Friday, 12 March 2010

'HARVEST' BUAH ROCKMELON (1/2010)

Petang ini Jumaat 12 Mac 2010 kami tuai buah-buah rockmelon yang dah matang (dah masak). Hampir kesemuanya matang serentak. Terdapat beberapa pokok yang rosak berpenyakit. Pokok sebegini buahnya tidak menjadi (kecil dan tidak membesar).

Purata berat buah ialah 1.4 - 1.5 kg. Banyak juga buah yang beratnya 1.7 - 1.8 kg. Buah yang beratnya lebih 2.0 kg pun ada tetapi tidak banyak (lebih kurang 50 biji, buat makan sendiri). Buah yang beratnya kurang 1.0 kg tak banyak.

Buah-buah yang telah dituai kami gredkan mengikut berat (gred A, B dan C). Kami buat kerja menggred pada waktu malam. Lepaskan itu kami asing-asingkan buah tersebut mengikut permintaan pembeli runcit. Yang selebihnya jual secara borong.

Tak sangka usaha berkebun sebagai hobi sekeluarga boleh mendatangkan hasil. Alangkah lebih baik jika harga di pasaran buah ini tinggi melambung....perghhh mesti puas hati... Berbudi kepada tanah tak rugi.


Adik (Syahmi) sedang memetik buah rockmelon.
Buah-buah rockmelon dikumpul di lorong.
Buah rockmelon dikumpulkan selepas dipetik.

'Adik' memasukkan buah rockmelon ke dalam kereta sorong.

Buah rockmelon diangkut dan dikumpulkan.

Kertas surat khabar bekas pembungkus buah rockmelon.

Inilah buah rockmelon yang baru dipetik. Freshhh lagiii...

Ini juga buah rockmelon hasil usaha kami sekeluarga.
Seronok nengoknya...boleh makan terus...
Buah-buah rockmelon yang akan digredkan.

Ini adalah sebahagian buah rockmelon yang baru dipetik.
Seronok dan bangga apabila penat-lelah berkebun mendatangkan
hasil sebegini.... Kira oklah tu... sebab kami bukannya petani
sepenuh masa... hanya petani sambilan...yang kurang ilmu bertani...

Wednesday, 10 March 2010

BUAH ROCKMELON DAH NAK MASAK

Hari ini tanaman rockmelon kami dah berusia 68 hari. Jaring-jaring pada kulit dah timbul tapi masih kelabu kehijauan. Daun pada pangkal buah belum lagi kering. Kami petik beberapa biji untuk melihat isinya. Walaupun isinya dah berwarna jingga, namun rasanya belum cukup sedap. Maknanya belum cukup masak. Jika ikut teori buah rockmelon jenis glamour masak pada hari ke 70 hingga hari ke 75. Kami kena tunggu beberapa hari lagi untuk 'harvest'.





Thursday, 4 March 2010

POKOK ROCKMELON TUNDUK LAYU KEPANASAN

Hari ini 4 Mac 2010 cuacanya sangat panas. Pada masa ini musim panas (mungkin kemarau). Terlalu panas. Suhu di kawasan selatan Johor mencecah 37 darjah celcius. Dalam rumah panas... duduk bawah pokok rendang pun panas... Kalaulah banyak duit rasa nak pasang 'air-con' dalam rumah.

Kami kasihan tengok pokok rockmelon yang dah nak sampai ke penghujung. Pokok dan daunnya tunduk layu kering kepanasan. Apabila angkat polibeg, ia berat (rasanya cukup air). Tetapi melihat daunnya yang kering dan layu seolah-olah tak cukup air. Ditambah pula ia di bawah pelindung plastik lut cahaya. Makin bertambah panas!



Kesiannya tengok kau kepanasan....

"Tolong bagi aku 'air-con'," rayu pokok rokmelon kepada aku.

Semuanya tunduk layu. Aduh.... panas....panas....

Wednesday, 3 March 2010

MELAWAT DAN BELAJAR MENANAM ROCKMELON DI TERENGGANU

Apabila dah mula berjinak-jinak dengan tanaman yang menggunakan kaedah fertigasi, kami ambil kesempatan belajar dengan lebih lanjut dengan orang-orang yang dah berpengalaman mengusahakannya. Jika ada masa dan kesempatan kami melawat ke beberapa projek fertigasi.

