Sunday, 25 April 2010

MENYENGGARA RPH DAN MENYEMAI BIJI BENIH

Hari ini Ahad. Hari cuti hujung minggu. Kami tiga beranak dah merancang nak membersihkan RPH dan menyemai biji benih rockmelon. Saya ditugaskan membersihkan kawasan RPH termasuklah membasahkan cocopeat dalam polibeg. Manakala Adik dengan emaknya membuat kerja-kerja penyemaian biji benih rockmelon 'Glamour' dalam tray semaian 104 lubang.

Dengan menggunakan pencakar saya membersihkan daun-daun kering dan rumput yang telah kering lalu membakarnya. Selepas itu saya membasah dan mencuci cocopeat dengan air menggunakan salur getah. Lebih kurang 3 jam semua kerja pun selesai dan beres. Penat juga rasanya. Senang hati kami. Petang nanti boleh melawat rakan iaitu Hj. Mohd Shah Sairan yang sedang sakit dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Semoga dia cepat sembuh.


Kawasan RPH dah mula bersih.


Merendam biji benih dalam larutan yang dicampur sedikit Atonik dan Previcur-N.

Setelah direndam, biji benih ditos pada jaring.

Susunan tray semaian 104 lubang siap diisi dengan peatmos.

Tray semaian dibungkus dengan plastik hitam.


Saturday, 17 April 2010

RPH SEMAK SETELAH REHAT SEBULAN

Dah sebulan kami tak melakukan aktiviti penanaman rockmelon. Berehat sepuas-puasnya. Maklumlah projek part-time. Buat apabila hati rasa seronok nak buat. Dah lama sangat berehat, tengok-tengok kawasan RPH dah semak. Daun-daun yang kering belum lagi kami buang. Tali lanjaran kami kekalkan di situ sebab ia masih kuat dan kukuh dan boleh digunakan lagi. Jimat tenaga dan jimat kos.

Hari ini kami mula membersihkan kawasan RPH. Kami lurut daun-daun rockmelon yang dah mati mengering. Kami kumpulkan dan bakar. Selepas itu kami meracun rumpai yang tumbuh di kawasan itu. Oleh kerana kami tak pakai silver shine, ada rumput yang tumbuh. Meracun rumput ni kerja senang dan mudah.... sekejap saja dah selesai kerja-kerja meracun.
Esok hari Ahad. Kami akan cuci plastik RPH. Plastik itu berjelaga dengan lumut. Kalau tak cuci ia akan menghalang sinaran cahaya matahari daripada sampai ke bawah.




Sunday, 21 March 2010

MELAWAT PROJEK TANAMAN ROCKMELON EN. NORDIN ABU BAKAR DI TKPM IPAH AYER HITAM

Hari ini awal-awal lagi kami dah bertolak ke Ayer Hitam, Kluang. Niat kami nak melawat projek rockmelon En. Nordin Abu Bakar. Projek tu terletak di TKPM dalam kawasan Institut Pertanian Ayer Hitam (IPAH).

Sebelum sampai di Ayer Hitam, kami singgah dulu di IKS Simpang Renggam bawa buah tangan (tentunya buah rockmelon) untuk kawan di situ Tn. Hj. Shahak seorang pengusaha IKS di situ.

En. Nordin menanam rockmelon dalam 750 polibeg. Keistimewaan tanaman En. Nordin ialah dia melepaskan 4 hingga 5 biji buah untuk satu pokok. Buah-buahnya pulak besar-besar belaka tak kurang 1.5 kg sebiji. Jadi untuk satu pokok dia mendapat lebih kurang 6 kg. En. Nordin yang berbudi bahasa menerangkan kepada kami mengenai teknik penanaman, kelebihan dan kekurangan penanaman rockmelon dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan fertigasi rockmelon. Terima kasih kami ucapkan kepada En. Nordin.


Hasil tanaman En. Nordin.
Seronok tengok buah rockmelon yang besar dan elok tergantung.

En. Nordin sedang memangkas daun-daun pokok rockmelon.

Kawasan penanaman yang bersih. Sedap mata memandang...

Bersama E. Nordin di luar RPH berkelambu.

Thursday, 18 March 2010

JUAL BUAH ROCKMELON DI TEPI JALAN

Sebelum ini saya tak pernah berniaga atau berjualan di tepi jalan! Singgah dan membeli apa-apa juga yang dijual oleh pegerai di tepi jalan memanglah ada. Jadi apabila saya melakukan sendiri berjualan di tepi jalan, maka saya tahu perasaan penjual dan pegerai yang berjualan di tepi jalan iaitu mengharapkan kenderaan berhenti dan membeli jualan kita.

