Melihat kepada faktor tersebut, kerajaan melalui pengenalan Pelan
Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) memberi peluang kepada petani
untuk menguruskan tanah terbiar sekali gus memajukan kawasan tersebut
dengan aktiviti ekonomi khususnya projek pertanian berteknologi tinggi.
Maka atas dasar berkenaan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas
Tani dengan kerjasama Kementerian Pertahanan memperkenalkan NBOS khusus
untuk petani di bawah projek NBOS 3.
Melalui projek tersebut, kawasan yang diberikan perlu dibangunkan
dengan penanaman rock melon secara fertigasi menggunakan struktur
pelindung hujan (SPH).
Bagi seorang pengusaha tanaman rock melon, Muhammad Hussain Abu
Bakar, menceburi bidang tanaman secara fertigasi membantunya menambah
pendapatan dengan lebih cepat.
Petani berusia 49 tahun dari Sungai Petani, Kedah itu menjelaskan,
penanaman moden ini telah mendorongnya untuk meninggalkan pekerjaan
tetap yang sedang dilakukan bagi memberi tumpuan penuh terhadap tanaman
rock melon.
Sebelum ini saya bekerja sebagai Penolong Pegawai Pertanian di
Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pada tahun 1995, saya mengambil
keputusan untuk berhenti kerja semata-mata untuk memberi perhatian
kepada projek ini.
Memandangkan saya mempunyai latar belakang pekerjaan dalam
pertanian, secara tidak langsung saya mendapat bimbingan serta ilmu
pengetahuan bidang tersebut semasa di UPM dahulu, sekali gus
mempraktikkan kelebihan itu semasa menjalankan tanaman secara fertigasi"
katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Muhammad Hussain merupakan salah seorang petani yang terlibat dalam
Projek NBOS3 di tanah milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Mukim
Labu daerah Sepang.
Projek tersebut dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak baru-baru ini. Yang turut hadir pada pelanacaran itu ialah
Menteri Pertahanan; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertanian
dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Pengarah Institut
Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Datuk Dr Abdul
Shukor Ab. Rahman.
Walaupun pada awal pembabitan Muhammad Hussain tidak memiliki
sebarang pengetahuan asas dalam bidang pertanian secara fertigasi, namun
atas minat dan kesungguhannya, kini dia merupakan antara pengusaha rock
melon yang berjaya.
Berkongsi pengalaman kali pertama mengusahakan tanaman tersebut, dia
memberitahu segalanya bermula pada tahun 2007 dengan rock melon ditanam
atas tanah seluas tiga ekar di Ulu Yam, Selangor.
Melalui projek tersebut, Muhammad Hussain mendapat bantuan modal dari
Jabatan Pertanian berjumlah RM50,000 untuk dijadikan modal pusingan.
Ladang rock melon yang saya usahakan di Hulu Langat berkeluasan
tujuh ekar disewa oleh kerajaan negeri dengan harga RM300 sebulan.
Melihat kejayaan ladang tersebut, saya ditawarkan sebagai pengusaha
bagi projek NBOS 3 di Sepang sekali gus di berikan tanah seluas satu
ekar oleh kerajaan meneruskan projek tersebut," katanya.
Minat mendalam terhadap bidang pertanian moden membuka ruang kepada
dirinya untuk mencabar kebolehan yang dimiliki tatkala tidak ramai yang
sanggup mengambil risiko mengusahakan projek tersebut.
Ujarnya, ramai petani kini tidak yakin dengan cara penanaman secara
fertigasi kerana ia memerlukan pengetahuan teknologi yang tinggi.
Sistem yang digunakan untuk menjayakan projek tersebut amat mudah
dipraktikkan oleh petani sekiranya mereka bersungguh-sungguh mempelajari
cara penggunaan mesin yang disediakan.
Mempelajari cara penggunaan mesin yang digunakan khusus untuk
mengusahakan tanaman ini tidak susah kerana ia amat ringkas dan mudah
serta praktikal bagi mereka yang tidak tahu menggunakan mesin
berteknologi tinggi seperti saya.
Kerana kemudahan seperti itulah saya tidak pernah patah semangat
untuk meneruskan penglibatan dalam bidang yang tidak ramai ceburi ini.
Penggunaan mesin skrin sentuh automatik juga memudahkan pengawalan tumbesaran tanaman seperti yang diingini petani," katanya.
Di samping penggunaan mesin berteknologi tinggi, petani juga perlu
mahir dalam proses menyelenggara seperti mencantas, membersih kawasan
tanaman, membaja serta meracun sekitar tanaman.
Katanya, kos bagi kesemua proses penyelenggaraan tersebut tidak
terlalu tinggi kerana ia hanya memerlukan modal sekitar RM1,000 sahaja
bagi satu pusingan tanaman.
Kelebihan yang terdapat pada rock melon yang ditanam secara fertigasi
ini adalah ia ditanam di bawah rumah lindungan hujan dan ini menjadikan
tanaman tersebut tidak begitu terdedah kepada serangan serangga serta
cuca lembap ketika hujan.
Tidak menolak kemungkinan menanam secara fertigasi memberi masalah
kepada petani yang mengusahakannya secara separuh masa tanpa pekerja,
katanya ia berlaku kerana kerja-kerja penyelenggaraan pokok perlu dibuat
dengan kadar yang pantas.
Kebarangkalian untuk buah rock melon tidak menjadi ketika proses
kacuk tetap ada kerana itu adalah kebiasaan dalam bidang pertanian
khususnya melibatkan buah.
Justeru, penanaman buah ini memerlukan pemerhatian yang spesifik dan
sangat kos efektif kerana tidak memerlukan masa yang lama untuk
mendapatkan hasilnya," jelasnya.
Tambahnya tanaman rock melon juga tidak sensitif seperti tanaman lain
dan prosesnya mudah iaitu bermula dengan memasukkan benih ke dalam
polibeg seterusnya diatur di setiap batas.
Melihat tanaman secara fertigasi ini mempunyai masa depan yang cerah,
Muhammad Hussain berpendapat ia juga mampu menarik minat generasi muda
untuk menceburinya.
Sementara itu menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Sumber Strategik
MARDI, Dr. Norowi Hamid, projek pertanian berteknologi tinggi itu
diterajui oleh MARDI dengan pelaksanaannya turut melibatkan Syarikat
Melonaire Farm Sdn. Bhd., selaku syarikat peneraju.
Projek ini boleh dijadikan sebagai model inkubator untuk
membangunkan usahawan moden yang pesertanya adalah terdiri dari golongan
petani miskin daripada Program Azam Tani di negeri Selangor.
Peserta-peserta Azam Tani yang yang berminat dan berkemampuan akan
dilibatkan sebagai tenaga kerja, manakala peserta yang kurang
berkemampuan akan menerima dividen pasif berdasarkan pulangan projek,
ujarnya.
Selain itu katanya, lulusan Kolej Pertanian dan institusi-institusi
pertanian serta bekas-bekas tentera dan graduan juga dapat menjalani
latihan praktikal di tapak projek berkenaan.
Jika dahulu generasi muda berpendapat bidang pertanian merupakan satu
cabang yang sulit untuk diceburi kerana memerlukan perkakas pertanian
tradisional seperti cangkul ataupun perkakas pertanian lain.
Namun kini mereka tidak perlu bersusah payah kerana segala proses
fertigasi menggunakan peralatan yang moden dan dikawal selia oleh
komputer.
Sumber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment