Thursday, 3 November 2011

PENANAMAN SECARA FERTIGASI DI UniMAP

UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) yang diwujudkan bagi memperkasa pelbagai bidang kejuruteraan, memanfaatkannya untuk pembangun teknologi tinggi dalam bidang pertanian. Dengan kepakaran yang dimiliki, UniMap mengambil pendekatan melestarikan teknologi rumah hijau dan fertigasi untuk pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan bernilai tinggi di kawasan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Rumah hijau versi tropika dibina menggunakan persekitaran terkawal bagi membolehkan tanaman bernilai tinggi seperti kubis, bunga kubis, brokoli, tomato dan tembikai wangi di tanam di dataran rendah. Teknologi tersebut dimajukan oleh Prof Dr. Rezuwan Kamaruddin yang juga Dekan Pengurusan Akademik UniMAP sebagai peneraju dan penggerak. Menurut beliau, rumah hijau yang dibangunkan dapat mengatasi masalah berterusan pengeluaran tanaman di ladang terbuka.

"Risiko pengeluaran tanaman di ladang terbuka sangat tinggi akibat kemusnahan akibat hujan lebat, persaingan rumpai, serangan serangga dan penyakit," kata beliau ketika ditemui di pejabatnya di Perlis baru-baru ini.

Sementara sistem fertigasi yang semakin popular ketika ini adalah teknologi yang membekal air dan larutan baja terus ke zon secara tepat mengikut keperluan peringkat pertumbuhan tanaman. Penjimatan air dan larutan baja dapat dicapai sehingga sembilan kali ganda berbanding dengan pengeluaran di ladang terbuka. Justeru aplikasi teknologi rumah hijau dan sistem fertigasi dapat membantu meningkatkan hasil tanaman bernilai tinggi sehingga dua atau tiga ganda, berkualiti tinggi, sekali gus memberi keuntungan berbanding dengan pengeluaran konvensional di ladang terbuka.

Beliau yang pernah berkhidmat dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), memberitahu, beberapa buah rumah hijau dan sistem fertigasi telah dibangunkan untuk pengeluaran tanaman bernilai tinggi di Stesen Penyelidikan Agroteknologi, UniMAP, Sungai Cucuh, Padang Besar, Perlis. Selain untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran, kemudahan tersebut juga berperanan sebagai hub rujukan setempat bagi pengusaha-pengusaha komersial di kawasan zon utara.

Malah, katanya beberapa penyelidikan lanjutan sedang dijalankan untuk penambahbaikan teknologi tersebut. Teknologi berkenaan juga telah diguna pakai oleh beberapa buah sekolah menengah di Perlis untuk mendorong murid-murid sekolah menjadi petani moden apabila mereka menamatkan pengajian.

Di samping itu, kemudahan tersebut menyediakan platform aktiviti kelab agroteknologi dan juga berfungsi sebagai makmal pengajaran dan pembelajaran secara praktikal bagi matapelajaran sains pertanian atau biologi. Antara sekolah yang aktif adalah Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Sekolah Menegah Dato' Sheikh Ahmad dan Sekolah Menengah Padang Besar.

Menurut Rezuwan, sehingga kini beberapa agensi kerajaan dan swasta telah menerima pakai teknologi yang telah dibangunkan.Antaranya Malaysian Agrifood Cooperation (MAFC) iaitu salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah menerima pakai teknologi berkenaan dalam pengeluaran tanaman bernilai tinggi terpilih di dataran tinggi dan dataran rendah. Satu perjanjian persefahaman telah dimeterai antara UniMAP dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan NCER untuk membangunkan rumah hijau dan sistem fertigasi untuk pengeluaran tanam-tanaman bernilai tinggi secara besar-besaran di kawasan koridor terbabit.

Katanya lagi, pembangunan teknologi pertanian tersebut adalah teknologi moden berasaskan input-input daripada multi-disiplin bidang kejuruteraan di UniMAP. Teknologi seperti ini versi temperat telah diguna pakai secara meluas di negara maju seperti Belanda, Amerika Syarikat dan Jepun.

Katanya lagi, masa depan industri pertanian negara akan berkembang lebih pesat apabila teknologi rumah hijau dan sistem fertigasi dapat digunakan secara meluas. Ini dapat membatu mengurangkan bill import bahan makanan yang mencecah RM27.9 billion setahun berbanding eksport negara hanya RM7 bilion setahun.


Utusan Malaysia 31 Oktober 2011

No comments:

Post a Comment