah Rata. Walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pertanian, berkat minat dan usaha gigih, kini mereka antara usahawan strawberi berjaya di Cameron Highlands.

Mohd Yusof pernah berkhidmat dengan institusi perbankan dan Zulkifli pula bekas kakitangan Risda. 

Dengan bermodalkan wang simpanan dan pinjaman bank, mereka memberanikan diri menceburkan diri dalam bidang baru itu. 

Mereka bernasib baik kerana mendapat bimbingan seorang pengusaha, Khairani Mohamad yang 12 tahun menceburkan diri dalam penanaman strawberi, selain khidmat nasihat Jabatan Pertanian dan MARDI. Katanya, terdapat 30 pengusaha ladang strawberi dengan keluasan kira-kira 32 hektar dan hanya sembilan pengusaha Bumiputera mengusahakan ladang itu.

“Kami mempunyai dua kawasan ladang dengan tanaman kira-kira 18,000 pokok strawberi. Kebanyakan strawberi itu dijual segar kepada pengunjung yang turut dibenarkan mengutip sendiri,” katanya.

Menurutnya, tumbuhan strawberi amat sensitif dan memerlukan penjagaan rapi.

Rakannya, Zulkifli berkata, selepas dua tahun berkecimpung dalam tanaman strawberi, teknik fertigasi adalah kaedah penanaman terbaik bagi pokok itu.

“Sistem fertigasi tidak memerlukan kawasan yang luas selain tiada masalah dengan tahap kesuburan tanah. Kami menanam varieti strawberi jenis ‘festival’ kerana ia lebih sesuai dengan iklim Cameron Highlands dan hasilnya boleh dikutip dalam masa tiga bulan,” katanya.

Katanya, bagi meningkatkan pendapatan, mereka turut menghasilkan produk hiliran strawberi terutama dalam mempelbagaikan kegunaan buah itu seperti penghasilan kordial, buah kering, jem, halwa, jus, acar dan jeli. Mereka juga me­nyediakan gerai makanan bagi membolehkan pengunjung menikmati pelbagai juadah dalam suasana nyaman di ladang strawberi.

Sumber:  myMetro

Wednesday, 26 September 2012

SISTEM FERTIGASI ADALAH YANG TERBAIK BAGI MENANAM STRAWBERI


Syed Abd. Rahman Syed Abd. Rashid memetik strawberi
di ladangnya sambil dibantu oleh salah seorang pekerja.

Siapa yang tidak mengenali kawasan tanah tinggi Cameron Higlands, sejak mula kawasan tersebut ditemui dan diterokai oleh seorang pegawai Inggeris iaitu William Cameron pada tahun 1885. Sehingga kini ia terus terkenal dengan produk sayur-sayuran, teh, bunga-bungaan serta buah-buahan iklim sederhana terutamanya strawberi. Hal demikian kerana faktor iklim sederhana yang bersuhu antara 10 hingga 20 darjah celsius menjadikan Cameron Highlands amat sesuai dengan penanaman dan penghasilan buah tersebut.

Dianggarkan hampir 30 hektar kawasan penanaman strawberi telah dibangunkan dengan bilangan pekebun seramai 52 orang di sekitar pusat peranginan tersebut. Rata-rata pengeluaran strawberi di situ adalah dalam bentuk buah segar yang bernilai hampir RM60 juta hingga RM70 juta setahun.

Menurut Pengarah Urusan, Agriculture Products & Services Sdn. Bhd., Datuk Syed Abd. Rahman Syed Abd. Rashid, rata-rata pengusaha strawberi di Cameron Highlands terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Beliau yang juga salah seorang pengusaha strawberi menggunakan jenama Al-Mashoor menjelaskan, biarpun iklim dan cuaca yang sesuai namun mengusahakan tanaman strawberi mempunyai cabarannya tersendiri.

Strawberi amat sensitif, tidak seperti buah-buahan yang lain. Biarpun penanamannya di Cameron Highlands dilihat menjadi. Namun tidak semua bahagian di sini menjanjikan hasil yang lumayan. Tanaman ini dapat mengeluarkan hasil yang baik jika ditanam pada ketinggian dan kawasan yang tertentu sahaja. Beliau yang telah berkecimpung dalam perladangan strawberi selama lima tahun menyatakan, teknik fertigasi adalah yang terbaik bagi menanam strawberi.

Sistem tersebut tidak memerlukan kawasan yang luas. Malah tiada masalah dengan tahap kesuburan tanah berikutan tanaman tersebut tidak ditanam di atas tanah. Tambahnya, bagi meningkatkan pendapatan pengusaha tanaman tersebut, produk hiliran strawberi turut hasilkan bagi mempelbagaikan kegunaan buahnya. Hasil produk hiliran strawberi sahaja dianggarkan mampu mencecah sehingga RM12 juta hingga RM18 juta setahun. Justeru, produk-produk hiliran strawberi dilihat memiliki potensi untuk dijadikan produk hiliran pertanian utama bagi daerah Cameron Highlands.

Perkara tersebut turut diakui oleh Pegawai Pertanian, Jabatan Pertanian Negeri Pahang, Tasnim Ghazali bahawa produk hiliran berasaskan strawberi di Cameron Highlands memiliki potensi besar untuk dikembangkan. Justeru itu, jelas Tasnim, daerah itu kini telah disenaraikan dalam Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang dikelolakan oleh Jabatan Pertanian.

Program SDSI di bawah Jabatan Pertanian ini merupakan satu program yang berkonsepkan pembangunan beberapa jenis produk atau perkhidmatan beridentitikan satu-satu daerah. Program SDSI bertujuan mewujudkan satu industri di setiap daerah bagi meningkatkan pendapatan masyarakat setempat," ujarnya. Program tersebut diwujudkan bagi memanfaatkan sumber bekalan mentah yang sedia ada termasuk tenaga kerja dan kepakaran masyarakat setempat.

Dengan penyediaan khidmat nasihat dan bimbingan dari segi infrastruktur dan kemudahan dan kelengkapan yang ada, SDSI dilihat mampu menjadi satu mekanisme penting dalam membangunkan usahawan di kalangan penduduk desa.

Dikenali dengan nama saintifik fragaria rosaceae, strawberi kaya dengan vitamin C dan pelbagai garam mineral seperti potassium, fosforus, dan kalsium. Buah itu juga mengandung fitonutrient dan antioksidan yang memerangi radikal bebas. Unsur antioksidan inilah yang dipercayai memberikan warna merah pada buah strawberi. Selain itu, buah strawberi juga mengandung Vitamin K, mangan, asid folik, riboflavin, vitamin B5, Vitamin B6, magnesium dan omega-3.

Di Cameron Highlands, terdapat beberapa ladang strawberi yang kebanyakannya dibuka kepada orang ramai seperti ladang The Red Strawberry Farm, EQ Strawberry Farm dan Raju Hills Strawberry di Brinchang. KHM Strawberrypula, Taman Agro Al Mashoor dan Hasr di Taman Sedia, di Tanah Rata.

Selain mengeluarkan buah-buahan strawberi segar, ladang-ladang ini juga turut menghasilkan produk hiliran seperti seperti jem, kordial, halwa, jus, acar, jeli dan topping yang semakin meningkat permintaannya dari semasa ke semasa. Produk jem strawberi yang sebahagiannya dihasilkan sendiri turut menjadi daya tarikan kepada pelancong, pengunjung dan dijadikan sebagai buah tangan untuk dibawa pulang.

Antara lain, produk strawberi kering juga sering menjadi perhatian kerana ia tahan lama dan peminatnya boleh menikmati keenakan buah tersebut sepanjang tahun berikutan ketahanannya. Ia sesuai dijadikan sebagai hidangan pembuka selera dan pencuci mulut mahupun digabungkan bersama sarapan berbentuk bijirin.

Sebagai sebuah agensi yang bertangungjawab, Jabatan Pertanian memainkan peranan sebagai agensi yang bertanggungjawab menyediakan segala dana berbentuk infrastruktur, peralatan, bengkel yang bernilai hampir RM300,000.

Dalam pada itu, Jabatan Pertanian turut membantu mempromosi produk berasaskan strawberi yang dihasilkan oleh pengusaha tersebut ke seluruh negara. Malah, setiap tahun, jabatan akan memilih pengusaha yang terbaik untuk menyertai pameran SDSI yang diadakan di seluruh Malaysia.

Sehingga kini, SDSI di Cameron Highlands telah disertai sembilan orang pengusaha bumiputera malah turut menggalakkan bagi mereka yang berminat untuk menyertainya. Selain membantu menyediakan infrastruktur, peralatan, dana serta mengelolakan lawatan dari luar negara ke ladang-ladang pengusaha tersebut, jabatan turut menyediakan kursus-kursus untuk menghasilkan produk berasaskan strawberi.

Friday, 25 December 2009

PROJEK FERTIGASI SDR. BAKHTIAR DI TKPM AYER HITAM



Balik dari Projek Pertanian Moden, Ayer Hitam, kami singgah di Institut Pertanian Ayer Hitam (IPAH). Di IPAH kami mengunjungi Sdr. Bakhtiar yang menjadi peserta Taman Kekal Pengeluaran Makanan di situ. Sdr. Bakhtiar ini member sekampung kami. Dia diberi peluang untuk mengusahakan 5 lot RPH (fertigasi) di TKPM IPAH ini. Banyak tu... Di situ ada 9 orang peserta. Dah lama juga dia mengushakan projek fertigasi di situ.

Satu benda yang menarik perhatian saya di sini ialah penggunaan pasu khas untuk menggantikan polibeg. Di IPAH, peserta telah mula menggunakan pasu ini. Mengapa? Alasan yang diberi ialah penggunaan polibeg tak tahan lama, selalu reput dan koyak. Pasu yang mereka gunakan adalah ditempah khas di kilang dan tidak berlubang. Lubang dibuat sendiri mengikut keperluan jenis tanaman. Pasu ini tahan lebih lama kira-kira 10 tahun. Itu perakuan pihak kilang. Cocopeat (medium) mudah dimasukkan tidak seperti masukkan medium dalam polibeg. Satu hari nanti saya pun nak tukar kepada pasu ini.

