Friday, 10 September 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

Friday, 2 July 2010

TANAM KANGKUNG SECARA FERTIGASI DALAM POLIBEG

Pada awal bulan Mei yang lepas kami telah memindahkan anak-anak semaian rockmelon yang telah berusia 10 hari ke polibeg. Pada permulaannya nampak ok. Tetapi apabila masuk minggu ke dua timbul masalah apabila daun-daunnya melecur dan kering. Bukan sepokok dua, tetapi kesemua anak pokok tersebut menghadapi masalah yang sama.

Beberapa rakan yang telah menceburi bidang fertigasi lebih lama memberi nasihat dan tip untuk menyelamatkan keadaan apabila menghadap masalah mengenai penanaman rockmelon. Saya juga mohon kerpada rakan-rakan yang melayari blog ini agar dapat memberi tip dan panduan kepada saya agar kejadian yang sama tidak berulang. Panduan daripada rakan-rakan di luar sana amat saya perlukan.

Kami cabut kesemua anak pokok itu dan bakar. Kemudian kami rehatkan medium dulu. Sebagai gantinya kami tanamlah kangkung. Tanam kangkung tak jadi masalah. Ia hidup subur walaupun kami langsung tak guna baja, cuma titiskan air biasa sahaja. Konon nak jimat baja.

Petang tadi kami anak beranak mencabut kesemua kangkung dalam polibeg. Banyaklah yang kami dapat. Yang boleh jual kami jual. Yang selebihnya kami sedekahkan kepada member-member sekampung. Ambil sendiri, tak payah bayar. Free sahaja. Buat bubur nasi makan dengan kangkung goreng. Memang sedapppp... Lepas ini mula balik tanam rockmelon. Harap-harap tak ada masalah.

(Minta maaf kerana kami menghilangkan diri di alam maya dekat dua bulan sebab tak ada cerita....)







Saturday, 8 May 2010

ROCKMELON 2/2010 - GUTASI

Dah lama saya perasan kejadian ini iaitu butiran air di hujung daun yang bentuknya seperti butiran mutiara. Apabila saya beritahu isteri saya, dia mengatakan bahawa kejadian itu dinamakan gutasi. Dia yang lebih pandai daripada saya dalam bidang biologi seterusnya mengatakan bahawa pokok yang sihat mesti ada gutasi (mesti dia perasan pandai tuuu). Apabila saya amati, memang betul iaitu pokok yang sakit tidak ada gutasi.

Apakah gutasi?

Gutasi adalah proses keluarnya air dari liang-liang (pore) daun. Biasanya kumpulan air akan keluar pada waktu petang hingga pagi hari. Pada waktu itu angin tidak berhembus kencang dan sinar matahari hampir tidak ada. Proses gutasi pada tanaman terjadi hanya pada waktu pagi hari. Ia berkaitan dengan proses fotosintesis yang menghasilkan O2 (oksigen) dan tenaga dari penguraian glukosa dan karbondioksida (CO2 + H2O C6H12O6 + O2 + tenaga).

Gutasi yang terjadi pada tanaman adalah hasil dari penyerapan akar yang di bawa oleh jaringan xilem maupun floem dalam pergerakan metabolisme tanaman terutama pada proses respirasi (pernapasan). Dari jaringan translokasi yang di wakili oleh akar, batang dan daun ini membawa partikel air dan mineral dari dalam media yang tersedia termasuk sebagian besar berupa mineral air. Kandungan air tadi sampai pada jaringan daun, maka stoma daun akan menerima rangsangan dari tekanan translokasi oleh proses respirasi.

Ketika siang hari suhu tinggi tanaman melakukan metabolisme yang lebih sempurna iaitu simpanan kandungan air digunakan secara maksima. Manakala pada malam hari sehingga di pagi dimana suhunya yang rendah akan mengeluarkan lebihan kandungan wap air secara internal melalui stoma daun dan juga daripada pengaruh tarikan graviti. Daripada proses ini terjadilah gutasi yaitu kandungan air yang keluar dari stoma berupa titisan-titisan air (seperti mutiara) yang sering kita lihat di hujung daun.

Foto-foto di bawah menunjukkan titisan air (saya katakan seperti mutiara) pada hujung daun yang kelihatan cantik dan penuh seni anugerah daripada Allah swt.


Butiran air pada hujung daun.
Butiran air cantik seperti mutiara.
Mutiara air didapati hanya pada waktu pagi.


Mutiara air hanya pada stoma hujung daun. Di tengah daun tidak ada.

ROKMELON 2/2010 - PINDAH ANAK POKOK KE POLIBEG

Pagi ini Sabtu 8 Mei 2010 kami pindahkan anak benih rockmelon dari tray semaian ke polibeg. Usia anak semaian pun dah 10 hari. Memang patut dipindahkan ke polibeg. Jika tunggu lebih lama dikhuatiri akan terbantut pembesarannya.