Saya sekeluarga ada mengusahakan projek tanaman buah rockmelon. Projek ini kami jalankan sebagai hobi dan aktiviti kami sekeluarga. Projek dibuat di kawasan rumah di kampung. Selain untuk makan sendiri, yang banyak berlebihan itu kami jual. Jual kepada kawan-kawan, jual kepada orang sekampung, dan jual kepada sesiapa yang berminat. Apabila musim menuai tiba, FAMA akan datang memborong kesemua buah-buah tersebut. Lepas tu tunggu ambil cek.

Secara kebetulan, musim menuai kali ini jatuh pada musim cuti sekolah. Atas cadangan anak saya yang ingin menjual sendiri buah rockmelon itu di tepi jalan, saya belikan sekaki payung besar dan sebuah meja plastik. Alasannya, dia ingin mencari pengalaman susah senang berjualan, berniaga dan mempromosi selain daripada berkomunikasi dengan pelanggan dan pembeli.

Mula-mula kami cari tempat strategik di tepi jalan tetapi bukan di Pontian. Lepas tu dirikan payung dan buka meja. Macam senang aje.... Buah-buah itu kami letakkan di atas meja. Yang selebihnya kami simpan dalam bakul. Pada pendapat kami, elakkan melambakkan buah di atas meja nanti pembeli sangka kami buat jualan lelong atau jualan borong. Sebenarnya masih ramai orang yang belum mengenali buah rockmelon ni. Harga yang kami tetapkan amat berpatutan. Nak bagi orang Johor menikmati buah rockmelon.

InsyaAllah selama dua hari kami berjualan tu, target yang kami harapkan, Allah SWT berikan. Orang ramai berkenderaan yang lalu lalang berhenti di gerai kami, bertanya mengenai buah itu, merasa sedikit potongan buah yang kami hulurkan, dan seterusnya membeli. Tak sangka berjualan di tepi jalan mendatangkan hasil yang memberangsangkan. Lepaslah kos pengeluaran seperti kos baja fertigasi, kos air, dan kos upah kerja kami. Seronoknyaaa.....

Saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para pembeli yang singgah membeli produk kami. Sokongan tuan-tuan menambah semangat kami untuk meneruskan usaha kami yang tak seberapa ini. Syukur alhamdulillah...







Wednesday, 17 March 2010

MENCABUT PANGKAL AKAR POKOK ROCKMELON

Setelah 'harvest' semua buah-buah rockmelon tempoh hari, hari ini kami cabut akar-akarnya. Lepas itu kami biarkan pokok itu layu mengering. Tujuannya agar mudah kami melurut pokok itu dari tali lanjaran. Tali lanjaran kami tak potong dan buang. Ia masih tahan dan boleh digunakan. Pada pengalaman kami, nak ikat tali lanjaran ni biasanya makan masa selain menyakitkan pinggang. Jadi kali ini kami tak buang tali lanjaran. Jimat tenaga, jimat wang, jimat masa dan dan tak sakitkan pinggang.

Lepas ni kami biarkan dan rehatkan medium dalam polibeg selama lebih kurang sebulan. Kesian dia selama 80 hari bekerja keras menyerap air baja untuk menyegarkan dan menghidupkan pokok rockmelon. Biarlah medium itu berehat....

Foto di bawah menunjukkan daun pokok rockmelon dah mula layu kerana pangkalnya dah dicabut. Tak lama lagi pokok itu kering. Bila dah kering mudah dibakar.




Friday, 12 March 2010

'HARVEST' BUAH ROCKMELON (1/2010)

Petang ini Jumaat 12 Mac 2010 kami tuai buah-buah rockmelon yang dah matang (dah masak). Hampir kesemuanya matang serentak. Terdapat beberapa pokok yang rosak berpenyakit. Pokok sebegini buahnya tidak menjadi (kecil dan tidak membesar).

Purata berat buah ialah 1.4 - 1.5 kg. Banyak juga buah yang beratnya 1.7 - 1.8 kg. Buah yang beratnya lebih 2.0 kg pun ada tetapi tidak banyak (lebih kurang 50 biji, buat makan sendiri). Buah yang beratnya kurang 1.0 kg tak banyak.

Buah-buah yang telah dituai kami gredkan mengikut berat (gred A, B dan C). Kami buat kerja menggred pada waktu malam. Lepaskan itu kami asing-asingkan buah tersebut mengikut permintaan pembeli runcit. Yang selebihnya jual secara borong.

Tak sangka usaha berkebun sebagai hobi sekeluarga boleh mendatangkan hasil. Alangkah lebih baik jika harga di pasaran buah ini tinggi melambung....perghhh mesti puas hati... Berbudi kepada tanah tak rugi.


Adik (Syahmi) sedang memetik buah rockmelon.
Buah-buah rockmelon dikumpul di lorong.
Buah rockmelon dikumpulkan selepas dipetik.

'Adik' memasukkan buah rockmelon ke dalam kereta sorong.

Buah rockmelon diangkut dan dikumpulkan.

Kertas surat khabar bekas pembungkus buah rockmelon.

Inilah buah rockmelon yang baru dipetik. Freshhh lagiii...

Ini juga buah rockmelon hasil usaha kami sekeluarga.
Seronok nengoknya...boleh makan terus...
Buah-buah rockmelon yang akan digredkan.

Ini adalah sebahagian buah rockmelon yang baru dipetik.
Seronok dan bangga apabila penat-lelah berkebun mendatangkan
hasil sebegini.... Kira oklah tu... sebab kami bukannya petani
sepenuh masa... hanya petani sambilan...yang kurang ilmu bertani...

Wednesday, 10 March 2010

BUAH ROCKMELON DAH NAK MASAK

Hari ini tanaman rockmelon kami dah berusia 68 hari. Jaring-jaring pada kulit dah timbul tapi masih kelabu kehijauan. Daun pada pangkal buah belum lagi kering. Kami petik beberapa biji untuk melihat isinya. Walaupun isinya dah berwarna jingga, namun rasanya belum cukup sedap. Maknanya belum cukup masak. Jika ikut teori buah rockmelon jenis glamour masak pada hari ke 70 hingga hari ke 75. Kami kena tunggu beberapa hari lagi untuk 'harvest'.





Thursday, 4 March 2010

POKOK ROCKMELON TUNDUK LAYU KEPANASAN

Hari ini 4 Mac 2010 cuacanya sangat panas. Pada masa ini musim panas (mungkin kemarau). Terlalu panas. Suhu di kawasan selatan Johor mencecah 37 darjah celcius. Dalam rumah panas... duduk bawah pokok rendang pun panas... Kalaulah banyak duit rasa nak pasang 'air-con' dalam rumah.

Kami kasihan tengok pokok rockmelon yang dah nak sampai ke penghujung. Pokok dan daunnya tunduk layu kering kepanasan. Apabila angkat polibeg, ia berat (rasanya cukup air). Tetapi melihat daunnya yang kering dan layu seolah-olah tak cukup air. Ditambah pula ia di bawah pelindung plastik lut cahaya. Makin bertambah panas!



Kesiannya tengok kau kepanasan....

"Tolong bagi aku 'air-con'," rayu pokok rokmelon kepada aku.

Semuanya tunduk layu. Aduh.... panas....panas....

Wednesday, 3 March 2010

MELAWAT DAN BELAJAR MENANAM ROCKMELON DI TERENGGANU

Apabila dah mula berjinak-jinak dengan tanaman yang menggunakan kaedah fertigasi, kami ambil kesempatan belajar dengan lebih lanjut dengan orang-orang yang dah berpengalaman mengusahakannya. Jika ada masa dan kesempatan kami melawat ke beberapa projek fertigasi.

Kelantan dan Terengganu adalah destinasi yang kami lawati apabila bercuti. Selain daripada bercuti dan mengunjungi tempat-tempat yang menarik di kedua-dua negeri ini, kami mengambil kesempatan itu untuk mempelajari teknik penanaman secara fertigasi terutamanya teknik penanaman rockmelon. Jika ternampak bumbung plastik, kami pun singah. Berkenalan dan berbual-bual sambil belajar. Semua pengusaha fertigasi melon yang kami kunjungi ramah-ramah belaka. Kami ucapkan terima kasi kepada diorang. Terima kasih daun keladi....



Di pusat kursus GM Peladang, Kuala Terengganu.
Di kebun GM Peladang.
Mencantas pokok tomato di kebun GM Peladang.

Papan Tanda Usahawan Bimbingan Ketara, Besut, Terengganu.
Berjalan-jalan di kawasan rumah fertigasi.


Bersama pengusaha-pengusaha fertigasi Usahawan Bimbingan Ketara, Alor Lintang, Besut.

Di kebun fertigasi Alor Lintang, Besut, Terengganu.

Di Projek Fertigasi Mega, Alor Lintang, Besut, Terengganu.

Pokok rockmelon tumbuh subur.

En. Rosli suami isteri pengusaha di Projek Fertigasi Mega, Alor Lintang, Besut.
Melon 'Golden Langkawi'.

Pengusaha 'Golden Langkawai' sedang menimbang buah.

Kami di kebun fertigasi di Alor Lintang, Besut, terengganu.

Seronok petik sendiri 'Golden Langkawi' di kebun.

Cikgu memberi tunjuk ajar kepada Kakak, di Kuala Terengganu.

Bersama Pak Awang di Projek Fertigasi Mega di Kampung Pela,
Hulu Terengganu
Papan tanda Projek Fertigasi Mega di Kampung Gong tengah,
Besut, Terengganu. Semasa kami datang ke sini seolah-olah projek ini terbengkalai.
En. Mokhtar seorang pengusaha fertigasi di Projek Fertigasi Chegar Batang,
Pasir Akar, Besut Terengganu.
En. Mokhtar menerangkan sesuatu.

Bersama En. Mokhtar di kebunnya.