Ketika ini Sdr. Bakhtiar sedang mengusahakan tanaman tomato ceri. Kelihatannya, pokok dan buahnya cantik. Minggu hadapan hasil dah matang. Projek yang berjaya! Tahniah!
Pintu masuk ke tapak Taman Kekal Pengeluaran Makanan,
IPAH Ayer Hitam, Johor.
Sdr. Bakhtiar mengushakan tanaman tomati ceri secara fertigasi.

Inilah pasu yang ditempah khas. Belum ada lubang di bawahnya.

Lubang dibuat sendiri mengikut keperluan jenis tanaman yang ditanam.

Wednesday, 23 December 2009

FERTIGASI: PENGENALAN KEPADA FERTIGASI


Fertigasi berasal dari dua perkataan Inggeris iaitu fertilization dan irrigation . Definisi Fertigasi adalah satu kaedah penanaman yang mana pemberian baja yang lengkap kepada tanaman diberikan dalam bentuk larutan dan disalurkan ke zon akar melalui sistem pengairan titis.

Fertigasi adalah salah satu daripada cabang hidroponik yang antara lainnya ialah seperti Sistem Titis Mikro, Hidroponik Aliran Dalam, Hidroponik Aliran Cetek, Hidroponik statik, Aeroponik dan Pemercik Mikro. Ia sebagai satu kaedah penanaman di mana baja(dalam bentuk larutan) diagihkan ke zon pengakaran tanaman melalui sistem pengairan.

Dua asas utama fertigasi iaitu baja (dalam bentuk larutan) dan sistem pengairan. Kebanyakan sistem pengairan yang digunakan untuk pengagihan baja ialah jenis titisan . Sistem pengairan renjis atau Iain-lain cenderung digunakan untuk pengagihan kimia-kimia lain seperti racun serangga, kulat, semburan hormon dan Iain-lain dalam teknik chemigation.

Pokok ditanam di dalam bekas atau polibeg yang mengandungi media bukan tanah yang sesuai. Media yang biasa digunakan adalah sekam bakar dan sabut proses (ratio 50:50) yang mempunyai pH 6.5 - 6.8. Pembajaan yang diberikan mengikut formulasi baja yang tertentu bergantung kepada jenis tanaman.

Tanaman kebiasaannya ditanam di tapak penanaman yang mempunyai struktur pelindung hujan dan serangga. Dalam kaedah ini pokok boleh juga ditanam dalam bekas di tempat yang terbuka.

Bekas tanaman dan jenis media adalah alternatif mengatasi masalah penanaman. Media bukan tanah (soiless culture) seperti pasir, arang dan habuk sabut digunakan bertujuan mengatasi masalah kesesuaian atau penyakit tanah. Media diisi di dalam bekas seperti polibeg atau pasu bersaiz tertentu untuk memenuhi keperluan ruang zon perakaran tanaman yang optima sesuatu tanaman. Bekas tanaman diguna dan diletakkan tanpa mencecah tanah adalah sebagai langkah pencegahan merebaknya pathogen daripada tanah.Dalam situasi begini media tanaman bukan tanah (soiless culture) tidak mengandungi nutrien yang seimbang atau mencukupi untuk keperluan pertumbuhan pokok. Kaedah ini juga boleh dipanggil hidroponik beraggregat atau hidroponik titisan. Oleh itu, prestasi tanaman sangat dipengaruhi oleh kualiti nutien ( keseimbangan, kepekatan, Ph, kuantiti), mutu air dan input yang dibekalkan.

Fertigasi adalah teknik dan teknologi baru yang diperkenalkan dalam industri pertanian. Sistem ini sangat praktikal diusahakan kerana mengurangkan kos jangka panjang dan mengurangkan tenaga kerja. Yang menariknya adalah hasil produk pertanian yang tinggi dan sangat menguntungkan sesiapa saja yang terlibat.

Fertigasi dipraktikkan sebagai satu kaedah alternatif. Penerimaan dan penggunaan kaedah ini masih rendah dan menjadi suatu kaedah atau teknologi yang amat diperlukan pada masa akan datang. Untuk mendapat faedah yang optima daripada kaedah ini, biasanya semua langkah awal diambil perhatian termasuk sifat media yang baik dan sesuai untuk jenis- jenis tanaman, jenis dan bekas tanaman, dan formulasi baja (nutrien) yang seimbang.

Secara ringkasnya kaedah penanaman secara fertigasi adalah kaedah moden yang praktikal, mengikut amalan pertanian yang baik, sentiasa di dalam kawalan menuju kea rah ‘precision farming’. Ini sangat penting dalam trasformasi teknologi pertanian masakini bagi membantu pengeluaran berterusan dan mendapatkan hasil yang berkualiti tinggi.