Anak benih rockmelon berusia 10 hari.
Kucing kami bernama 'Matu' beristrahat dan tidur di atas rumput kering.
Rumput tu memang kami tak buang kerana ia tempat 'Matu' berehat dan bermain.
Adik sedang membuat lubang di polibeg untuk anak benih rockmelon.
Kerjanya dipantau oleh kucing kami yang lain yang bernama 'Putih'.
Barisan polibeg yang dah ditanam anak benih rockmelon.


Wednesday, 5 May 2010

ROCKMELON 2/2010 - MENYEMAI BIJI BENIH

Sehingga kini dah dekat dua bulan kami rehat daripada mengushakan tanaman rockmelon. Setelah membersihkan RPH kami pun mulakan menyemai biji benih. Kali ini kami buat penyemaian dalam dua jenis medium. Yang pertama disemai dalam peatmoss manakala yang kedua disemai dalam cocopeat. Kami dapati biji benih yang disemai dalam peatmoss tumbuh lebih baik jika dibandingkan yang disemai dalam cocopeat.


Dua jenis medium kami gunakan (untuk buat ujikaji) untuk menyemai
biji benih iaitu dengan menggunakan peatmoss dan cocopeat.
Terdapat biji benih yang tidak tumbuh. Ini disebabkan bahagian atas peat moss
terlalu dipadatkan. Satu kesilapan yang tidak harus dilakukan.

Pada hari ke-enam, biji benih rockmelon dah bercambah.

Sunday, 25 April 2010

MENYENGGARA RPH DAN MENYEMAI BIJI BENIH

Hari ini Ahad. Hari cuti hujung minggu. Kami tiga beranak dah merancang nak membersihkan RPH dan menyemai biji benih rockmelon. Saya ditugaskan membersihkan kawasan RPH termasuklah membasahkan cocopeat dalam polibeg. Manakala Adik dengan emaknya membuat kerja-kerja penyemaian biji benih rockmelon 'Glamour' dalam tray semaian 104 lubang.

Dengan menggunakan pencakar saya membersihkan daun-daun kering dan rumput yang telah kering lalu membakarnya. Selepas itu saya membasah dan mencuci cocopeat dengan air menggunakan salur getah. Lebih kurang 3 jam semua kerja pun selesai dan beres. Penat juga rasanya. Senang hati kami. Petang nanti boleh melawat rakan iaitu Hj. Mohd Shah Sairan yang sedang sakit dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Semoga dia cepat sembuh.


Kawasan RPH dah mula bersih.


Merendam biji benih dalam larutan yang dicampur sedikit Atonik dan Previcur-N.

Setelah direndam, biji benih ditos pada jaring.

Susunan tray semaian 104 lubang siap diisi dengan peatmos.

Tray semaian dibungkus dengan plastik hitam.


Saturday, 17 April 2010

RPH SEMAK SETELAH REHAT SEBULAN

Dah sebulan kami tak melakukan aktiviti penanaman rockmelon. Berehat sepuas-puasnya. Maklumlah projek part-time. Buat apabila hati rasa seronok nak buat. Dah lama sangat berehat, tengok-tengok kawasan RPH dah semak. Daun-daun yang kering belum lagi kami buang. Tali lanjaran kami kekalkan di situ sebab ia masih kuat dan kukuh dan boleh digunakan lagi. Jimat tenaga dan jimat kos.

Hari ini kami mula membersihkan kawasan RPH. Kami lurut daun-daun rockmelon yang dah mati mengering. Kami kumpulkan dan bakar. Selepas itu kami meracun rumpai yang tumbuh di kawasan itu. Oleh kerana kami tak pakai silver shine, ada rumput yang tumbuh. Meracun rumput ni kerja senang dan mudah.... sekejap saja dah selesai kerja-kerja meracun.
Esok hari Ahad. Kami akan cuci plastik RPH. Plastik itu berjelaga dengan lumut. Kalau tak cuci ia akan menghalang sinaran cahaya matahari daripada sampai ke bawah.




Sunday, 21 March 2010

MELAWAT PROJEK TANAMAN ROCKMELON EN. NORDIN ABU BAKAR DI TKPM IPAH AYER HITAM

Hari ini awal-awal lagi kami dah bertolak ke Ayer Hitam, Kluang. Niat kami nak melawat projek rockmelon En. Nordin Abu Bakar. Projek tu terletak di TKPM dalam kawasan Institut Pertanian Ayer Hitam (IPAH).

Sebelum sampai di Ayer Hitam, kami singgah dulu di IKS Simpang Renggam bawa buah tangan (tentunya buah rockmelon) untuk kawan di situ Tn. Hj. Shahak seorang pengusaha IKS di situ.

En. Nordin menanam rockmelon dalam 750 polibeg. Keistimewaan tanaman En. Nordin ialah dia melepaskan 4 hingga 5 biji buah untuk satu pokok. Buah-buahnya pulak besar-besar belaka tak kurang 1.5 kg sebiji. Jadi untuk satu pokok dia mendapat lebih kurang 6 kg. En. Nordin yang berbudi bahasa menerangkan kepada kami mengenai teknik penanaman, kelebihan dan kekurangan penanaman rockmelon dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan fertigasi rockmelon. Terima kasih kami ucapkan kepada En. Nordin.


Hasil tanaman En. Nordin.
Seronok tengok buah rockmelon yang besar dan elok tergantung.

En. Nordin sedang memangkas daun-daun pokok rockmelon.

Kawasan penanaman yang bersih. Sedap mata memandang...

Bersama E. Nordin di luar RPH berkelambu.

Thursday, 18 March 2010

JUAL BUAH ROCKMELON DI TEPI JALAN

Sebelum ini saya tak pernah berniaga atau berjualan di tepi jalan! Singgah dan membeli apa-apa juga yang dijual oleh pegerai di tepi jalan memanglah ada. Jadi apabila saya melakukan sendiri berjualan di tepi jalan, maka saya tahu perasaan penjual dan pegerai yang berjualan di tepi jalan iaitu mengharapkan kenderaan berhenti dan membeli jualan kita.

Saya sekeluarga ada mengusahakan projek tanaman buah rockmelon. Projek ini kami jalankan sebagai hobi dan aktiviti kami sekeluarga. Projek dibuat di kawasan rumah di kampung. Selain untuk makan sendiri, yang banyak berlebihan itu kami jual. Jual kepada kawan-kawan, jual kepada orang sekampung, dan jual kepada sesiapa yang berminat. Apabila musim menuai tiba, FAMA akan datang memborong kesemua buah-buah tersebut. Lepas tu tunggu ambil cek.

Secara kebetulan, musim menuai kali ini jatuh pada musim cuti sekolah. Atas cadangan anak saya yang ingin menjual sendiri buah rockmelon itu di tepi jalan, saya belikan sekaki payung besar dan sebuah meja plastik. Alasannya, dia ingin mencari pengalaman susah senang berjualan, berniaga dan mempromosi selain daripada berkomunikasi dengan pelanggan dan pembeli.

Mula-mula kami cari tempat strategik di tepi jalan tetapi bukan di Pontian. Lepas tu dirikan payung dan buka meja. Macam senang aje.... Buah-buah itu kami letakkan di atas meja. Yang selebihnya kami simpan dalam bakul. Pada pendapat kami, elakkan melambakkan buah di atas meja nanti pembeli sangka kami buat jualan lelong atau jualan borong. Sebenarnya masih ramai orang yang belum mengenali buah rockmelon ni. Harga yang kami tetapkan amat berpatutan. Nak bagi orang Johor menikmati buah rockmelon.

InsyaAllah selama dua hari kami berjualan tu, target yang kami harapkan, Allah SWT berikan. Orang ramai berkenderaan yang lalu lalang berhenti di gerai kami, bertanya mengenai buah itu, merasa sedikit potongan buah yang kami hulurkan, dan seterusnya membeli. Tak sangka berjualan di tepi jalan mendatangkan hasil yang memberangsangkan. Lepaslah kos pengeluaran seperti kos baja fertigasi, kos air, dan kos upah kerja kami. Seronoknyaaa.....

Saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para pembeli yang singgah membeli produk kami. Sokongan tuan-tuan menambah semangat kami untuk meneruskan usaha kami yang tak seberapa ini. Syukur alhamdulillah...







Wednesday, 17 March 2010

MENCABUT PANGKAL AKAR POKOK ROCKMELON

Setelah 'harvest' semua buah-buah rockmelon tempoh hari, hari ini kami cabut akar-akarnya. Lepas itu kami biarkan pokok itu layu mengering. Tujuannya agar mudah kami melurut pokok itu dari tali lanjaran. Tali lanjaran kami tak potong dan buang. Ia masih tahan dan boleh digunakan. Pada pengalaman kami, nak ikat tali lanjaran ni biasanya makan masa selain menyakitkan pinggang. Jadi kali ini kami tak buang tali lanjaran. Jimat tenaga, jimat wang, jimat masa dan dan tak sakitkan pinggang.

Lepas ni kami biarkan dan rehatkan medium dalam polibeg selama lebih kurang sebulan. Kesian dia selama 80 hari bekerja keras menyerap air baja untuk menyegarkan dan menghidupkan pokok rockmelon. Biarlah medium itu berehat....

Foto di bawah menunjukkan daun pokok rockmelon dah mula layu kerana pangkalnya dah dicabut. Tak lama lagi pokok itu kering. Bila dah kering mudah dibakar.