Kelantan dan Terengganu adalah destinasi yang kami lawati apabila bercuti. Selain daripada bercuti dan mengunjungi tempat-tempat yang menarik di kedua-dua negeri ini, kami mengambil kesempatan itu untuk mempelajari teknik penanaman secara fertigasi terutamanya teknik penanaman rockmelon. Jika ternampak bumbung plastik, kami pun singah. Berkenalan dan berbual-bual sambil belajar. Semua pengusaha fertigasi melon yang kami kunjungi ramah-ramah belaka. Kami ucapkan terima kasi kepada diorang. Terima kasih daun keladi....



Di pusat kursus GM Peladang, Kuala Terengganu.
Di kebun GM Peladang.
Mencantas pokok tomato di kebun GM Peladang.

Papan Tanda Usahawan Bimbingan Ketara, Besut, Terengganu.
Berjalan-jalan di kawasan rumah fertigasi.


Bersama pengusaha-pengusaha fertigasi Usahawan Bimbingan Ketara, Alor Lintang, Besut.

Di kebun fertigasi Alor Lintang, Besut, Terengganu.

Di Projek Fertigasi Mega, Alor Lintang, Besut, Terengganu.

Pokok rockmelon tumbuh subur.

En. Rosli suami isteri pengusaha di Projek Fertigasi Mega, Alor Lintang, Besut.
Melon 'Golden Langkawi'.

Pengusaha 'Golden Langkawai' sedang menimbang buah.

Kami di kebun fertigasi di Alor Lintang, Besut, terengganu.

Seronok petik sendiri 'Golden Langkawi' di kebun.

Cikgu memberi tunjuk ajar kepada Kakak, di Kuala Terengganu.

Bersama Pak Awang di Projek Fertigasi Mega di Kampung Pela,
Hulu Terengganu
Papan tanda Projek Fertigasi Mega di Kampung Gong tengah,
Besut, Terengganu. Semasa kami datang ke sini seolah-olah projek ini terbengkalai.
En. Mokhtar seorang pengusaha fertigasi di Projek Fertigasi Chegar Batang,
Pasir Akar, Besut Terengganu.
En. Mokhtar menerangkan sesuatu.

Bersama En. Mokhtar di kebunnya.

Saturday, 27 February 2010

TANAMAN ROCKMELON BERUSIA 8 MINGGU 1/2010

Hari ini Sabtu 27 Februari 2010 tanaman rockmelon kami berusia 8 minggu (56 hari). Jaring pada buah dah timbul dan warna buah bertukar kepada kelabu. Buah semakin membesar. Pada masa yang sama cuaca pada masa ini sangat panas. Daun-daun pokok rockmelon yang lebar menjadi layu dan menunduk terutamanya dari pukul 11.00 pagi hingga pukul 5.00 petang. Pengairan baja diberi sebanyak 7 kali sehari.










Saturday, 20 February 2010

MENCANTAS DAUN ROCKMELON

Pagi ini kami anak beranak mencantas daun-daun rockmelon di bahagian bawah. Pada waktu ini genap minggu ke tujuh iaitu tinggal 3 minggu untuk menuai buah, pokok tidak memerlukan sangat untuk penyuburan daun. Ia lebih memerlukan nutrien untuk pembesaran dan pemasakan buah. Oleh kerana itu kami mengambil keputusan untuk membuang daun-daun di bahagian bawah buah agar nutrien terus pergi kepada buah. Tidak semua daun di buang. Ia hanya melibatkan 2 atau 3 daun di bahagian bawah buah.




Diantara 3 hingga 4 daun dicantas dan dibuang.
Cantas daun jauh dari batang pokok.



Taburan daun-daun rockmelon yang belum dikemaskan.



Monday, 15 February 2010

PENYAKIT ROCKMELON 4 - MELECUR

Daun melecur. Daun melecur ini saya sedari sejak dua hari lepas tetapi pada masa itu hanya hujung daun sahaja yang melecur. Pagi ini semasa memeriksa pokok-pokok rockmelon di RPH, didapati beberapa pokok kelihatan daunnya melecur lebih kuat seperti terbakar terutamanya sebelah yang menghadap cahaya matahari. Andaian saya mungkin cuaca terlampau panas atau bancuhan racun serangga yang berlebihan. Pada masa ini di kawasan Johor selatan memang musim panas dan terlalu panas. Medium dalam polibeg amat ringan walhal saya beri pengairan air baja selama 7 kali sehari selama 28 minit (dalam hari biasa dalam keadaan seperti ini, medium berat kerana basah).



Daun kering melecur terutama di sebelah pancaran matahari.
Di bahagian sebelah dalam tidak melecur.
Daun melecur bermula dari bawah dan naik ke atas.
Daun bahagian atas pokok juga melecur.


Saturday, 13 February 2010

POKOK ROCKMELON BERUSIA 6 MINGGU 1/2010

Pagi ini, pagi-pagi lagi kami dah berada di kebun fertigasi. Kena siapkan kerja-kerja pada pagi ini juga sebab petang nanti kami nak rewang di rumah sepupu yang buat kenduri kahwin anaknya.

Usia pokok rockmelon dah 6 minggu (42 hari). Bunga jantan dan bunga betina dah tak ada. Semuanya dah gugur dan menghilang. Dengungan kumbang dan kelulut juga dah tak kedengaran lagi. Kawasan RPH sunyi sepi. Mana-mana buah rockmelon yang belum berbungkus, kami bungkus. Kami pastikan setiap pokok ada sebiji buah dan buah-buah itu dah berbungkus dengan kertas surat khabar.



Tiada lagi bunga jantan dan bunga betina pada pokok rockmelon.

Pada usia 6 minggu, pokok rockmelon perlukan banyak air.
Daun tunduk layu pada pukul 12 tengahari.

Satu pokok satu buah. Buah kedua atau ketiga seperti ini akan dibuang
bagi memastikan buah pertama membesar dengan sempurna.
Jaring mula timbul pada buah rockmelon
berusia 6 minggu.

Monday, 8 February 2010

PAGI AHAD DI KEBUN FERTIGASI ROCKMELON

Semalam hari Ahad. Hari cuti hujung minggu. Kami tiga beranak menggunakan pagi hari cuti itu untuk membereskan kerja-kerja yang yang belum selesai di kebun fertigasi. Banyak kerja yang nak dilakukan. Tapi sebelum itu, kami bersarapan roti canai yang dibeli di Warung Usop. Makan di bawah pokok di kebun. Oleh kerana suasana yang berbeza, selera pun ada. Habis dua keping roti canai jadi santapan saya.

Selepas itu kami berbahagi kerja. Orang rumah dan Adik membalut putik-putik buah dengan surat khabar manakala saya mencantas sulur-sulur yang tidak dikehendaki. Selepas itu kami menyapu dan membersihkan kawasan RPH. Barulah nampak berseri. Lebih kurang pukul 12 tengahari semua kerja-kerja yang kami rancang dan buat dah siap.

Untuk 4 minggui seterusnya kuranglah kerja-kerja di kebun ini. Kami cuma memastikan aliran larutan baja berjalan dengan baik. Kerja-kerja menyembur racun serangga dan foliar biasanya saya buat seminggu sekali iaitu pada petang Sabtu.


Roti canai dah terhidang di meja.

Sulur-sulur dicantas, dukumpul dan dibuang.

Kawasan RPH dibersihkan.

Buah rockmelon dibungkus dengan surat khabar.

Saturday, 6 February 2010

POKOK ROCKMELON BERUSIA 5 MINGGU 1/2010

Pada hari ini usia pokok rockmelon yang kami tanam dah 5 minggu. EC larutan baja ialah 2.6. Bunga jantan dan bunga betina semakin berkurangan. Putik buah dah semakin besar, lebih besar daripada telur ayam. Bulu pada buah dah tak ada. Buah kelihatan berkilat. Setiap pagi 'orang rumah' buat kerja-kerja membungkus buah-buah tersebut. Buah rockmelon patut dibungkus agar tidak ditebuk oleh lalat buah disamping untuk mendapatkan corak jaring pada buah yang cantik. Bungkus dengan kertas surat khabar lama. Kami benarkan satu pokok untuk satu buah. Untuk percubaan, pernah kami biarkan satu pokok dua buah, tetapi hasilnya kedua-dua buah itu menjadi kecil.





Barisan pokok rockmelon berusia 5 minggu.
Kami hanya benarkan satu pokok satu buah.
Buah yang lain kami buang.
Buah yang berkilat sebelum dibungkus.
Perkembangan buah rockmelon yang baik pada
usia dua minggu.
Buah-buah rockmelon dibungkus dengan kertas
surat khabar supaya tidak ditebuk oleh lalat buah.